Panduan Mantap Mancing Ikan Baung Kuning!

Share

 

Selain waktu malam, pancingan ikan baung kuning juga boleh dilakukan pada waktu siang terutama jika kawasan sungai atau air yang keruh selepas hujan. Disebabkan spesies ikan bermisai menggunakan deria pengesan daripada filament barbelnya untuk mengesan umpan, spesies ini lebih aktif dalam keadaan air keruh berbanding air yang jernih.

 

Bagi kebanyakan pemancing, selain keasyikan melayan tarikan demi tarikan ikan bermisai ini, kelebihan lain spesies ini ialah keenakan dagingnya. Spesies ini tidak seperti kebanyakan spesies air tawar yang lain, selain tidak mempunyai tulang yang banyak, rasanya juga amat enak jika dimasak dengan apa cara sekalipun.

 

 

Antara masakan yang paling sesuai bagi baung ialah masakan gulai tempoyak ikan baung, kukus, masak lemak cili padi dan ia menu wajib lebih-lebih lagi jika trekking dan memancing di atas boathouse.

 

Tidak hairanlah, ikan baung kuning mampu meraih harga yang tinggi bila dijual, terutama jenis baung sungai. Manakala baung akar yang memiliki badan lebih panjang dianggap memiliki rasa yang lebih sedap berbanding baung biasa.

 

 

Umpan Pilihan

 

Tidak sukar untuk mencari umpan khusus bagi memancing spesies baung kuning. Antara umpan asas, mudah dan paling mujarab ialah cacing tanah. Umpan universal ini memang tidak disangkal antara umpan memancing yang paling mujarab termasuk untuk pancingan baung.

 

Selain itu, cengkerik dan anak udang juga turut berkesan untuk memancing spesies ini. Selain umpan asas, terdapat juga umpan yang lebih kompleks namun cukup ampuh menjerat baung. Umpan busuk seperti umpan tapa yang berasaskan bau juga merupakan umpan popular bagi memancing ikan baung. Cuma ia bergantung kepada pemancing sama ada sanggup untuk menggunakannya atau tidak.

 

 

Selain pancingan dasar, terdapat juga sesetengah keadaan spesies baung menghentam gewang. Jangan tak percaya jika dikatakan baung juga menyambar gewang. Walaupun tidak begitu popular, namun kaedah casting dan trolling menggunakan gewang jenis selaman dalam atau sederhana dan gewang rattlin mampu menaikkan spesies baung jika gewang tersebut lalu di hadapannya.

 

Untuk menjerat baung bersaiz besar (biasanya kaedah taut) umpan yang terbaik, tidak lain tidak bukan ialah menggunakan anak ikan yang disauk seperti ikan terbul, lampam sungai bersaiz 2-3 jari.

 

Mata kail perlu dicangkuk di bahagian atas badan atau ekor sebelum dibiarkan hidup di permukaan air dan boleh juga kaedah pancingan dasar.

 

 

Apa sekalipun, ternyata spesies baung bukanlah spesies yang liat memakan umpan. Cukup hanya menggunakan umpan asas seperti cacing tanah, meluangkan masa untuk memburu spesies bermisai ini memang berbaloi lebih-lebih lagi jika dilakukan bersama rakan-rakan terdekat.

Published by
Amang