Panduan Memancing Toman Bunga!!

Share

 

Toman bunga tidak duduk sesuka hati di kawasan tasik. Ia perlu kawasan yang sesuai atau membina sarang untuk menyembunyikan dirinya dari gangguan sebarau dan toman. Berdasarkan pengalaman dan pertanyaan mereka yang memburunya, saya dapati terdapat beberapa lokasi yang boleh dicuba untuk mencarinya.

 

 

Pertama, kawasan dalam teluk yang bertebing tinggi dan curam serta berbatu, terbaik jika tebing tersebut mempunyai lubang-lubang di dalamnya. Sarangnya boleh dikenali dengan tompokan tebal sampah terapung yang tersangkut di ranting-ranting pepohon renek yang tenggelam dalam air.

 

Kedua, kawasan hujung buluh yang tergantung kerana paras air yang rendah. Sekali lagi sarangnya boleh dikenali dengan tompokan tebal dedaunan dan ranting bulu yang mati yang terkumpul rapat di tepi tebing.

 

Ketiga, hujung anak sungai kecil yang dipenuhi dedaunan kering yang hampir menjadi kompos. Jika terjumpa alur kecil atau sungai kecil, cuba pergi ke hujungnya yang cetek, kadangkala boleh dijumpai toman bunga di situ.

 

 

Keempat, pohon tumbang ke dalam air dengan banyak ranting kecil berceracak di permukaan air. Pastikan kawasan ranting-ranting itu rapat ke tebing dan sampah-sampah hanyut berupa daun dan akar pokok melekat di situ.

 

Toman bunga menggemari kawasan paya yang memerlukan penggunaan katak hidup atau soft plastic kalis sangkut kerana habibatnya bereba banat. Toman bunga tasik masih boleh digoda dengan pelbagai jenis gewang dari permukaan hinggalah menyelam dalam.

 

 

Oleh kerana toman bunga gemar berlegar betul-betul rapat dengan tebing, sasaran gewang anda harus tepat dan mencelah betul-betul ke dalam reba rapat ke tebing. Peratusan sangkut memang tinggi, tapi itu sahaja harapannya. Ada juga pemancing yang dapat toman bunga di kawasan terbuka, tapi itu diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba.

 

Toman bunga bukanlah good fighter seperti toman, ia hanya membentak seketika sahaja sebelum mengikut ke bot. Melainkan kerana bersaiz kasar, ia mungkin boleh mengeluarkan drag dan memutuskan tali.

 

Published by
Amang