Kaki tapau yang dimaksudkan ini ialah mereka yang sering mengaut atau bawa pulang semua hasil tangkapan yang berjaya diperoleh. Termasuklah dari saiz kecil hinggalah bersaiz kecil-kecil anak, malah yang bersaiz sebesar ibu jari juga mahu mereka bawa pulang.
Acap kali dilihat di laman sosial mengenai kewujudan golongan-golongan ini. Mereka seakan-akan tidak segan silu memuat naik gambar mereka bersama semua hasil tangkapan yang boleh dikatakan tidaklah sebesar mana, namun seakan menunjuk-nunjuk lambakan ikan bersaiz curut yang mereka perolehi.
Bila diajukan soalan, “Kenapa tidak dilepaskan je ikan tu, kecil lagi tu?!”
Lantas, dengan bangga pemancing itu menjawab, “Rezeki Tuhan nak bagi, kenapa nak tolak? Kalau tak ambil, itu tolak rezeki namanya. Lagipun kalau aku tak ambil ikan tu mesti ada orang lain yang kaut jugak!”
Memang benar rezeki jangan ditolak, tetapi tidak kah kita sedar bahawa, sudah menjadi tanggungjawab sebagai seorang kaki pancing untuk bersama-sama menjaga kelestarian alam. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan jaga ikan-ikan kita.
Antara jalan penyelesaian yang dapat kita pertimbangkan bersama, kenapa tidak mulai sekarang kita sebagai pemancing mula menetapkan had jumlah ikan yang perlu dibawa pulang. Seelok-eloknya ikan yang bersaiz kecil serta ikan induk yang bertelur haruslah kita lepaskan kembali ke habitatnya.
Ikan air tawar, contohnya sebarau yang masih kecil, lepaskanlah semula. Jika ia ikan betina dan nampak sedang bertelur, apa salahnya lepaskan semula dan biarlah ia menetaskan dahulu benih-benihnya. Begitu jugalah dengan udang galah dan ikan-ikan lain.
Setidak-tidaknya amalkanlah konsep bag limit, iaitu ambil jika benar-benar hendak makan sahaja bukan bawa pulang semua hasil tangkapan. Walaupun ada di antara kita yang kurang pasti sama ada ikan yang dilepaskan itu mampu survive atau tidak, tetapi ketahuilah, ia pasti akan mati jika anda tidak melepaskannya kembali ke habitat asal. Diharapkan, dengan cara ini, ada juga sesuatu yang dapat anda sumbangkan kepada generasi akan datang.
Sekurang-kurangnya dengan usaha yang dilakukan oleh kaki pancing yang ada pada hari ini akan selamatlah stok ikan-ikan kita daripada diambang kepupusan selain untuk kesinambungan generasi di masa akan datang.