Sebagaimana golongan profesional lainnya, para pendidik atau guru turut memiliki hobi tersendiri bagi mengisi waktu luang khususnya pada hujung minggu.
Malah bukan sedikit juga para pendidik ini terjebak dalam dunia memancing sehingga menjadi pemancing tegar. Begitu jugalah dengan Mohd Noor Idrus yang lebih mesra dipanggil Cikgu Derus.
“Sebelum ini saya memang ada macam-macam hobi tapi bila dah terjebak dengan memancing ni, satu persatu hobi lain saya tinggalkan.
Saya tak pasti apa yang menarik sangat memancing ni tapi kalau seminggu tak tarik ikan ni rasanya tak sedap badan,” ujar Cikgu Derus.
Ads
Menetap dan mengajar di Sri Iskandar, Perak yang dikelilingi oleh kawasan lombong tinggal tidak menarik minat Cikgu Derus untuk menghabiskan masa luang di lombong dengan memancing ikan raja (peacock bass) atau lain-lain spesies.
Sebaliknya Cikgu Derus lebih berminat memburu spesies liar di Sungai Perak dan juga Sungai Kinta. Terutamanya ikan patin dan baung.
Sementara umpan yang digunakan pula lebih kepada umpan konvensional atau tradisi seperti buah-buah hutan yang tumbuh meliar di kawasan persekitaran.
Ads
Setiap kali sebelum turun memancing di Sungai Perak atau Sungai Kinta, Cikgu Derus akan cari dahulu umpan kegemarannya iaitu buah ara dan buah lakum.
Berbanding buah ara yang cukup popular sebagai umpan ikan-ikan liar di sungai, Cikgu Derus lebih minat menggunakan umpan buah lakum.
Malah Cikgu Derus sanggup tidak turun memancing sekiranya tidak mempunyai stok buah lakum.
Dan untuk memastikan stok buah lakum tidak putus, Cikgu Derus bertindak menanam pokok menjalar tersebut pada pagar di sekeliling rumahnya.
Ads
“Berbanding patin saya lebih sukakan ikan baung. Kalau dapat baung memang saya tak jual atau sedekahkan pada orang.
Masalahnya kalau guna buah ara memang susah nak dapat baung tapi kalau guna buah lakum memang ada peluang untuk dapat baung.
Sebab itulah saya guna sekurang-kurangnya dua batang pancing. Satu guna umpan buah lakum dan satu lagi buah ara. Kadang-kadang dua-dua pancing saya guna umpan buah lakum.
Tapi kalau tak ada buah lakum, saya sanggup tak turun memancing,” ujar beliau yang turut gemar mengilat haruan sekiranya tidak turun memancing di Sungai.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Trekking bukanlah menjadi penghalang kepada penulis, cuma khuatir buku lali penulis yang pernah kondem ketika aktif bersukan dulu tidak berupaya untuk menampung badan yang sedia berat.
Justeru, bila ada rakan menyatakan Klang Gate sudah boleh masuk dan tak perlu trekking, penulis dengan penuh girang untuk menyertai komplot Team Sentap berkhemah dan memancing di Klang Gate selama 3 hari 2 malam.
Sebelum pergi, penulis buat homework sikit. Laman web Google dan juga bertanyakan rakan-rakan pasal pancingan di Klang Gate.
Rumusan yang diperolehi, memang tiada jalan masuk ke Klang Gate melainkan harus trekking juga. Kemudian, sebelum hari kejadian penulis bertanya lagi untuk pengesahan dan jawapannya, hanya perlu trekking 10 minit saja.
Terbuktilah tiada masuk selain trekking dan jika hanya 10 minit itu sudah kira satu bonus!.
10 minit?!! Ternyata penulis dah terkena. Dari tempat parkir kenderaan di kawasan perumahan yang masih dalam pembinaan sehingga ke tebing sungai Klang Gate memakan masa melebihi setengah jam!
Tambah memeritkan, akibat hujan lebat sebelumnya denai sempit yang menjadi laluan motor menjadi dalam dan licin.
Silap percaturan boleh tergelincir dan bergolek bersama barang-barang sepanjang lereng bukit.
Dan penulis tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan bila pulang nanti memandangkan sepanjang jalan pergi hanya perlu menuruni lereng bukit yang curam dan licin.
Di tebing sungai, Brader Arip, guide pancing kami sedia menanti kami berlapan. Termenung dia sekejap melihat jumlah kelengkapan kami untuk diangkut dengan dua bot fibernya yang salah satunya tidak berenjin.
