Teknik jigging perlahan merupakan teknik khusus untuk menggantikan teknik pancingan dasar bagi memburu ikan-ikan bersisik yang bersifat demersal.
Terdapat pelbagai spesies ikan demersal namun dalam sukan memancing jigging perlahan yang berkonsepkan pancingan ikan dasar, terdapat beberapa spesies yang menjadi sasaran utama.
JENAHAK
Dalam disiplin jigging perlahan, ia merupakan ‘ikan sisik’ yang berada di ranking paling atas dalam spesies buruan utama.
Bahkan dalam sesuatu trip jigging perlahan, trip berkenaan boleh dianggap gagal atau kumpau jika gagal mendaratkan jenahak berikutan ia merupakan spesies utama sasaran dalam aktiviti ini.
Info Jenahak
Nama saintifik: Lutjanus Johnil
Nama Inggeris: Golden Snaper, John’s Snapper
Nama Tempatan: Jenahak, jenak, ungah
Ikan yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae ini merupakan spesies yang paling popular dalam 60 genus lutjanus yang memakai nama jenahak. Ikan jenahak boleh hidup sihat dan berenang bebas di kawasan laut beriklim tropika dan sub-tropika.
Ia mampu membesar sehingga satu meter panjang dan seberat 13 kilogram. Ia mudah dikenali dengan tompok hitam bulat di bahagian belakang badannya.
KERAPU BORON aka TONG GAS
Boleh dikatakan, setiap pengamal slow jigging berhasrat untuk menundukkan kerapu boron atau tong gas ini.
Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan.
Pasti ramai pecinta jigging perlahan merindui aksi benamannya dalam usaha melarikan diri setelah tersangkut mata jig.
Info Kerapu boron
Nama saintifik: Epinephelus malabaricus
Nama Inggeris: Malabar Grouper
Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas
Kerapu mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter.
Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang.
Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat.
SIAKAP MERAH aka MAK JANDA
Ia merupakan ikan sisik yang dianggap sebagai ikan trofi jika berjaya mendaratkannya.
Dalam disiplin jigging perlahan, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan.
Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.
Info Siakap Merah
Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus
Nama Inggeris: Mangrove jack
Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong
Ikan kakap atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan.
Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.
KACI aka KA CHEE
Dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini hampir tidak tersenarai dalam buruan utama berikutan ia pernah dianggap tidak membaham jig kecuali jig yang ‘berumpan’.
Namun tentangan yang diberikan kaci sehingga ke permukaan membuatkan ia kini menjadi spesies yang ingin diburu.
Info Kaci
Nama saintifik: Diagramma pictum
Nama Inggeris: Grunts (sweetlips)
Nama tempatan: Kaci, mandi abu
Ciri-ciri untuk mengenali kaci atau mandi abu ini memiliki 9-10 duri pada sirip dorsal, 20-24 tompok sinar lembut.
Kaci juvana atau sub dewasa memiliki tompok atau jalur. Ia mampu membesar sehingga 100 cm namun saiz biasa yang ditemui sekitar 45 cm.
Dalam dunia memancing khususnya pancingan kolam air masin, kaci ini lebih merujuk kepada panggilan kakap merah.
MERAH PUCAT
Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig.
Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan. Namun peluang untuk memperolehnya dengan menggunakan jig sahaja tetap ada terutamanya ketika ia kelaparan.
Info Merah pucat
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat
Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu.
Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.
KERAPU BARA aka SUNOH
Dalam disiplin jigging perlahan ia merupakan spesies tangkapan impian berikutan kesukaran untuk mendapatkannya, khususnya di perairan Selat Melaka yang merupakan padang pancing utama jigging perlahan.
Memperoleh spesies bersisik cantik ini sebenarnya lebih kepada kepuasan bukan kerana kudrat melawannya.
Info Kerapu sunoh
Nama saintifik: Plectropomus leopardus
Nama Inggeris: Common coral trout, leopard coral grouper
Nama tempatan: Sunoh, kerapu bara, kerapu bintang
Kerapu ini dapat dikenali menerusi badannya yang dilimpahi titik biru kecil. Bulatan cincin biru yang tersendiri di sekeliling mata.
Dan sirip pektoral yang polos tanpa warna. Ia mampu membesar sehingga 120 cm panjang namun saiz yang lazim didapati sekitar 35cm sahaja.
IBU GELAMA
Dalam skop jigging perlahan masa kini, ibu gelama dianggap sebagai spesies buruan paling atas masa kini.
Ia berikutan bukan sahaja kerana kesukaran untuk memperolehinya, bahkan disebabkan tahap kekuatan pertarungannya yang luar biasa berbanding spesies.
Seperkara lain, ibu gelama yang lazimnya ditumpaskan melalui teknik slow jigging ini, saiznya besar-besar belaka.
Info Ibu Gelama
Nama saintifik: Argyrosomus japonicus
Nama Inggeris: Mulloway, Jewfish, Kingfish
Nama Melayu: Ibu gelama
Argyrosomus japonicus adalah spesies ikan berwarna keperakan dan hijau gangsa yang tergolong dalam keluarga Sciaenidae.
Di Australia ia dikenali sebagai mulloway atau jewfish dan kob dusky di Afrika Selatan. Ibu gelama ini mampu mencapai panjang kira-kira 180 cm (80 kg berat), walau bagaimana pun purata saiz yang biasanya ditangkap sekitar 3-15 kg.
Ruby Snapper
Satu-satunya spesies idaman penggemar segmen pancingan jigging perlahan yang hanya boleh ditemui di perairan Sabah dan Sarawak.
Ikan ruby snapper pada awalnya dikenali melalui hasil penangkapan ikan komersil menjadikannya banyak tersedia untuk umum.
Ketika itu kebanyakan pemancing rekreasi tidak biasa dengan spesies ini kerana habitat airnya yang dalam.
Walau bagaimana pun ia tidak kekal sedemikian berikut bantuan moden kekili elektrik… dan kini melalui teknik jigging perlahan.
Nama saintifik: Etelis carbunculus.
Nama Inggeris: deepwater red snapper, deepwater snapper, jobfish, queen snapper, red snapper, ruby-colored snapper fish, snapper atau squirrelfish snapper.
Nama Melayu: Kerisi Bali
Spesies marin benthopelagic ini hanya boleh ditemui pada kedalaman 90-400meter atau pada kebiasaannya 200 – 350 meter.
Spesies Etelis carbunculus dikatakan mencapai usia matang apabila mencecah 61 cm. Ia mampu mencapai panjang maksimum sehingga 127 cm dan tempoh usia sehingga 32 tahun.
baca juga Taktik & Teknik Slow Pitch Jigging
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan