Panduan Mengail Ikan Ketambak!!

Share

 

Ikan ketambak spesies tidak segan silu dengan umpan dan gemar merentap umpan setelah menggetu seketika. Sistem penggera adalah perlu jika anda memancing malam dan pastikan pancing diikat supaya tidak menjunam ke air pada waktu siang apabila ketambak mula merembat umpan.

 

Sesetengahnya pula akan berenang lari merentasi atau berlegar di kawasan karang berdekatan dengan dasar di mana tangsi (perambut) mudah bergesel dengan karang ketika bertarung. Barisan giginya tidak berupaya memutuskan perambut tangsi dengan mudah. Ia berbeza dengan seroncheng dan assoh yang lebih aktif pada malam hari.

 

Awal pagi dan awal petang adalah waktu terbaik pada siang hari. Manakala lepas senja membawa tengah malam sebelum ia berhenti dengan umpan seketika dan kembali gasak menjelang pagi.

 

Ketambak biasa bergerak dan mendiami kawasan karang secara berkumpulan. Jika dapat seekor pada peringkat permulaan, tunggu kerana di bawah masih banyak lagi kawanan ikan karang ini.

Jika berhajat untuk bergasak dengan ketambak pastikan labuhkan bot di kawasan karang atau pinggir karang kerana di situlah ketambak selalu berada.

 

 

Umpan

Ketambak pada dasarnya tidak memilih jenis umpan. Umpan hidup adalah tidak sesuai kerana saiz ketambak yang kebanyakan sekarang ini dipancing adalah kurang dari sekilo. Umpan yang paling berkesan ialah sotong sama ada hirisan sotong jarum, sotong cumit dan sotong kurita.

 

Sotong kurita lebih berkesan untuk kawasan yang mempunyai anak-anak ikan karang yang banyak kerana ia liat untuk dikutis oleh anak-anak ikan sebelum dijumpai oleh ketambak ini.

Ikan tamban sisik potong dan ketam serta udang boleh digunakan bila-bila masa kerana masa yang sama juga anda mungkin boleh menjerat ikan bayan.

 

Jika ingin hasil yang lebih produktif pemancing perlu berusaha mendapatkan sotong segar sama ada candat ataupun sauk dan potong kecil-kecil dengan memanjang. Isi ikan mudah habis dikerjakan spesies yang bermulut kecil yang berkongsi habitat dengan ketambak.

 

Published by
Amang