Untuk bergerak merentas jeram dan melalui alur sungai ia bukanlah sesuatu yang mudah ditambah lagi jika kurangnya pengalaman memahami bentuk halangan yang terdapat di laluan tersebut. Risiko yang boleh terjadi adalah seperti bot terbalik atau lebih parah lagi bot pecah akibat hentakan pada batu atau kayu.
Kebiasaannya permukaan air akan kelihatan memecahkan alur air menandakan terdapat sesuatu berada di bawah dan ia perlu dielak. Bagi misi sebegini sampan kayu adalah yang paling sesuai kerana ketahanannya apabila terkena batu ataupun kayu dan ia lebih stabil berbanding sampan daripada jenis fiber.
Bahagian perut sampan yang sama paras dengan kipas enjin sangkut menjadikan enjin sangkut lebih terjaga berbanding perut sampan yang tinggi dan kipas enjin sangkut terdedah kepada pelanggaran objek seperti batu atau kayu.
Ads
Ads
Bagi jeram yang tidak tinggi kebiasaannya bot masih mampu mendaki secara perlahan asalkan perut sampan tidak tersangkut. Sebaiknya seorang jurumudi di bahagian hadapan membantu mengawal muncung bot agar sentiasa berada dalam kedudukan yang dikehendaki.
Jadi, bagi anda yang tidak mahir dengan laluan air, jangan sesekali membawa bot berkenaan. Beri keutamaan kepada mereka yang mahir mengendalikan bot terutama jika sungai tersebut mempunyai banyak jeram.
Ads
Jangan bawa barang berlebihan kerana ia akan menyebabkan keseimbangan bot menjadi sukar dikawal. Dan paling penting jangan lupa pakai jaket keselamatan walaupun di kawasan air cetek, apatah lagi jika terdapat batuan yang banyak.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Terlebih dahulu kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majalah Umpan kali ini kerana sudi berkongsi pengalaman dan serba sedikit tips mengenai casting siakap liar muara ini. Kampung Belawai tidak asing lagi dengan hasil laut dan majoritinya mereka bekerja sebagai nelayan banyak hasil laut yang diperolehi mereka diusahakan untuk diniagakan.
Kampung Belawai ini terletak dari pusat Bandar Sibu sejauh 80km. Kali ini saya sendiri (Pashaa Oo) menjadi tekong dan tiga lagi rakan saya iaitu Munsang Lo, Cha Andun dan Mantera Man turun untuk trip casting di muara tersebut.
Kami pasti ramai para caster yang mengidamkan spesis siakap liar ini apatah lagi menyambar gewang anda pasti padu merasa tarikan nya. Di sini group Barramundi Hunter ingin berkongsi pengalaman semasa mengilat di muara tersebut.
Perjalanan kami mengambil masa dalam 1jam dari jeti Kampung Belawai untuk sampai ke destinasi tersebut. Perjalanan menuju ke port mengambil masa dalam satu jam. Kali ini kami menggunakan gewang bersize 75mm jenama Kimikas, Ofmer dan solf plastic (SP).
Setibanya kami di spot tersebut kami tidak menunggu lama terus membalingkan gewang kami. Rakan saya Munsang Lo telah disambar oleh penunggu muara tersebut dan berjaya menaikan siakap liar seberat 5kg.
Kami pun merasa bersemangat dan terus membaling di kawasan kayu mati semestinya memang ada berpenghuni tekaan kami memang betul kali ini saya sendiri disentap oleh barramundi ini seberat 3kg.
Kali ini kami amat terkejut dan tak menyangka solf plastic yang digunakan oleh rakan saya Munsang Lo disambar oleh monsters di kawasan tersebut namun kali ini kami rabut. Kami pun berpindah ke satu spot lagi dan di situ rakan saya Manteraa Man dan Cha Andun double strike.
Kami amat berpuas hati kerana trip kali ini pelbagai spesies kami dapat dinaikkan. Ia juga membuktikan muara tersebut masih berpotensi dan kemudian hari bolehlah rakan rakan lain datang dan mencuba nasib di muara ini.
Saya juga berpuas hati kerana saya sendiri menjadi tekong untuk kali ini jika anda ingin bertanyakan sewa bot bolehlah menghubungi Pashaa Oo ditalian 0124264440.
Tip Tambahan
Ketika air masuk pasang ikan ini aktif dan kita kena tahu paras air masuk pasang dan surutnya maka dengan pengalaman yang kami ada amat membuah kan hasil.
Siakap lebih suka makan di waktu awal pagi dan ketika air mula masuk surut juga ikan ini bergiat aktif mencari mangsa di celah-celah pokok kayu mati dan di persimpangan muara.
Tali yang kami guna ialah Bullzen 50lb, leader mainline kami gunakan 40lb.
Jika memancing di kelong, hasilnya ibarat pasang surut air juga. Ada ketikanya meriah dan tak menang tangan jika ikan masuk, ada ketikanya pula ‘membangau’ sajalah sampai ke sudah. Pun begitu, tidak dinafikan jika kena arus dan umpan, tak terduga juga spesies yang dinaikkan.
Seingat penulis, penulis mula berjinak dan banyak mempelajari ilmu pancingan kelong ini daripada Cikgu Sabri atau lebih senang dengan panggilan Cikgu. Bagi saya, cikgu seorang yang tidak lokek ilmu pancingan kelong, selain masih tidak merasakan ilmu pancingan telah cukup.
Mendapat panggilan daripada Cikgu untuk turut serta naik ke Kelong Mamod di Lukut. Menurutnya, bersamanya nanti, ada sebuah keluarga dari Jitra yang akan turut serta ingin menduga Kelong Mamod. Setelah berkira-kira masa dan jadual kerja, penulis pun sempat menyelit waktu untuk turut serta walaupun tiba agak lewat daripada mereka.
Dari Jitra Ke Lukut
Tiba sahaja di Kelong Mamod, keadaan agak meriah. Rupa-rupanya seekor jenahak telah tewas di hujung pancing Wak Din yang naik ke kelong pada pagi tersebut. Jenahak yang beratnya lebih 2kg itu dinaikkan sekitar tengah hari. Agak mengejutkan juga kerana selera jenahak hari itu terbuka menjelang matahari tegak dengan umpan tamban.
Di atas kelong, keluarga Abang Mansor dari Jitra sedang sibuk memancing. Abang Mansor datang bersama isteri dan tiga orang anaknya. Menurut Abang Mansor, ini trip bercuti bersama keluarga. Melihatkan aksi di atas kelong, penulis dapat mengagak kesemua ahli keluarga Abang Mansor ini berkongsi minat yang sama.
Keluarga Abang Mansor dan Cikgu telah naik ke kelong sejak semalam. Namun hanya pagi tadi, barulah keadaan mula meriah dengan getuan ikan-ikan sekitar kelong. Setelah beberapa ekor talang dan bawal bulan tidak segan menjamah umpan, barulah keadaan di atas kelong meriah.
Penulis yang naik ke kelong bersama seorang rakan, Rizal mula menyiapkan set joran masing-masing. Masing-masing jadi bersemangat dengan tewasnya jenahak tadi. Selain umpan tamban dan beberapa ekor sotong kurita yang dinaikkan dengan menggunakan teknik apollo, kami juga menggunakan udang hidup sebagai alternatif umpan.
Disapa Ribut Malam
Petang itu, ikan agak galak menyambar umpan. Lebih-lebih lagi apabila mata kail dicangkokkan tamban. Umpan udang hidup ada juga yang sudi menyambar namun, hari itu umpan tamban paling laris. Merangkak ke senja, beberapa ekor anak talang berjaya dinaikkan.
Sedang leka mencari tamban untuk dibuat stok umpan pada malam hari, joran Rizal melendut laju ke bawah menandakan umpan tamban yang dihulur tadi sudah dijamah. Rizal tanpa membuang masa mula mengayuh kekili agar tali utama masuk ke gelendong.
Setelah beberapa ketika kelihatan seekor senangin dalam anggaran 2-3 kg di gigi air. Gancu pantas dihulur ke bawah untuk tugasan akhir. Malangnya, dua kali cubaan mengancu gagal sebelum senangin itu merentap putus perambut Rizal. Masing-masing berpandangan kosong. Bukan rezeki nampaknya.
Menjengah ke malam, beberapa kali juga sambaran kuat gagal dinaikkan akibat terputus dan lucut. Pun begitu beberapa ekor jenahak kecil, bawal bulan dan gerut-gerut masih berjaya dinaikkan oleh Wak Din dan keluarga Abang Mansor sebelum ribut datang menyapa. Masing-masing memilih untuk berlindung di bilik memandangkan ikan pun tak menjamah umpan sewaktu ribut.
Sudah Waktunya Pulang
Ribut malam itu membawa sehingga ke awal pagi. Setelah ribut reda dan matahari mula menampakkan sinar paginya, ikan kembali galak menyambar. Seperti semalam, beberapa ekor jenahak berjaya dinaikkan setelah matahari mula meninggi berbekalkan umpan tamban. Padahal waktu malam tadi, agak liat untuk menaikkan spesies ini.
