Panduan Memancing Ketutu Muara Sungai!!

Share

 

Habitat utama ketutu adalah di kawasan yang cetek seperti di gigi-gigi air iaitu berhampiran dengan tebing sungai, tasik dan lombong-lombong tinggal. Spesies ini adalah dikategorikan sebagai ikan pemangsa, namun demikian ianya adalah ikan yang sangat malas untuk memburu mangsanya. Ia lebih suka menunggu mangsa yang berenang berhampiran lalu membahamnya apabila dikira sudah cukup hampir.

 

Dengan warna dan coraknya yang berceloreng itu membuatkan ikan ini sangat pandai menyamar dan bersembunyi di balik atau bawah batu-batu atau dedaunan mahupun kayu. Ianya sangat aktif pada waktu malam, adakalanya ia keluar dari tempat persembunyian untuk mencari mangsa.

 

Diet semulajadi ikan ini ialah ikan-ikan kecil termasuk anak-anak ikan, udang, cacing mahupun ulat. Ikan ini mempunyai sikap tamak yang menyebabkan ia mudah ditangkap apabila lokasinya telah dikenal pasti oleh pemburunya.

 

Cara memancingnya di sungai Kongkong ini sama sahaja dengan teknik memancing siakap. Casting dengan menggunakan udang hidup di lokasi strategik di muara sungai terutamanya di kawasan pohon tumbang.

 

Dengan menggunakan rod casting seperti memburu siakap, udang hidup disasarkan ke lubuk terpilih dan dibiarkan ia mencecah dan dikarau dengan perlahan. Sekiranya terdapat ketutu di situ, pasti ia akan menerkam udang hidup tersebut.

(Oleh: Chedin Angler)

Published by
Amang