Konsep rumah rakit hampir sama dengan kelong, Cuma struktur rumah rakit biasanya dibina di atas tong sebagai pelampung sedangkan struktur kelong pula ialah ceracak tiang, selalunya menggunakan batang nibong.

 

RUMAH RAKIT TELOK GONG

Bagi anda yang tinggal di sekitar Lembah Klang, Rakit Telok Gong yang terletak di Klang mungkin menjadi antara lokasi alternatif untuk meluangkan masa hujung minggu atau sebagai port melepas gian bersama joran anda.

Dengan jarak yang tidak terlalu jauh serta mudah akses, Rumah Rakit Telok Gong memang meriah dengan kehadiran pemancing terutama hujung minggu.

 

Sepanjang jajaran sungai menghala ke laut Pelabuhan Klang ini, sebenarnya bukan sedikit rumah rakit yang dapat dilihat di kawasan Telok Gong ini.

Terdapat kira-kira 30 buah rumah rakit yang tersergam bertebaran dan setia menerima kunjungan kaki pancing saban hari.

Rumah rakit di sini biasanya dimiliki oleh orang perseorangan dan seorang pemilik biasanya memiliki lebih daripada satu rumah rakit.

 

Keadaan di rumah rakit juga rata-rata cukup selesa kerana prasarana atau kemudahan yang disediakan seakan sebuah chalet terapung.

Setiap rumah rakit di Telok Gong rata-rata dilengkapi dengan tilam, ruang dapur untuk memasak, bilik air dan juga televisyen.

Jadi anda yang mahukan suasana pancingan santai bersama keluarga atau rakan-rakan, mungkin boleh berkunjung ke sini nanti.

IKLAN

 

KUNJUNGAN KE RAKIT ZAINUDIN

Saya berkesempatan berkunjung ke salah satu rumah rakit di Telok Gong yang di miliki oleh Zainudin. Hanya memakan masa kira-kira setengah jam perjalanan dari Shah Alam, saya dan rakan tiba di Jeti Telok Gong. T

idak menunggu lama, kami dijemput oleh boatman iaitu Abang Jais dan terus dibawa ke rumah rakit yang mengambil masa lima minit dari jeti.

 

Seperti dijelaskan pada awal tadi, rumah rakit Zainudin ini turut lengkap dengan kemudahan dan sangat selesa.

Keadaan kebersihan di bilik air dan ruang dapur juga agak memuaskan. Menurut Abang Jais, memang menjadi rutin baginya bagi mengekalkan kebersihan rumah rakit untuk keselesaan pengunjung.

 

Sewaktu kunjungan kami, keadaan arus agak laju kerana air pasang besar. Berbekalkan umpan udang dan perumpun, beberapa spesies agak galak menjamah umpan ialah ikan duri, gelama dan gelama pisang.

IKLAN

Spesies lain tidak ada yang sudi mungkin kerana keadaan air yang besar. Walaupun begitu, kami tidak menang tangan melayan spesies tersebut terutama sekitar jam 8-10 malam.

 

Menurut Abang Jais, rumah rakit Zainudin yang beroperasi sejak tahun 1997 ini telah menyaksikan banyak spesies ikan pernah dinaikkan.

Antaranya spesies pari, senangin, gemang dan siakap. Namun menurut pemerhatian peribadi Abang Jais, waktu yang sesuai ialah ketika air kecil dengan arus sedikit perlahan. Apa pun, kami tetap menikmati keseronokan melayan gelama pisang ketika ke sini.

 

Bagi pemilihan umpan pula, umpan yang paling mujarab ialah umpan udang hidup. Namun begitu, jika anda berkunjung ke sini, jangan lupa membawa umpan udang kopek dan perumpun untuk melayan gelama.

Jika anda gusar untuk mencari umpan udang ketika ke sini, tanyakan saja kepada boatman di jeti kerana umpan udang hidup ada dijual di sini.

 

IKLAN

Bagi yang tertanya-tanya kadar bayaran untuk ke sini, kadar yang ditetapkan cukup berpatutan. Kadar pakej pancingan di Rumah Rakit Zainudin hanya sebanyak RM35 seorang, namun anda perlu datang minimum 3 orang.

Bagi yang mahukan lebih privasi, apa kata anda tapau satu rakit dengan kadar RM350 sehari dan rakit ini mampu menampung maksima 12 orang pada satu masa.

 

BAGAIMANA KE SINI?

Dari Shah Alam, ikut lebuh raya Kemuning-Shah Alam (KESAS) E13 arah ke Pelabuhan Klang sehingga anda menjumpai susur keluar kiri ke Telok Gong.

Teruskan pemanduan sehingga anda menjumpai simpang ke kanan menuju Kampung Nelayan Telok Gong.

Belok kanan pada simpang tersebut dan anda akan menemui satu lagi simpang. Ambil kanan dan teruskan pemanduan sehingga anda tiba di Jeti Kampung Nelayan, Telok Gong.

 

 

tengok juga Tip ekstra mancing di rumah rakit

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI