Sebagaimana golongan profesional lainnya, para pendidik atau guru turut memiliki hobi tersendiri bagi mengisi waktu luang khususnya pada hujung minggu.
Malah bukan sedikit juga para pendidik ini terjebak dalam dunia memancing sehingga menjadi pemancing tegar. Begitu jugalah dengan Mohd Noor Idrus yang lebih mesra dipanggil Cikgu Derus.
“Sebelum ini saya memang ada macam-macam hobi tapi bila dah terjebak dengan memancing ni, satu persatu hobi lain saya tinggalkan.
Saya tak pasti apa yang menarik sangat memancing ni tapi kalau seminggu tak tarik ikan ni rasanya tak sedap badan,” ujar Cikgu Derus.
Menetap dan mengajar di Sri Iskandar, Perak yang dikelilingi oleh kawasan lombong tinggal tidak menarik minat Cikgu Derus untuk menghabiskan masa luang di lombong dengan memancing ikan raja (peacock bass) atau lain-lain spesies.
Sebaliknya Cikgu Derus lebih berminat memburu spesies liar di Sungai Perak dan juga Sungai Kinta. Terutamanya ikan patin dan baung.
Sementara umpan yang digunakan pula lebih kepada umpan konvensional atau tradisi seperti buah-buah hutan yang tumbuh meliar di kawasan persekitaran.
Setiap kali sebelum turun memancing di Sungai Perak atau Sungai Kinta, Cikgu Derus akan cari dahulu umpan kegemarannya iaitu buah ara dan buah lakum.
Berbanding buah ara yang cukup popular sebagai umpan ikan-ikan liar di sungai, Cikgu Derus lebih minat menggunakan umpan buah lakum.
Malah Cikgu Derus sanggup tidak turun memancing sekiranya tidak mempunyai stok buah lakum.
Dan untuk memastikan stok buah lakum tidak putus, Cikgu Derus bertindak menanam pokok menjalar tersebut pada pagar di sekeliling rumahnya.
“Berbanding patin saya lebih sukakan ikan baung. Kalau dapat baung memang saya tak jual atau sedekahkan pada orang.
Masalahnya kalau guna buah ara memang susah nak dapat baung tapi kalau guna buah lakum memang ada peluang untuk dapat baung.
Sebab itulah saya guna sekurang-kurangnya dua batang pancing. Satu guna umpan buah lakum dan satu lagi buah ara. Kadang-kadang dua-dua pancing saya guna umpan buah lakum.
Tapi kalau tak ada buah lakum, saya sanggup tak turun memancing,” ujar beliau yang turut gemar mengilat haruan sekiranya tidak turun memancing di Sungai.