Memandangkan aktiviti memancing ketika ini sangat meluas kepelbagaian tekniknya, maka setiap pemancing pasti mempunyai minat dan kecenderungan tersendiri.
Daripada memancing dasar secara tradisional sehinggalah kepada pancingan konvensional lain, setiap satu daripadanya mempunyai sensasi yang tersendiri.
Biasaya, bagi seorang kaki pancing bila sudah terkena ‘karen’ mengilat atau casting terus jadi kaki casting, yang bottom jadi kaki bottom, yang minat kolam jadi kaki kolam dan lain-lain lagi, termasuklah yang pemancing cari makan (cari ikan untuk jual).
Bercakap perihal kaki pancing sebegini, personaliti kali ini bukan calang-calang orang juga, bukan setakat kaki fly, malah boleh dikira sifu!
FLY-CASTER DARI PULAU MUTIARA
Nick Ooi bukanlah nama asing di kalangan peminat pancingan layang atau fly fishing, malah namanya juga dikenali di rantau Asia Tenggara. Kecintaannya terhadap aktiviti memancing terutama fly fishing amat mendalam bagi anak kelahiran Pulau Pinang berumur 63 tahun ini.
Minatnya terhadap dunia memancing dapat dilihat dengan keterlibatannya dalam aktiviti memancing sejak kecil lagi. Sehingga kini, bapa kepada tiga orang anak ini menjadi pemilik kedai pancing Tacklebox Adventures lantas menunjukkan dedikasinya terhadap dunia memancing tidak pernah pudar.
JATUH CINTA PADA FLY FISHING
Berkongsi cerita tentang keterlibatannya dalam arena pancingan layang, Nick Ooi mula mengenali teknik pancingan layang menerusi seorang rakannya dari United Kingdom sekitar tahun 2000.
Tertarik dengan teknik ini, dia bersama beberapa rakannya mula mencuba pancingan layang di lombong dan kolam di sekitar Selangor memancing spesies chiclid.
Kemudiannya, dia mencuba pula di tasik-tasik utama di Malaysia seperti Tasik Kenyir dan Royal Belum sehinggalah ke Maldives sebelum mula menulis perihal pancingan layang dalam sebuah majalah tanah air. Sedar tidak sedar, secara tidak langsung semakin ramai individu yang mula berjinak dalam pancingan layang.
Selain itu, Nick kini telah pun memiliki tauliah FFF (Federation of Fly Fishers) Casting Instructor. Dia banyak mengajar dan menguruskan trip pancingan layang dalam dan luar negara.
Nick juga mempunyai kepakaran dalam bidang entomologi dan ini membantunya dalam mencipta dry flies untuk perairan Malaysia. Antara rekaan terbaiknya sepanjang lebih 10 tahun ini termasuklah Woolly Bugger dan split tail.
MOMEN SEPANJANG MENJADI FLY CASTER
Menjawab mengenai spesies tempatan terbaik menggunakan kaedah pancingan layang, Nick mengatakan yang dia gemarkan spesies sebarau di Royal Belum. Baginya, menggunakan set pancingan layang melayan larian sang sebarau cukup mengasyikkan.
Dia juga menambah, teknik pancingan layang mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri. Malah baginya juga, teknik ini memberi kelebihan kerana dengan teknik yang betul, umpan atau dry flies hampir menyerupai serangga semula jadi.
Bagi Nick sendiri, pendedahan pancingan layang atau fly fishing di Malaysia adalah sekitar 15% hingga 20% sahaja. Oleh sebab itu, dia cuba untuk mempopularkan lagi teknik ini di Malaysia.
Kedai pancingnya juga memberi fokus kepada pancingan layang malah setiap Sabtu, dia turut mengadakan bengkel atau kelas pancingan layang secara percuma berhampiran kedainya di Subang Jaya.
Melihatkan ketekunan dan dedikasi berterusan yang disumbangkannya terhadap pengembangan aktiviti pancingan layang, memang wajar dia digelar sifu!
Profil ringkas
Nama : Nick Ooi
Umur: 63 Tahun
Asal : Pulau Pinang
Jenama pilihan: Sage dan Winston
Spesies ikan pilihan: Sebarau (Malaysia), Bonefish (Maldives), Taimen (Mongolia)