Kekili saiz kecil, saiz 500-1000 sudah memadai. Nak pakai tali sulam atau tangsi takde masalah. Kat sini takde gangguan buntal yang suka memotong tali pancing.
Guna mata kail udang bersaiz 1 – 3. Biar saiz besar supaya udang tak mudah lucut. Udang galah kat sini takde yang saiz kecil-kecil. Kalau lucut tentu saiz sado. Rugi la kalau lucut!
Umpan yang terbaik di Temerloh ialah umpun-umpun. Boleh juga guna umpan alternatif lain seperti cacing, hati ayam, jantung ayam atau hirisan ikan.
Jangan kedekut umpan. Umpun-umpun biar dicangkuk padat pada mata kail dan biarkan berlebihan sedikit untuk merasuah udang.
Ads
Jangan malas. Amat disaran periksa umpan setiap 5-10 minit. Kalau malas lebih baik jangan datang memancing. Tidur je ke chalet atau kat rumah rakit.
Jangan lontar umpan satu tempat saja. Variasikan balingan ke bawah bot, dekat, sederhana dan jauh. Jadi, kenalah pakai lebih dari satu joran.
Ads
Jaga joran. Ada udang galah yang jenis tarik secara lembut dan ada juga yang tarik secara kasar hingga boleh menghumban joran anda ke dalam sungai.
Kalau tak biasa, amat disarankan guna khidmat guide untuk hasil yang lebih baik. Keluar model lebih sikit tak mengapa asalkan berhasil.
Ads
Sentiasa utamakan keselamatan. Pakai jaket keselamatan dan mulut jangan sesekali cabul. Kita kena ingat yang kita bukan berurusan dengan udang galah je kat sungai ni.
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Biasanya, Apabila selesai memancing dan hasil tangkapan kemudian dikeluarkan di akhir sesi pancingan di bawah cuaca yang terik untuk menyiang, situasi ini sering dilihat tidak dikendalikan dengan baik. Ini mengakibatkan daging ikan menjadi lembik.
Gunakanlah kebijaksanaan anda. Proseslah tangkapan anda di tempat yang terlindung. Pastikan tangkapan anda berada dalam ais semasa anda memproses setiap ikan, sebelum menggantikan ikan yang telah dibersihkan ke dalam peti simpanan ikan itu.
Sememangnya berbaloi mencuci tangkapan dan peti simpanan, sebelum ikan diagih-agihkan. Tujuannya mempastikan ikan yang diproses sentiasa bersih. Ia lebih bersih dan kemas, jika persekitaran kerja turut bersih dan kemas.
Sebab itulah proses ini lebih baik dilakukan di rumah, bukannya di jeti. Di rumah, kita juga tak perlu tergesa-gesa dan dapat diuruskan dengan betul.
Jika ikan hendak disejuk beku, ia perlulah dibuang kesemua insang dan perutnya. Pastikan semua usus dan darahnya tidak tertinggal. Ruang perut yang kosong sebaiknya digosok dengan berus bagi memanjangkan hayat simpanan. Selepas membasuh, pastikan air dibuang sebelum dibungkus untuk pembekuan.
Kalau daging ikan dilapah atau fillet untuk dibekukan, ianya hendaklah dibungkus dalam paket saiz hidang. Kemudian labelkan ia dengan nama spesies dan tarikhnya menggunakan marker pen, sebelum disusun kemas dan rata dalam peti sejuk.
Penambahan maklumat tarikh menyenangkan anda untuk menguruskan bekalan, di mana ikan yang paling lama disimpan akan digunakan terlebih dahulu.
Sebaik-baiknya jangan simpan ikan anda terlalu lama dalam peti sejuk sehingga lebih 5 bulan. Sekiranya anda berniat untuk simpan beku sehingga 5 bulan, disarankan ia dibungkus dalam pek kedap udara.
Ataupun disimpan dalam beg sejuk beku khas, kemudian disusun dalam bekas sebelum direndam air. Dengan cara ini, air akan membeku dan menghalang ikan menjadi lecur beku.
Penipuan dalam pertandingan memancing yang telah dibincangkan itu sebenarnya hanyalah salah satu penipuan yang terdapat dalam dunia memancing.
Masih banyak lagi jenis penipuan yang ada dan di sini kami senaraikan beberapa jenis penipuan yang telah dikesan.
Umpan tipu
Sama ada anda setuju atau tidak, hanya dengan menggunakan gewang, ia secara tidak langsung menjadikan anda seorang penipu. Iyalah, nama pun dah umpan tipu.
Namun, penipuan jenis ini tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan dan sama sekali tidak menyakitkan hati mana-mana pihak kecuali ikan sahaja.
Tipu umpan
Tipu umpan tidak sama dengan umpan tipu. Jika umpan tipu itu gewang, tipu umpan juga turut melibatkan gewang.
Tipu umpan yang dimaksudkan ialah pemancing yang tidak menyatakan umpan sebenar yang digunakan ketika memperoleh tangkapan bonus.
Terutamanya pemancing kolam air tawar yang begitu taksub pada sesuatu umpan dan sama sekali akan mendedahkan umpan sebenar yang digunakan.
Tipu lubuk
Rasanya semua pemancing sudah faham dengan maksud tipu lubuk. Jika dibuat perbandingan, pemancing yang paling kuat menyembunyikan atau berbohong tentang kedudukan sesuatu lubuk ialah para caster atau pengilat.
Jarang sangat nak jumpa caster yang beritahu secara tepat dan jujur lubuk yang mana dia memperoleh kelah atau sebarau monster.
Tipu tangkapan
Tipu tangkapan ni memang banyak dilakukan oleh para pemancing. Ada yang mengaku pernah mendaratkan sesuatu spesies itu sedangkan tak pernah dapat strike.
Sejenis lagi ialah yang jenis suka bergambar dengan ikan orang lain tetapi claim ikan tu dia yang berjaya tangkap.
Tipu saiz
Tipu saiz ikan ini lebih kurang macam tipu hak milik tangkapan jugaklah. Ia berlaku dalam dua keadaan juga.
Yang pertama, dapat ikan saiz curut je tapi sembang kat orang lain macam dapat monster.
Dan yang kedua, jenis yang suka nak menampakkan ikan macam besar melalui teknik fotografi. Rasanya, penipu jenis ini memang banyak jumlahnya.
Tipu jual beli
Jenis kaki menipu dalam jual beli barangan pancing ini pun tidak kurang jumlahnya.
Para penipu dari jenis ini bukan saja bijak menipu bahkan juga cekap menghilangkan diri apabila kantoi. Tau-tau hilang begitu saja.
Tipu bini
Hahahaha… ada tak sesiapa yang tidak pernah menipu isteri untuk pergi memancing? Baguslah kalau tak pernah tipu bini.
Tapi, tipu bini untuk pergi memancing itu lebih bagus daripada tak pergi memancing kerana takut bini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...