Nasib kami agak baik juga bila seorang rakan Brader Arip yang juga guide pancing sudi menyertai kami. Dengan 3 bot fiber dan 2 buah enjin 4 lejang 3-5 kuasa kuda, perlahan-lahan kami bergerak tapak perkhemahan.
Ekoran musim hujan, paras air di Klang Gate naik agak tinggi menyebabkan kawasan berkhemah agak terhad. Mujur juga Brader Arip awal-awal lagi sudah booking tapak perkhemahan dengan mendirikan khemah di kawasan yang terbaik.
Hasil casting dan trolling di petang hari pertama ternyata agak memberangsangkan. Empat ekor sebarau berjaya didaratkan.
Paling besar berskala 1.8 kilogram trolling dengan gewang Rapala Shad Rap Deep Fire Tiger.
Selain dijadikan hidangan malam, seekor sebarau bersaiz kecil dijadikan umpan untuk memburu toman yang menurut Brader Arip memang sukar untuk membaham gewang.
Pada sebelah malamnya pula, baung dan temperas agak rajin memagut umpan cacing yang disuakan.
Hujan pada malam pertama dan cuaca yang agak mendung pada pagi hari kedua, umumnya petanda yang bagus untuk keluar mengilat sebarau dan toman.
Ia terbukti benar apabila kerap sesudu dan gewang selaman dalam kami di ligan oleh sebarau berstatus juvana yang kemudiannya dilepaskan kembali ke habitatnya.
Aksi toman pula banyak mengajar kami erti kesabaran. Pelbagai gewang dilemparkan langsung tak dipedulikan.
Malah seperti mengejek kami agar terus berdayung mengejarnya. Menjelang awal tengah hari, tiupan angin yang agak kuat menyukarkan kami untuk terus mengilat dan kembali ke tapak perkhemahan bagi memburu sang toman dengan cara pancingan bottom pula.
Awal petang ketika ramai ahli komplot ke hulu sungai untuk mandi-manda dan tiada aktiviti sampan-sampan nelayan sungai lalu lalang di kawasan perkhemahan, barulah sang toman berani membaham umpan sebarau yang dilontarkan.
Dua kali ia membaham dan memecut pergi membawa umpan namun kedua-duanya gagal dijinakkan. Tak lekat dan rabut.
Tapi dari gaya sentapan dan pecutannya menggambarkan ia bukanlah berstatus juvana. Sementara pada petang harinya, hasil casting dan trolling membukti lagi sebarau masih menghuni lubuk Klang Gate dengan sihat.
3 ekor sebarau bersaiz hidangan dibawa pulang untuk dimasak stim pula setelah malam sebelumnya dibakar dan digoreng.
Angin yang bertiup kencang pada hari ketiga menyulitkan kami untuk mengilat manakala trolling pula kurang menjadi.
Maka terpaksalah menghabiskan masa dengan pancingan bottom sebelum bergerak pulang.
Sekali lagi toman memperlihatkan aksinya ketika kami sedang menghadap juadah makan tengah hari. Dan sekali lagi juga toman yang menang. Kemenangan yang membuatkan kami berazam untuk kembali.
Hanya laluan denai menegak sejauh mata memandang saja sedikit sebanyak merubah azam untuk kembali ke Klang Gate. Terutamanya pada penulis.
Nak pecah dada dibuatnya mendaki bukit menuju jalan keluar. Setelah lebih satu jam dengan beberapa kali berhenti, hanya setelah melihat kawasan perumahan barulah dapat bernafas lega.
Mujur jugalah buku lali penulis yang bermasalah tidak meragam, hanya bengkak dan sengal-sengal. Yang pasti, Klang Gate cukup menarik dan perlu menarik nafas panjang untuk menduganya.
Sempena cuti hujung tahun, saya berkesempatan melawat sebuah rumah panjang di pedalaman Sarawak.
Memandangkan saya peminat pancingan sungai pergunungan, peluang tersebut tidak disia-siakan dengan membawa set memancing ringkas untuk menduga penghuni sistem sungai di Ulu Baram, salah satu sungai terbesar di Sarawak selepas Sungai Rejang.
Namun, kerana kekurangan informasi mengenai keadaan di sana, saya dibuli teruk kerana set tidak sepadan dan kekurangan peralatan.
Dari itu, saya telah merancang rapi satu trip ‘balas dendam’ setahun berikutnya dan berjaya merasai sendiri pengalaman hebat bergasak dengan ikan yang digelar raja sungai pergunungan dengan kaedah casting atau mengilat.
PERANCANGAN DIATUR
Setibanya di Miri, di mana saya bersama isteri dan adik yang juga kaki mengilat telah dijemput oleh Henry Agang selaku guide kami dan bermulalah perjalanan Ke hulu Sungai Baram melalui jalan balak selama 8 jam.