Selain jenahak, talang dan todak juga ada dinaikkan pada sebelah pagi hari terakhir itu. Apabila matahari menegak, masing-masing mula berkemas menandakan sesi pancingan trip Kelong Mamod ini semakin ke penghujung.
Melihatkan kepada hasil tangkapan yang dinaikkan, boleh dikira berbaloi dan menjadi juga trip kelong ini. Secara keseluruhan, spesies yang dinaikkan termasuk jenahak, talang, todak, gerut-gerut, bawal bulan dan beberapa spesies kecil. Namun, spesies jenahak yang kerap menyambar umpan pada sebelah siang menjadi tajuk utama perbualan kami semasa pulang.
Tip Umpan
Seperti kebiasaan pancingan di kelong sekitar Kuala Lukut, anda boleh menggunakan umpan udang, sotong atau tamban yang mudah diperoleh menggunakan teknik apollo. Anda boleh menggunakan apollo dengan saiz mata 5 atau 6.
Antara spesies utama yang boleh dinaikkan di sini termasuk jenahak, talang, daun baru, pari dan tetanda.
Rajinkan diri bertanya dengan pemancing lain ketika memancing di atas kelong.
Mungkin ramai yang menyangka penyelamat gewang hanya terdapat satu jenis sahaja tetapi banyak rekabentuk yang berbeza.
Ia mungkin tidak memiliki nama khusus tetapi fungsi atau cara ia berperanan adalah berbeza.
Penyelamat Gewang Jenis #1
Jika ingin diberi nama, bolehlah ia dinamakan sebagai penyelamat gewang jenis hentak. Penyelamat gewang jenis hentakan ini merupakan antara ciptaan terawal dalam rekaan penyelamat gewang.
Melihat pada bentuk rekaan sahaja, agak mudah untuk mengagak bagaimana ia berfungsi.
Untuk lebih jelas lagi, penyelamat gewang jenis hentakan ini berfungsi dengan cara menghentak dan menolak badan gewang dengan pemberat atau secara terus pada mata kail yang tersangkut.
Namun penyelamat gewang jenis ini ada kelemahannya tersendiri. Pertama, ia hanya boleh digunakan secara menegak di mana pemancing perlu berada tepat di atas lokasi gewang
yang tersangkut agar penyelamat gewang tersebut dapat dilepaskan dan melurut turun dengan laju. Maka ia hanya sesuai untuk memancing di atas bot.
Seperkara lagi, hentakan yang berlaku juga boleh menyebabkan kerosakan pada gewang yang digunakan. Jika menggunakan gewang murah, spoon atau softplastic mungkin agak berkurang kerugian yang bakal ditanggung.
Penyelamat Gewang Jenis #2
Penyelamat gewang jenis merupakan penyelamat gewang masa kini yang paling efisien keberkesanannya.
Penyelamat gewang jenis ini lebih bersifat mesra gewang kerana pemberat pada penyelamat gewang ini hanya berfungsi sebagai pemberat bagi memudahkan penyelamat gewang menggelonsor turun ke gewang yang tersangkut.
Bahagian yang memainkan peranan utama ialah dawai yang melingkar seperti huruf U di bahagian hadapan penyelamat gewang.
Dawai inilah yang akan berpaut pada kili atau split ring dan akan ditarik bagi melepaskan gewang yang tersekat.
Walau bagaimana pun penggunaan penyelamat gewang ini masih berisiko akan kehilangan gewang jika menggunakan kili atau split ring kurang berkualiti dan yang pasti ia akan menyebabkan kerosakan pada mata kail yang digunakan.
Penyelamat Gewang Jenis #3
Saya percaya penyelamat gewang jenis ini, bukan saja ramai di antara kita yang tidak pernah guna malah tidak tahu kewujudannya.
Saya sendiri juga tidak pernah terfikir untuk menggunakan penyelamat gewang jenis ini.
Sebagaimana mana di dalam gambar, penyelamat jenis ini lebih mirip kepada konsep jala. Anda boleh apa saja material yang tahan lasak untuk menghasilkannya.
Cara penggunaan juga seperti jala. Pemberat digunakan untuk memudahkan lontaran. Penyelamat gewang ini digunakan untuk ‘menjaring’ gewang yang tersangkut dan putus di dalam.
Namun untuk berjaya, anda haruslah melontar penyelamat gewang ini tepat ke kawasan di mana ia tersangkut.
Gewang yang terputus dan hanyut juga boleh diselamatkan dengan penyelamat gewang ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...