Udang galah aktif apabila air sungai bersuhu suam dan akan kurang makan apabila air sungai sejuk atau terlampau tawar. Musim yang paling baik untuk memancing udang adalah pada musim panas atau kemarau.
Udang galah adalah haiwan jenis omnivor iaitu spesies yang makan serba-serbi yang dijumpainya. Bagi saya, umpan yang saya selalu gunakan adalah perumpun, cacing, isi ikan, jantung ayam yang dibakar sedikit dan dihiris.
isi ikan kembung, kulit ayam dan ikan longkang atau gapi yang ditangkap dan disimpan dalam bekas plastik selepas direnjis dengan sedikit belacan dan dibekukan selama sehari dua. Boleh dikatakan udang galah akan makan serba jenis benda yang berdaging yang berbau.
Untuk mata kail pula saya selalu menggunakan mata kail no 1 hingga 5 kerana saiz ini paling sesuai di mana adakala saya pakai jenis berduri (barb) dan ada masa jenis tidak berduri (barbless). Apa yang penting mata kail itu mestilah tajam.
Satu lagi tip yang saya hendak berikan adalah supaya menggunakan ‘burley’ atau rasuah untuk memikat udang datang. Caranya gunakan makanan kucing yang basah yang dijual di kedai di dalam tin ataupun paket. Saya akan membuatkan lubang pada tin atau paket dan meletaknya di bawah bot atau sampan.