Kami tiba di sebuah perkampungan etnik Kenyah kira-kira jam 7.00 petang. Tidak banyak infoyang boleh dilakukan malam itu kecuali menyiapkan diri serta peralatan untuk keesokan harinya.
Tempat penginapan kami boleh dikatakan mewah dengan keadaan rumah panjang yang cantik dan bersih, bekalan air pergunungan yang tiada had serta generator untuk bekalan elektrik.
Pagi berikutnya, walaupun saya bangun awal kerana tidak sabar untuk melontar gewang, namun perjalanan belum dapat diteruskan kerana masalah bot dan enjin sangkut. Menjelang tengah hari barulah masalah tersebut dapat diselesaikan.
Long Buang, salah sebuah anak sungai yang bersambung dengan Sungai Baram menjadi sasaran kami, hanya terletak kira-kira 30 minit menghulu dari perkampungan tersebut namun perjalanan terasa amat lama kerana keadaan sungai yang cetek dan deras dengan bongkah-bongkah batu besar di tengah-tengah sungai membuatkan enjin 15hp bagaikan hanya berkuasa 2hp lajunya.
Setibanya di Long Buang, kami terpaksa meninggalkan bot di muara kerana air sungai terlalu cetek untuk dimudiki.
Rancangan asal adalah untuk terus berjalan kaki ke hulu di mana terdapat banyak lubuk besar dan dalam namun memandangkan kami hanya mempunyai masa setengah hari untuk memancing maka rancangan diubah untuk hanya menduga lubuk-lubuk kecil berdekatan muara.
Saya menggunakan set padanan Abu Garcia Revo MGX dengan rod custom 4-7lb, satu set ringan kerana berpendapat kawasan dekat muara ini tiada saiz ‘monster’ berikutan lubuknya yang kurang dalam.
Namun lontaran pertama sesudu Abu Island II Gold 12 gram terus sahaja bersambut.
Saya dapat menjangkakan bahawa ini perbuatan sebarau kerana sambaran diterima ketika sesudu baru tenggelam dan larian pertamanya yang padu namun agak singkat.
Setelah dihela ke tebing seekor sebarau dua belang dalam anggaran berat 500 gram berjaya dinaikkan.
Saya difahamkan, di lubuk ini hanya sebarau dua belang sahaja yang menghuni. Dan berdasarkan pengalaman memancing spesies ini di kebanyakan lokasi di Sarawak, daya juang sebarau dua belang jauh lebih hebat daripada saudaranya satu belang.
Dari segi penampilan fizikalnya juga memang berbeza dengan kepala yang lebih besar dan nampak garang, badan yang lebih ‘ streamline’ dan panjang serta dua belang hitam melintang di tengah badan dan pangkal ekor menampakkan lagi kelainan ‘sebarau Borneo’ ini.
Memandangkan hari semakin lewat tengah hari, kami memutuskan untuk casting secara ‘rapid’ dalam usaha mendapatkan lauk untuk makan tengah hari kerana kami hanya membawa nasi sahaja sebagai bekalan makanan.
Lagipun menurut guide kami, adalah senang untuk mendapat lauk-pauk di dalam perjalanan sebab banyak paku-pakis dan tumbuhan hutan lain yang boleh dimakan bersama ikan yang dipancing nanti.
Sebarau dan anak tengas rata-rata dalam lingkungan berat 500-900 gram berjaya kami naikkan. Dalam masa lebih kurang setengah jam casting hasil keseluruhan 3 orang ‘caster’ untuk dijadikan lauk kami adalah lebih kurang 15 ekor.
Agak menyedihkan, kerana terpaksa mengambil juvenil untuk dijadikan hidangan. Nak buat macam mana, survival.
TRIP PETANG
Setelah makan, kami berkemas untuk meneruskan agenda sebenar trip. Jam menunjukkan pukul 3 petang. Kami berpecah kepada dua kumpulan untuk meminimumkan bunyi bising dan setiap kumpulan diberi lubuk masing-masing untuk digempur.
Di satu lubuk yang dalam, lontaran pertama saya terus bersambut. Sesudu Abu Island II 12 gram disergap pemangsa jauh di dalam lubuk ketika dibiarkan tenggelam.
Drag kekili Abu Garcia Mgx disetkan tinggi namun tali mencurah-curah keluar. Saya terpaksa menambah tegangan dengan ibu jari menahan spool yang ligat berpusing. Ikan berjaya dihalang daripada masuk ke kubunya dan dilayan sehingga letih.
Kira-kira 2 minit kemudian ternampak kelibat ikan di dalam air yang sejernih kristal. Agak kecewa kerana apa yang menonjol adalah dua garisan melintang di tengah badan ikan.
Badong rupanya… ingatkan kelah sebab tarikannya memang syok habis. Yelah kan, penulis belum ada pengalaman bertarung dengan kelah, masih kurang arif dengan lariannya. Bacaan pada ‘lip grip’ menunjukkan angka 5lb. Lebih kurang 2 kilo lebih. Memang puas hati.
Berita daripada kumpulan lain agak kurang memuaskan. Hanya sebarau juvenil yang banyak dinaikkan untuk hari pertama. Memandangkan hari semakin lewat kami bergerak balik pada pukul 5.00 petang.
Dalam perjalanan pulang, kami merancang untuk memancing dasar pada malam harinya, namun selepas sahaja berehat, semuanya terus hanyut tertidur dek keletihan.
Keesokan harinya, kami bertolak agak lambat kerana porter dari suku kaum Penan yang diupah untuk mengangkat enjin sangkut ke perahu datang lambat.
Jam 10 pagi barulah kami dapat bergerak ke Long Buang. Hari ini, kami merancang untuk pergi lebih jauh ke hulu demi mendapatkan lubuk-lubuk besar yang dalam.
Sepanjang ‘trekking’ menghulu tersebut, saya sempat melempar sesudu di kawasan-kawasan yang difikirkan berpotensi.
Sebarau amatlah banyak, sehingga ‘blind cast’ pun bersambut. Sekali-sekala anak-anak tengas juga turut terjerat. Strategi hari ini juga seperti hari sebelumnya.
Kami berpecah kepada 2 kumpulan untuk meneroka lubuk-lubuk. Jam 2 petang kami berkumpul semula untuk rehat makan.
Sementara menunggu api hidup dan memasak, saya mencuba di sebuah lubuk berdekatan lokasi kami berehat.
Beberapa ekor sebarau berjaya didaratkan walaupun dalam keadaan bising dengan semua anggota trip berkumpul dan memasak. Saya masih lagi mencuba beberapa balingan.
Dalam satu balingan yang ‘miss q’, tali dalam spool menjadi kusut. Sesudu terus tenggelam ke dasar sementara saya membetulkan tali.
Pada karauan pertama, sebaik sesudu terangkat dari dasar,terasa satu terjahan padu menghentam dan menarik tali mencurah-curah dari kekili. Setelah dilayan seketika, menyerahlah seekor kelah dalam anggaran 600gram.
Selain sesudu, saya turut mencuba gewang selaman dalam berwarna terang yang menyerupai buah-buah hutan. Rapala FatRap 5cm berwarna Golden F1 Red (GFR) amat laku di sini. Dua kali tali utama 30 lb saya putus.
Mungkin kesilapan saya sendiri kerana menggunakan tali yang terlampau halus. Tali Gtech walaupun kuat, ia mungkin tidak dapat menahan geseran dengan batu-batu di dasar sungai lalu terputus.
Menjelang petang, kami bertolak balik dengan azam untuk ‘repeat’ keesokan harinya. Namun keesokannya, niat kami terbantut apabila hujan lebat turun sepanjang hari menyebabkan sungai menjadi keruh.
Kami memutuskan memancing dasar berumpankan cacing di Sungai Baram. Keputusannya beberapa ekor baung berjaya kami perolehi.
High light hari ketiga ini adalah pertarungan isteri saya, Lydia dengan ikan misteri yang berjaya melepaskan diri walaupun dilayan dengan menaiki bot. Menurut guide, mungkin angkara ikan ‘Keramu’ (bahasa Kenyah) iaitu spesies baung besar berwarna kelabu.
HARI TERAKHIR
Keesokannya harinya, cuaca begitu baik dan kami mengambil keputusan kembali ke Long Buang yang telah kembali jernih. Saya bergerak seorang diri menghulu sungai, mendahului ahli-ahli yang lain.
Keadaan lebih sunyi dan ikan kurang menyedari kehadiran pemancing menyebabkan penulis ‘lost count’ sambaran sebarau dan anak kelah yang dinaikkan tapi sayang tiada orang untuk merakamkan detik pertarungan.
Bergambar pun jadi malas sebab tiada sebarau dan kelah ‘monster’ sudi menjadi model. Namun, purata berat ikan-ikan yang dinaikkan tidaklah mengecewakan, memang ada ‘fight’! Kira-kira jam 4.00 petang kami bergerak balik menyusuri sungai.
