Pancingan Ebek Di Malaysia!!

Share

 

Antara lokasi terbaik memancing ebek ialah di kebanyakan perairan Terengganu, Pulau Tenggol, Kemaman, Pekan selain pesisir pantai dan benteng berbatu. Waktu sesuai untuk memburu ebek dikatakan sekitar bulan April hingga Ogos setiap tahun.

Lubuk terbaik untuk memburu ebek ialah di kawasan yang mempunyai struktur seperti batu atau karang kerana ebek gemar berlegar di kawasan seperti ini.

 

Walaupun tidak mempunyai nilai yang tinggi sebagai hidangan makanan, kemampuan dan kekuatan dalam pertarungan cukup memberikan kepuasan kepada kaki pancing lebih-lebih lagi ebek bersaiz besar.

Ebek sebenarnya cukup agresif dan boleh mendatangkan kehampaan kepada kaki pancing andai memandang enteng kemampuan ikan yang mempunyai badan berkilat ini.

 

 

Sejurus memakan umpan atau menyedari kail berada di mulutnya, ebek akan bertukar menjadi sangat agresif dengan tiba-tiba.

Spesies ini akan mengerah kekuatannya pada awal pertarungan dengan melakukan rontaan kiri kanan dalam usaha melepaskan kail sambil memecut laju.

 

Jika pemancing dapat bertenang dan berjaya menahan asakan awal spesies ini, peratus untuk menaikkan ikan ini semakin tinggi kerana daya juang ebek semakin berkurang apabila semakin lama pertarungan berlangsung.

Mungkin kerana sifatnya yang gemar melakukan serangan pada awal pertarungan.

 

Secara tradisional, kebanyakan pemancing menggunakan teknik pancingan dasar ketika memancing spesies ini.

Pancingan dasar spesies ini tidak tertumpu di lautan sahaja, malah sering dipraktikkan oleh pemancing pantai, pancingan di benteng pemecah ombak, di kelong dan pancingan muara dari tebing.

 

Bagi penggunaan umpan untuk kaedah ini, penggunaan udang merupakan antara yang paling popular di kalangan pemancing. Penggunaan udang kopek sering mampu menaikkan ebek juvenil di kawasan yang lebih hampir dengan daratan.

 

Penggunaan udang hidup juga sangat efektif untuk pancingan dasar dan pemancing boleh cuba menggunakan teknik ikatan yang memberikan udang tersebut ruang di pertengahan air, bukan berada betul-betul di dasar perairan.

 

 

Selain daripada penggunaan umpan udang hidup, pilihan kedua ialah anda menggunakan umpan sotong.

Anda boleh mencuba menggunakan umpan sotong cumit atau sotong mati yang dikelar agar kelihatan melambai ketika di dalam air. Umpan sotong juga efektif kerana ebek memang menjadikan sotong antara diet utama makanannya.

 

Selain kedua-dua umpan yang disebutkan di atas, pilihan lain untuk anda ialah umpan ikan seperti tamban.

Umpan ikan tamban juga boleh dijamah oleh ebek terutama yang bersaiz besar biarpun kekerapan henjutan mungkin sedikit kurang berbanding sotong dan udang. Namun bak kata orang, tak ada rotan, akar pun jadilah.

 

 

 

Published by
Amang