Panduan Penting Teknik Pancingan Dasar Berhanyut (Menotok)!!

Share

 

Sebelum ini kami ada menyiarkan artikel berkenaan teknik pancingan dasar ketika bot berhanyut atau lebih popular dengan istilah menotok. Teknik menotok turut dipratikakan di kawasan lain namun ia cukup popular di perairan Pelabuhan Kelang.

 

Lantaran daripada itulah istilah menotok ini berasal dari perairan ini. Teknik pancingan jenis ini adalah kaedah paling selamat untuk memancing di perairan yang sibuk dengan laluan kapal dagang.

 

Untuk memancing dan kembali dengan hasil dan selamat, beberapa panduan dan tips ini haruslah diaplikasikan.

 

Tepati masa bertolak

Kebanyakan jeti bot di kawasan perairan Pelabuhan Kelang terletak di kuala dan selat sungai yang cetek. Oleh yang demikian faktor pasang surut air laut memainkan peranan sebelum anda menaiki bot.

Ini kerana jika air surut maka bot akan berhadapan untuk masuk atau keluar dari jeti. Justeru itu apabila tekong menetapkan waktu tertentu untuk bergerak, maka patuhilah waktu yang telah ditetapkan.

Ada masanya mungkin lebih awal dan ada ketikanya mungkin agak lewat dari waktu kebiasaan.

Peralatan Sesuai

Jangan segan untuk bertanya kepada tekong tentang peralatan pancing yang sesuai untuk digunakan. Ia lebih baik kelihatan seperti tak tahu apa-apa daripada berlagak pandai. Dari jenis kekili, joran, kekuatan tali, jenis perambut, mata kail dan batu ladung, sebaiknya tanyalah pada tekong kerana tekong sudah pastinya lebih arif.

 

Jangan kedekut umpan

Sotong kurita dan udang lipan merupakan umpan yang paling efektif di perairan ini khususnya untuk memancing ikan merah, jenahak dan kerapu. Namun harga bagi seekor umpan terutamanya sotong kurita semakin hari semakin melambung harganya.

Tetapi, jika anda terlalu berkira-kira untuk membeli dan `sayang’ untuk menggunakannya, usahlah bermimpi untuk pulang dengan hasil penuh di dalam tong.

 

Putus dan rabut

Mana-mana tekong pasti akan meradang apabila kejadian rabut dan putus berlaku berulang kali terutamanya di lubuk ikan merah.

Atas sebab itulah anda sangat-sangat digalakkan mendapatkan nasihat tekong terlebih dahulu terutamanya pemilihan perambut dan jenis ikatan yang bersesuaian. Jika putus juga itu cerita lain. Sekurang-kurangnya tekong tiada modal untuk menyalahkan anda lagi.

 

Tinjau pergerakan kapal

Jangan menunggu sehingga kapal membunyikan hon amaran sebagai tanda untuk beredar dari laluannya. Anda pula jangan bergantung kepada tekong sahaja untuk memantau kedudukan kapal yang lalu lalang di kawasan anda berhanyut.

Ada kalanya tekong terlepas pandang juga. Bila mendapati ada kapal yang bergerak ke arah bot, cepat-cepatlah beritahu tekong walaupun ikan sedang galak membaham umpan di lubuk berkenaan.

Elak tidur serentak

Ada ketikanya tekong akan terlelap juga ketika berhanyut terutamanya jika menotol pada waktu malam. Kalau lihat tekong tertidur ataupun sememangnya tidur untuk seketika, jangan pula ikut sama tidur. Lagi parah kalau kesemua ahli trip ikut sama tidur.

Dan ia akan menjadi tragedi lebih parah jika kapten kapal dagang yang sedap bergerak laju ke arah anda juga tertidur.

baca juga Tekong Pecah Tong Port Klang

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

.

Published by
Amang