Saya teringat ketika mengunjungi kelong memancing di Bagan Lalang suatu ketika dahulu. Ada beberapa kaki pancing kecewa kerana tidak berpeluang langsung menjerat tamok walaupun telah berusaha keras. Setelah diperturunkan beberapa petua, seekor demi seekor tamok berjaya dipancing tanpa banyak halangan lagi.
Penggunaan umpan roti digumpal padat kini sudah menjadi lumrah bagi kalangan kaki pancing. Ketika melancong dan memancing di Maldives dulu, saya diajar menggunakan umpan tepung capati yang diuli sebagai umpan. Tepung capati lebih tahan daya lekatan pada mata kail berbanding roti yang mudah terlerai di dalam air.
Begitupun kedua-dua jenis umpan ini memerlukan kita menabur rasuah terlebih dahulu agar memberi kelekaan serta mengurangkan ikan merasa curiga terhadap umpan yang bakal dilabuhkan kemudian.
Teknik terkini, saya semacam tidak percaya apabila tamok tertarik dengan umpan hirisan ikan yang digunakan pada set mata apollo.
Sama ada ia tertarik kerana adanya manik dan warna-warna kertas berkilat atau umpan sukar untuk saya leraikan untuk sekali pengamatan. Apa yang saya nampak tamok datang mendekati umpan, hidu atau ambil bau kemudian berlalu. Lepas itu datang balik, lakukan tabiat yang sama berulang kali tanpa menyentuh sepenuhnya hirisan ikan yang saya gunakan.
Pada awalnya saya hampir berputus asa untuk memancing tamok berumpankan hirisan ikan, tapi menjelang arus surut terjadi buat pertama kali tamok menelan umpan hirisan ikan yang sebelum ini hanya dihidu sahaja.
Untuk memancing tamok, disarankan menggunakan tangsi bawah 12 paun. Lebih halus maka lebih besarlah peluang. Joran grafit 10-15 Ib, panjang 6.5 kaki dengan kekili mendatar lebih praktikal diguna pakai. Ini kerana roti yang dipasang pada mata kail tidak mempunyai berat mencukupi ketika balingan dibuat. Penggunaan pelampung sememangnya memudahkan lontaran dibuat tanpa banyak masalah.
Oleh kerana teknik memancing di permukaan air, lebih senang menggunakan pelampung yang diikat pada jarak sejengkal dari mata kail, memadai jangan terlalu panjang. Saya lebih menyarankan mata kail saiz 16 hingga 18 diikat pada tali tangsi utama 10 paun dan di lontar hanyut di belakang kira-kira 3 meter jarak paling minima.
Ini kerana tamok jarang rapat jika melihat pemancing berhampiran. Apabila kita mula mengesan umpan diusik, biarkan seketika jangan strike lagi. Beri sedikit tali lagi agar tamok tidak mengesan perangkap. Biar ia leka mengutis dan akhirnya menelan umpan. Sebaik umpan ditelan pastinya tangsi tegang saat ikan melarikan diri.
Bila mata kail berada dalam mulut tekanan balas diberikan amat mudah untuk lekatan kail terhasil. Kemudian layan sahaja kerana tamok tidak berenang menjunam ke dasar mahupun ke kawasan reba. Ia berlegar di permukaan kawasan lapang.
Pada kebiasaannya, perambut udang galah ialah menggunakan perambut tangsi atau monofilament line. Perambut fluorocarbon juga boleh digunakan namun ramai yang lebih gemar menggunakan perambut tangsi saja. Kekuatan perambut biasa digunakan dari 6lb hingga 12lb.
Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12lb boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50 gram hingga 500 gram.
Panjang perambut yang biasa digunakan sekitar 15 cm atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis perambut tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu terasa beban ketika mengunyah umpan.
Kelebihan perambut tangsi juga ia dapat membuai di dalam air. Ada sesetengah pemancing udang berpengalaman menggunakan perambut yang lebih panjang sehingga 50cm. Namun ia lebih sesuai ketika arus laju dan mudah berpintal jika tidak cekap membuat lontaran.
Sama ada perambut satu mata kail atau dua mata kail boleh digunakan bergantung kepada struktur lubuk.
Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail no 2 hingga no 6 kerana saiz ini paling sesuai.
Banyak jenis dan saiz mata udang yang boleh di temui di pasaran tempatan. Mata kail berduri pandan adalah lebih baik daripada tanpa duri pandan.
Dorado sering menarik kunjungan pemancing rekreasi dan terdapat juga beberapa kawasan yang menangkap ikan ini untuk tujuan komersil. Kebanyakan kaki pancing memburu ikan ini kerana kekuatan pertarungan, pesona warna badannya serta populasinya. Beberapa kawasan menjadikan ikan ini sebagai menu hidangan untuk dimakan.
Dorado sering berkumpul di sekeliling serpihan laut seperti papan terapung, pelepah hanyut dan sering kali dijumpai di kawasan yang mempunyai sargassum, iaitu sejenis rumput laut. Kawasan yang mempunyai sargassum selalunya merupakan suatu kawasan ekosistem yang sempurna bagi organisma mikro seperti ketam kecil, kuda laut dan ikan kecil yang menjadi diet bagi ikan besar.
Dalam pancingan spesies ini, antara teknik yang digunakan ialah teknik menunda atau trolling. Bot perlu ditumpu ke arah kawasan yang mempunyai kedalaman sekitar 30-40 meter, lebih-lebih lagi kawasan rumput laut. Kekuatan tali utama yang biasa digunakan untuk pertarungan dengan spesies ini ialah sekitar 30-50lb.
Selain teknik menunda, teknik jigging dan casting juga popular untuk merasai tentangan akrobatik sang dorado. Oleh kerana dorado gemar bergerak dalam kumpulan, apabila seekor dorado mengena pancing, kebiasaannya balingan jig ke kawasan berhampiran pasti tidak mengecewakan.
Selain penggunaan gewang tiruan, penggunaan umpan hidup seperti ikan tamban dan selar juga mampu memikat spesies ini. Teknik drifting umpan hidup menjadi pilihan peribadi penulis kerana telah beberapa kali teknik drift ini berjaya menaikkan sang dorado.
Saat pertarungan, anda pasti dapat merasai pesona tersendiri spesies ini. Asakan yang kuat, pecutan larian yang meluncur laju dan lompatan akrobatiknya cukup membuatkan adrenalin dalam badan anda menjerit kepuasan. Apatah lagi dengan pesona warna terang pada badannya. Cukup berbaloi untuk pertarungan dan pastinya lensa kamera tersedia untuk tugasan mengambil foto kenangan bersama spesies trofi ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...