Sedih meninggalkan syurga sebarau ini. Namun kami akur dengan keadaan masa yang mencemburui kami. Dalam perjalanan pulang ke rumah panjang, saya meminta agar bot berhanyut kerana mahu melontar gewang di sepanjang Sungai Baram sehingga ke kawasan kampung.
Beberapa minit kemudian, lontaran Rapala Fatrap 5cm GFR ke satu sudut lubuk disergap sesuatu ketika gewang menyelam maksimum. Berdasarkan kedalaman strike zone itu, saya dapat membuat tekaan angkara siapa.
Sentapan balas dibuat dan larian tiada henti pun berlaku. Berdesit-desit tali keluar dari kekili. Penulis hanya mampu berharap tali utama, perambut, ikatan FG knot, swivel, split ring dan segala macam peralatan dapat bertahan.
Mujur perahu yang digunakan berada jauh dari tebing maka ikan dapat dihalang daripada masuk ke mana-mana reba yang sememangnya banyak di kawasan tebing sungai.
Apabila dirasakan ikan menyerah kalah, tali dikarau dengan cepat dan berhati-hati, manalah tahu pecutan tiba-tiba berlaku. Putih mata dibuatnya kalau putus lagi.
Kira-kira 10 minit kemudian,ikan berjaya dihela ke permukaan dan satu kilauan perak yang besar kelihatan. Gembira bukan kepalang apabila melihat ikan kelah atau lebih dikenali sebagai ‘jembala’ oleh penduduk tempatan menyerah kalah di tepi bot.
Namun kegembiraan itu tidak lama, digantikan dengan ‘sense of urgency’ untuk menaikkan ikan tersebut ke dalam bot kerana cangkukan mata treble VMC 4X di mulut ikan kurang kemas.
Sejurus terlantar di lantai bot, gewang terlepas dari mulut ikan. Mujur sempat dinaikkan. Gambar diambil sambil membelek kagum kecantikan ikan tersebut.
Dengan kejayaan menaikkan kelah tersebut, maka berakhirlah trip idaman bagi penulis, namun kejayaan ini telah menanamkan tekad untuk kembali lagi suatu masa nanti.
6 pemancing yang dikhuatiri hilang ketika memancing di perairan Pulau Pinang, ditemui dalam keadaan selamat dan akan dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Semua mereka tiba tepat 10.10 malam tadi dengan bot ditunda kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Kira-kira 50 orang terdiri daripada ahli keluarga dan sanak-saudara semua mangsa dilihat menunggu sejak 7 malam tadi sejurus mendapat maklumat mereka ditemui dalam keadaan selamat.
Sejurus tiba di atas kapal, doa kesyukuran dibacakan kerana semua mereka selamat ditemui.
Tekong bot, Mohd Khairul Anuar Mohd Salleh, 30, berkata, bot dikemudinya berlanggar dengan tali kapal yang dibuang dalam laut menyebabkan kotak gear pecah.
Menurutnya, ketika itu 6 petang serta semua mereka dalam perjalanan pulang dan disebabkan kerosakan enjin itu menyebabkan dia terpaksa melabuhkan sauh.
“Bagaimanapun, kira-kira 4 pagi, sauh tidak melekat akibat ombak kuat menyebabkan bot kami dihanyutkan arus.
Menurutnya, mereka bernasib baik apabila ada nelayan ternampak kelibat mereka 4.35 petang tadi dan kemudian terus menunda bot kepada APMM.
“Ini pengalaman paling ngeri yang pernah saya alami kerana ia pertama kali berlaku sepanjang saya menjadi tekong bot,” katanya.
Semua mereka, bagaimanapun, berjaya ditemui kira-kira 20 batu nautika dari Pulau Kendi 4.35 petang hari ini.
Aksi sebelum bot rosak
Seorang mangsa, Mohamad Faiz Ibrahim Tek turut mencatatkan pengalaman pahit ini di media sosialnya.
“Punca kami terkandas…Perjalanan pulang, sudah hampir sampai ke pengkalan kira2 20km dari Pulau Kendi.
Bot terlanggar tali sauh yg menyebabkan enjin bot tidak dpt berfungsi utk meneruskan perjalanan.
Kami terkandas di tgh2 laut tanpa sebarang liputan talian komunikasi.
Kami melabuhkan sauh dan berusaha memanggil bot2 berdekatan tetapi tidak berjaya kerana jarak terlalu jauh dan hari kian gelap.
Mohon kepada semua, jaga la laut kita… jgn buang sampah merata2 kerana ai boleh mendatangkan kesusahan pada orang lain.
Terima kasih pada ahli keluarga, sahabat, pihak2 yg terlibat menjalankan operasi menyelamat. Terima kasih mendoakan keselamatan dan kepulangan kami.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...