Sekiranya anda belum pernah menyertai mana-mana pertandingan major memancing kolam air tawar, sebaiknya anda sertai dahulu pertandingan kecil.
Atau sekurang-kurangnya kerap turun memancing di kolam-kolam air tawar. Ia bagus untuk melatih teknik balingan dengan lebih lurus dan tepat.
Di samping itu ia juga bagus untuk melatih kekuatan mental. Untuk menyertai pertandingan memancing yang berstatus tinggi, ketahanan mental juga perlu kental.
Sekiranya anda sudah bersedia untuk menyertai pertandingan memancing tersebut, pastikan anda juga sudah bersedia dengan keperluan yang lengkap dan tepat.
Dan lebih penting lagi ia dibawa ke lokasi pertandingan.
SET PANCING
Set pancing yang dimaksudkan adalah padanan joran, kekili dan tali pancing yang berketepatan saiz ikan yang dipertandingkan. Joran berkekuatan 10-20lb atau sebaiknya 15-30lb.
Kekili siri 3000 hingga 5000. Dan tali tangsi berkekuatan 20-30lb. Joran dan kekili pastikan dalam keadaan sempurna dan sudah teruji keupayaannya.
Sementara tali tangsi (mono) yang akan digunakan juga dalam keadaan sempurna atau setidak-tidaknya masih dalam keadaan baik.
Jangan sesekali menggunakan tali tangsi yang sudah terlalu lama berada di dalam gelendong kekili kerana dikhuatiri akan reput dan mudah putus.
PERAMBUT MATA KAIL
Perambut mata kail yang dimaksudkan adalah gabungan tali pancing yang mengikat mata kail. Sama ada perambut mono filamen, fluorocarbon atau braided (tali sulam), pastikan ia berkeadaan baik.
Mata kail pula tajam dan saiz mata yang tepat. Sama ada perambut mata kail untuk teknik pancingan dasar, perambut teknik gantung atau perambut teknik apung, pastikan ia disiapkan terlebih awal dalam kuantiti yang secukupnya.
UMPAN
Sama ada anda lebih selesa menggunakan umpan organik seperti organ haiwan, umpan universal seperti cacing atau anak-anak ikan, umpan semasa (roti dan palet) berperisa, atau apa saja umpan yang dibenarkan penggunaannya, ia tidak mendatangkan sebarang makna sekiranya anda terlupa untuk membawanya bersama.
Apa saja umpan yang anda akan gunakan sebaiknya disiapkan terlebih dahulu. Dan pastikan juga bekas bancuhan dan menyimpan tidak ketinggalan.
TANGGUK
Boleh dikatakan semua pertandingan memancing air tawar sama ada di kolam atau tasik mewajibkan penggunaan tangguk.
Dan tugas untuk menangguk ikan tangkapan sebenarnya bukanlah semudah menyauk anak udang di tepi kolam.
Sama ada anda sertai pertandingan secara berkumpulan, apatah lagi jika secara solo, tangguk atau sauk adalah kelengkapan yang wajib dibawa. Jangan sesekali mengharapkan kawan atau rakan yang bawa.
PANCANG
Pancang atau alat yang digunakan untuk meletak set pancing merupakan kelengkapan yang sering terlepas pandang.
Walaupun seperti kurang penting namun pancang merupakan pelengkap kelengkapan untuk memancing.
Adalah satu perkara mustahil untuk anda memegang joran sepanjang waktu pertandingan tanpa meletakkannya pada pancang.
Justeru ada baiknya anda menyimpan satu pancang lipat yang boleh disimpan di dalam kotak peralatan memancing.
AKSESORI
Kerusi lipat atau bangku, topi, payung dan kain lap merupakan beberapa kelengkapan tambahan yang seharusnya tidak diabaikan demi keselesaan sepanjang waktu memancing.
Yang pasti sebelum anda bergerak ke lokasi pertandingan pastikan ada lima benda utama bersama anda. Set pancing, tong umpan berserta umpan, kotak pancing, pancang dan tangguk.