Bagi memancing temelian, selain kesabaran yang tinggi, kekuatan fizikal juga diperlukan. Lebih-lebih lagi jika terkena temelian bersaiz 10 kg ke atas. Larian dan pecutan agresifnya pasti menyebabkan pemancing berpeluh.
Umpan popular bagi memancing temelian ialah kelapa sawit ‘sate’ yang dipotong atau dihiris. Kelapa sawit yang dipotong akan dicucuk ke mata kail satu persatu sehingga ke tali perambut lebih kurang satu jengkal. Terdapat juga pemancing yang menghiris sawit nipis-nipis, dan dicucuk pada 4 atau 5 bilah mata kail sehingga penuh.
Selain kelapa sawit, umpan pisang juga agak popular di sesetengah tempat. Terdapat 3 bilah mata kail di mana satu mata diikat pada hujung perambut dan satu mata lagi diikat dengan jarak lebih kurang 40 cm. Sebilah mata kail lagi dibiarkan bebas antara kedua-dua mata kail tadi. Umpan pisang dipasang pada mata kail pertama sahaja iaitu paling bawah dan pisang dicangkukkan sehingga lebih kurang 15 cm pada perambut tadi.
Selain itu, ada juga kaki pancing yang menggunakan umpan sawit peram sebiji yang dicangkuk terus pada mata kail. Namun ia memerlukan teknik ‘rasuah sawit’ terlebih dahulu untuk memujuk ikan ini memakan umpan.
Ada juga kaki pancing yang menggunakan teknik umpan dedak untuk memancing ikan ini, tetapi ia memerlukan kesabaran yang tinggi kerana ia juga perlu dipujuk dengan teknik rasuah terlebih dahulu.