Apabila pari melarikan tali, anda jangan cuba sedaya upaya melawan kembali tarikan tersebut. Biarkan dan kendurkan sedikit tali joran anda. Jika ada tanda-tanda pergerakan tali bermakna anda mempunyai peluang untuk membuat karauan.
Pari biasanya berpasangan. Jika anda berjaya menaikkan seekor ada kemungkinan untuk anda menaikkan pasangannya. Dan biasanya si betina lebih besar dari jantan.
Seelok-eloknya gunakan gancu untuk membawa naik ikan pari ini ke daratan. Agak bahaya untuk mencekup ikan ini menggunakan tangan kerana faktor sengat di pangkal ekornya yang boleh membawa maut.
Ads
Pakai pakaian yang sesuai seperti berlengan panjang, topi dan bercermin mata hitam ketika memancing. Jangan lupa membawa bekalan air secukupnya.
Bawa kerusi khas untuk anda duduk. Sama ada berhampiran joran anda atau duduk di tepi pantai sambil memerhati dan menunggu joran anda mengena ikan.
Ads
Lain tempat lain tekniknya. Cubalah bertanya pada mereka yang lebih aris untuk ketahui teknik perambut dan umpan yang sesuai memburu pari di sesuatu kawasan.
Semasa umur dalam 17 tahun iaitu sekitar tahun 80-an, ketika baru pertama kali memancing mengikut abang dan arwah abang ipar mengail di tebing sungai.
Kawasan Sungai Redan,Ulu Tiram di dalam kebun kelapa sawit, berhampiran kuil Hindu yang terpencil.
Sewaktu itu tidak pernah saya lihat ikan sembilang dikail begitu senang didaratkan, hanya berumpankan udang kopek sahaja.
Sehinggalah dirasakan umpan udang hampir kehabisan dan waktu masih lagi awal sekitar jam 5.00 petang saja, lalu arwah abang ipar menyarankan saya membeli lagi umpan udang di pekan berhampiran.
Pekan berhampiran bukanlah dekat, hampir 5 km juga jauhnya. Memandangkan saya baru pertama kali ke tempat itu, jadi berpandukan tempat belakang kuil Hindu sahaja yang boleh saya ingat kedudukan pancingan kami.
Setelah puas mencari dari satu kedai ke satu kedai akhirnya dapat juga umpan yang dicari. Lalu bergegas membawa motosikal menuju ke tempat pancingan kami tadi.
Waktu pula menunjukkan sekitar 6.00 petang dan waktu dulu pukul 6.00 petang adalah waktu hampir Maghrib, dan saya masih dalam perjalanan mencari tempat yang dituju.
Suasana di kebun kelapa sawit hampir sama sahaja, dan lorong tanah merah juga membuatkan kita keliru.
Jam menunjukkan pukul 6.30 petang akhirnya sampai juga saya di kuil Hindu yang dicari. Lalu saya mengikuti lorong kanan belakang kuil tersebut. Saya rasakan perjalanan begitu jauh sekali!
Tiba-tiba saya perasan yang saya masih lagi berada di hadapan kuil Hindu tersebut lagi.
Dalam fikiran mungkin saya silap jalan, lalu saya ulangi jalan tersebut lagi dan berteriak memanggil abang-abang saya tetapi tiada sahutan, dan saya masih lagi tidak temui tempat abang2 saya mengail.
Hati mula gelabah dan hampir nak menangis kerana dah hampir 4 kali saya berpusing-pusing melalui kuil Hindu tersebut.
Belok kanan jumpa kuil itu, belok kiri juga jumpa kuil itu, waktu pula makin gelap dan tak nampak.
Akhirnya saya teringat pesan orang tua-tua, kalau sesat di hutan cuba-cubalah azan. Lalu saya pun azan sebanyak 3 kali sekuat hati!
Tiba-tiba… saya dengar suara abang saya memarahi saya kerana lambat dan melaungkan azan di tengah-tengah hutan pada waktu maghrib!
Fuhh… lega dapat juga saya bertemu dengan abang-abang saya setelah melalui peristiwa yang mendebarkan.
Yang peliknya abang-abang saya tidak mendengar bunyi motosikal saya (sedangkan ekzos motosikal saya jenis yang membingitkan telinga) dan tidak dengar saya memanggil nama-
nama mereka, sedangkan kedudukan kuil Hindu dengan tebing sungai terlalu hampir… pelik bukan?
Inchthyophobia merupakan satu perasaan takut atau fobia pada haiwan dari jenis. Memang pelik kalau ikan pun nak takut. Namun dalam memancing pun ada jenis takut atau fobia tersendiri. Di sini kami senaraikan pula jenis-jenis penyakit takut yang lain pula dalam hobi memancing ini.
Muntahphobia
Penyakit jenis ini juga merupakan penyakit yang agak meluas bilangannya. Ia jauh lebih serius dari inchthyophobia kerana ada yang sanggup tidak berhadapan dengannya meskipun belum pernah mencuba. Fobia yang dimaksudkan ialah takut mabuk laut atau bahasa saintifiknya `muntahphobia’.
Wifiphobia
Takut jenis ini merupakan penyakit yang paling kritikal dalam hobi memancing. Namun pemancing yang masih bujang terselamat daripada wabak penyakit ini kerana ia hanya dihidapi oleh pemancing yang sudah berumahtangga. Seriusnya tahap penyakit ini sehingga tertubuhnya kelab PTB iaitu Pemancing Takut Bini. Jika hendak diistilahkan, `wifiphobia’ mungkin paling tepat.
Shopeephobia
Satu-satunya penyakit yang boleh merosakkan mata (mata pencarian) dan boleh menyebabkan kekurusan melampau pada dompet. Penyakit yang dimaksudkan takut untuk masuk ke kedai pancing. Takut jenis tak boleh mengawal diri dari shopping berlebihan. Malah ada juga yang tidak berani untuk online sosmed kerana takut tak boleh control online shopping pulak.
Kumpauphobia
Ia merupakan sejenis penyakit atau fobia yang dihadapi oleh hampir semua pemancing. Bohong la kalau pemancing itu langsung tak takut dengan fobia jenis ini. Malah ada yang sanggup tidak pergi memancing semata-mata takutkan penyakit ini. Jika inchthyophobia ialah takut pada ikan, kumpauphobia pula ialah perasaan takut tak dapat ikan atau kumpau.
Kecamphobia
Penyakit jenis ini boleh menyebabkan penghidapnya takut nak memancing. Bukannya takut nak memancing kerana ada hantu atau kejadian jenayah, sebaliknya takut kena kecam oleh netizen. Nak pancing ikan tu takut netizen ni kecam, nak pancing ikan ni takut netizen lain pulak yang kecam. Sudahnya langsung tak memancing dan jadi macam netizen lain yang mengecam pemancing-pemancing.
Hari yang dijanjikan sudah tiba. Semua ahli komplot sudah bersedia dengan senjata masing-masing. Trip kali ini dirancang oleh tiga orang sahabat iaitu Syed, Sabri dan Nadz .
Lubuk yang airnya dalam sentiasa keruh ini memang diketahui dihuni oleh ikan yang bagak-bagak saiznya. Boleh dikatakan pada siang hari lubuk ini sentiasa sahaja dikunjungi kaki pancing termasuk orang luar. Cuma pada waktu malam sahaja lubuk ini kurang dikunjungi.
Dengan bot fiber 12 kaki dan enjin 15 kuda, Syed memacu bot dengan laju menuju ke lubuk. Perjalanan yang mengambil masa 30 minit. Walaupun menaiki bot pada waktu malam, Syed amat arif dengan selok belok sungai ini.
Sauh terus sahaja dijatuhkan sebaik sahaja sampai di llubuk. Jam menunjukkan 10.00 malam dan masing-masing tidak sabar mencampak umpan. Hanya mereka sahaja yang memancing di situ.
Tidak menunggu lama untuk umpan diragut ikan. Nadz orang pertama yang beraksi. Setelah beberapa minit bertarung seekor baung dalam skala 1 kilogram berjaya dinaikkan. Tidak lama selepas itu, joran Syed pula ditarik dengan kuat. Dia mengambil masa yang agak lama untuk menaikkan ikan itu. Sabri dan Nadz berteriak memberi semangat.
Akhirnya seekor belida yang agak besar saiznya berjaya ditumpaskan. Begitulah mereka begitu asyik melayan ragutan ikan sehingga bekalan yang dibawa masih belum dijamah lagi. Banyak betul ikan malam tu. Naik lenguh tangan mereka dibuatnya. Ada baung, patin, tapah dan bermacam lagi.
Jam menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Ragutan ikan yang galak tadi tiba-tiba terhenti. Ikan seperti tidak lagi berminat dengan umpan mereka.
“Mana pulak perginya ikan ni. Nak kena tuba kot lubuk ni” kata Sabri geram.
“Aku rasa elok kita balik. Lagipun dah banyak ikan kita dapat ni,” cadang Syed. Dia dari tadi tidak sedap hati. Dirasakan olehnya telinganya seolah-olah ditiup sesuatu. Macam bunyi nafas yang mendengus kuat. Ingin diberitahu takut kalau dikatakan pengecut pula. Baru sebentar tadi dia terlihat kelibat putih atas pokok ara yang memayungi lubuk itu.
Namun dia hanya mendiamkan diri. Sabri dan Nadz terus berbual. Sesekali terdengar tawa mereka yang agak kuat dan terbahak-bahak memecah kesunyian malam. Entah apa yang dibualkan.
Tiba-tiba bot yang mereka naik seakan bergoyang. Mulanya agak perlahan tapi semakin lama semakin kuat goyangnya. Terkejut tiga sahabat itu. Mereka berpegang dengan kuat pada bot takut terjatuh.
“Kenapa pulak ni?” tanya Nadz dengan suara yang terketar-ketar. Dalam pada itu, Sabri terlihat sesuatu muncul di permukaan sungai dengan jelas apabila lampu kepalanya dihalakan kepadanya.
Hanya kepalanya sahaja yang jelas kelihatan. Itu pun setakat mulut sahaja. Dengan mata yang merah, rambutnya panjang dan mata merenung tajam ke arah mereka bertiga. Syed dan Nadz juga sedar dengan kehadiran makhluk itu yang kira-kira 10 meter dari bot mereka.
Dalam suasana kaget tersebut, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara perempuan mengilai nyaring diselang seli dengan tangisan bayi. Seram dan naik bulu roma mereka. Tanpa membuang masa tali sauh terus dipotong dan bot terus dihidupkan dan dipacu dengan laju meninggalkan lubuk itu.
Mujur enjin bot dapat dihidupkan dengan mudah. Pucat lesi wajah tiga sahabat itu. Dari jauh jelas kelihatan sekujur tubuh seorang perempuan sedang memandang mereka sambil mendukung sesuatu seperti bayi.
Sampai sahaja di jeti, ketiga orang sahabat tadi senyap membisu tanpa suara. Mereka bagaikan tidak percaya, kejadian mistik yang sering didengar dari orang lain benar-benar berlaku kepada mereka bertiga. Terketar tangan Sabri ketika menambat tali bot.
Kejadian itu telah menggemparkan penduduk kampung. Kebanyakan penduduk tidak berani menghampiri kawasan lubuk itu lagi. Rupanya terdapat kisah lama tentang lubuk itu.
Menurut orang lama di kampung itu beberapa tahun dahulu, seorang gadis pernah membunuh diri bersama bayinya di situ. Ini kerana dia melahirkan anak luar nikah dan teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab. Disebabkan malu dan tertekan dia mengambil jalan mudah dengan menamatkan hayatnya di situ.
Akibat kejadian itu juga Nadz demam hampir seminggu dan sejak dari itu juga, tiga orang sahabat itu mengambil keputusan untuk tidak sesekali turun memancing di lubuk berkenaan dan mereka juga serik untuk keluar memancing pada waktu malam.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...