Ikan pari sememangnya cukup popular di kalangan masyarakat kita apatah lagi bagi pemancing. Pemancing beruntung kerana lebih berpeluang untuk menikmati ikan pari yang segar hasil pancing.
Tapi bagi mereka yang tak berpeluang untuk menikmati pari segar, di sini kami sediakan sedikit tips untuk memilih dan membeli ikan pari agar tidak terbeli ikan pari sudah rosak atau berbau hancing.
Ketika memilih ikan, pastikan isi ikan pari berwarna cerah dan tidak gelap. Hidu ikan-ikan tersebut sama ada berbau hancing atau tidak. Sebaiknya, pilih ikan yang tidak berbau hancing kerana ia memudahkan proses memasak.
Bagi ikan ketuka pula,biasanya ia dijual tanpa dipotong (seekor). Oleh itu untuk mengenal pasti tahap kesegarannya adalah dengan cara tekan badan ikan dan pastikan ia mempunyai tekstur pejal serta tidak lembik.
Jika ikan pari atau ketuka yang anda beli berbau hancing, jangan dibuang kerana ia masih boleh dimasak dan dinikmati tanpa membantutkan selera. Apa yang anda perlukan ialah menyediakan bahan berikut:
Asam jawa
Air
Cara penyediaan:
Bersihkan ikan pari atau ketuka. Buang perut dan organ-organ dalamannya. Bilas hingga bersih.
Lumur asam jawa yang telah dibancuh dengan sedikit air. Ratakan dan perap selama 20 minit.
Bilas menggunakan air bersih dan toskan.
Sedia untuk dimasak mengikut citarasa anda.