Jika singa dianggap sebagai raja segala binatang maka saya berani melabel ikan black bass atau kanai / tembaring sebagai raja segala ikan predator di mana saja habitatnya. Sama ada di estuari mahupun sistem sungai air tawar. Maka tidak hairanlah ikan black bass menduduki carta teratas bagi spesies ikan sukan air payau dan air tawar.
Di kalangan pengamal pancingan sukan (sport fishing), bertarung dan berjaya mendaratkan spesies yang rakus dan ganas inilah adalah satu trofi seumur hidup. Di negara kita, ikan kanai hanya boleh ditemui di perairan paya bakau di Sabah. Di sinilah letaknya nilai dan keunikan ikan kanai.
Bukan semua sistem estuari di negeri Sabah spesies ini boleh ditemui. Apatah lagi di negeri berjiran seperti Sarawak.
Dalam skop perikanan rekreasi, ikan black bass boleh dipancing dengan tiga kaedah utama. Pertama, melalui kaedah pancingan dasar menggunakan umpan. Namun teknik pancingan ini kurang dipraktikkan kecuali oleh segelintir nelayan sungai dengan kaedah merawai.
Teknik yang banyak diamalkan para pemancing masa kini ialah melontar dan menunda gewang atau casting dan lure trolling.
Dari segi keberkesanan, teknik trolling ternyata lebih efektif berbanding casting namun dari segi kepuasan, memperoleh sambaran ketika casting jauh lebih trolling. Namun untuk memperoleh strike walaupun dari seekor baby black bass bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak perkara perlu dititik berat.
Antaranya ialah faktor cuaca, situasi air dan lokasi lubuk. Dikatakan juga, peratusan untuk memperoleh strike lebih tinggi berlaku di kawasan sungai utama dan anak sungai yang berair payau tersebut masih jarang dimasuki manusia.
Begitu juga dengan pengaruh cuaca. Waktu terbaik untuk memperoleh strike ialah kawasan padang pancing tersebut tidak dituruni hujan untuk tempoh dua atau tiga hari sebelum hari kejadian. Dengan cuaca yang baik pada hari tersebut barulah peluang untuk strike bakal menyebelahi pemancing.
Sementara faktor warna atau kejernihan air turut memainkan peranan tersendiri. Dikatakan, warna air sungai relatif normal dalam segi kejernihan adalah terbaik kerana tembaring tidak berminat dengan air yang masih memiliki warna sama dengan kejernihan air laut dan tidak juga menyukai air yang keruh seperti air sungai yang tawar.
Seperkara lainnya, pasang dan surut air juga merupakan faktor yang tidak boleh diabaikan. Malah ia amat penting untuk tidak mengadakan trip casting pada keadaan air pasang besar dan juga bukan pada air terlalu surut karena faktor ini akan mempengaruhi sifat laku ikan dan juga corak warna air. Keadaan air begini juga akan mempengaruhi tindak balas ikan sama ada ikan menjadi pasif atau sebaliknya.