Penggunaan cacing tanah sebagai umpan memancing bukanlah perkara baru dalam dunia memancing. Ia adalah umpan universal yang bukan saja diguna pakai di Malaysia malah seluruh dunia. Dan cacing tanah itu ada pelbagai jenis dan ada beberapa jenis cacing tanah yang sangat berkesan untuk dijadikan umpan. Salah satunya ialah cacing air atau sesetengahnya memanggil cacing sungai.
Cacing air hidup berkumpul dalam jumlah yang banyak dan dapat dikesan dengan melihat himpunan tahi cacing ini di permukaan tebing sungai yang berair.
Cara untuk mendapatkannya ialah dengan menyeluk kedua-dua tangan hingga ke siku atau ke pangkal lengan, bila terasa cacing bergerak-gerak maka dengan segera mengaut dan menarik keluar selut yang mengandungi cacing tersebut.
Proses ini perlu dilakukan dengan pantas kerana ia cepat melarikan diri. Jika lambat maka sedikitlah cacing yang berbaki.
Cacing air ini merupakan santapan lazat bagi kebanyakan spesies seperti kelah, tengas, tengalan, lampam, patin, begahak, temoleh, temperas, baung dan lain-lain lagi ikan sungai.
Malah udang galah turut menyukai cacing tanah ini. Pendek kata ia sememangnya amat berbaloi mencarinya biarpun terpaksa berlumpur.
Diceritakan orang bahawa cacing air ini pantang dilangkah. Jika dilangkah ia akan putus. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan kerana saya sendiri tidak pernah buat eksperimen.
Begitu juga ketika mencangkuk cacing ini ke mata kail. Mulakan mencangkuk pada bahagian kepala dahulu. Jika dimulakan di bahagian ekor, badannya juga mudah putus.