(Oleh: Mohd Fadzil)
Perairan Malaysia sebenarnya terlalu luas untuk diterokai oleh seseorang pemancing. Nadi penggerak di atas air iaitu enjin bot boleh di kategorikan sebagai kenderaan air yang bernilai tinggi.
Berbeza dengan negara luar, terdapat larangan-larangan penggunaan sesebuah enjin mengikut kapasiti kuasa kuda.
Maka, setiap pemilik bot bebas menggunakan kuasa kuda untuk menyusuri sungai ataupun laut. Bezanya adalah harga dan kemampuan untuk memiliki enjin sangkut ini.
Bila berkata tentang kemampuan, memancing ini merupakan satu hobi dan bukan keperluan yang perlu dituruti sepenuhnya.
Berbeza dengan nelayan yang memerlukan enjin sangkut untuk mencari nafkah di laut atau sungai.
Tetapi, memiliki enjin sangkut adalah satu kelebihan bagi kaki pancing untuk bergerak ke segenap lokasi lubuk yang boleh dilalui dengan jalan air.
Penjualan enjin sangkut sememangnya boleh dibeli di pengedar atau kedai yang menjual alat-alat marin.
Sebenarnya Malaysia masih kurang kedai yang menjual enjin sangkut ini. Industri memancing yang pesat memacu ke hadapan sepatutnya memerlukan banyak pusat servis atau menjual enjin sangkut yang terpakai.
Bagi yang memilih untuk membeli enjin sangkut terpakai, beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum membelinya sama ada daripada individu ataupun kedai yang menjual enjin sangkut.
APA YANG PENTING?
Perkara pertama yang perlu diteliti adalah kualiti semasa enjin sangkut tersebut.
Bahagian dalaman enjin seperti gasket blok tiada kebocoran, mudah dihidupkan, pusingan sistem penyejuk enjin dalam keadaan baik dan tiada gegaran yang kuat pada enjin ketika dihidupkan.
Pembeli ada kuasa untuk meneliti enjin tersebut sebelum membelinya.
Harga juga memainkan peranan dalam pemilihan sesebuah enjin sangkut.
Secara amnya, enjin sangkut bukan dinilai dari tahun dikeluarkan seperti kenderaan motosikal atau kereta tetapi ia boleh dinilai dari kualiti keadaan semasa enjin tersebut dari segi luaran dan dalamnya.
Bagaimana ianya boleh dinilai?. Dapatkan harga model yang sama di kedai dan penilaian boleh dibuat berdasarkan harga susut nilai sebanyak 40 hingga 60 peratus.
Sebagai contoh enjin 5 hp (kuasa kuda) yang baru bernilai RM3200 Tetapi setelah dikira harga susut nilai semasa pengurangan mungkin boleh mencapai sehingga RM1500 mengikut keadaan semasa enjin tersebut.
Apa yang penting, enjin sangkut tidak mempunyai geran seperti kenderaan darat. Tetapi bukti pembelian resit asal daripada pemilik atau kedai amat penting disimpan kerana enjin sangkut adalah salah satu barang yang sering di curi.
Di perairan pantai barat Malaysia, kecurian enjin sangkut kerap dilaporkan dan pembeli perlu berhati hati agar dapat menghindarkan dari membeli barang curi.
Setiap enjin sangkut mempunyai nombor siri casis yang berlainan dan ia direkodkan di dalam setiap surat pembelian enjin baru.
Apa yang penting, fahami segala aspek enjin sangkut ini kerana setiap kuasa kuda berlainan spesifikasinya termasuklah beban berat, badan luaran alat ganti.
Sekiranya pembeli ingin membeli daripada penjualan Internet, sebaik-baiknya lihatlah sendiri keadaan fizikalnya sebelum membuat keputusan.
Buat pertemuan dengan si penjual. Lihat peralatan sampingan seperti tangki minyak serta saluran paip minyaknya dalam keadaan baik.
Jika tidak mahir, bawalah rakan yang mahir bertemu dengan penjual berkenaan. Mana tahu anda tertipu atau terbeli enjin curi.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan