Di dalam industri memancing amnya dan kolam pancing komersial khususnya, sumber kewangan atau dana besar sahaja tidak menjamin keupayaan sesebuah kolam pancing komersial untuk kekal beroperasi.
Begitulah yang dibuktikan oleh seorang pemancing dan pengurus kolam memancing komersial air tawar iaitu Kolam Memancing Bezz Aquaculture.
Kolam yang berada jauh di hujung tanah air ini terletak di Guar Jentik, Perlis.
Berbekalkan sedikit ilmu akuakultur sepanjang bekerja dengan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian atau MARDI dan menjadi seorang pemancing kolam selama beberapa
Ads
tahun, Rohairy Rohim, 34 berupaya ‘menghidupkan’ kembali kolam pancing air tawar komersial yang pernah ditinggalkan oleh beberapa orang pengusaha sebelumnya.
“Saya masih seorang pemancing kolam tegar… jadi, saya tahu apa yang diinginkan oleh pemancing kolam kerana pemancing kolam ini ada pelbagai ragam dan kemahuan,” ujar Rohairy yang turut dikenali sebagai Bezz semenjak dari zaman persekolahan.
Ads
Atas dasar cintakan dunia memancing itulah Rohairy bukan sekadar menghidupkan kembali kolam pancing tersebut sebaliknya berjaya memeriahkannya berbanding pengurusan-pengurusan terdahulu.
Semenjak mengambil alih pengurusan kolam pada Mac 2015 yang lalu, Kolam Memancing Bezz Aquaculture kini menempatkan lebih 18 tan ikan pelbagai spesies dan didominasi oleh spesies tempatan. Selain dihuni oleh spesies patin tempatan paling berat sehingga 17 kilogram, ia turut dikongsi oleh spesies patin Mekong melebihi berat 20 kg sebanyak 13 ekor.
Spesies lain seperti tongsan, pacu dan khusus peminat pancingan rohu turut tidak diketepikan. Kolam pancing berkeluasan sekitar 100 meter x 40 meter ini di dalam kawasan kebun getah ini memiliki kedalaman tidak sekata antara 6 hingga 10 kaki.
Ads
Konsep pancingan di Kolam Memancing Bezz Aquaculture amat ringkas dan mesra pemancing. Dengan yuran bayaran memancing RM 25 untuk tempoh 3 jam pertama dan RM 7 untuk tambahan setiap jam berikutnya.
Para boleh pemancing boleh berkunjung ke sini setiap hari bermula jam 9 pagi hingga kecuali pada hari Jumaat, kolam mula beroperasi pada jam 3 petang hingga 3 pagi. Selain menyediakan ranking ikan terberat dua minggu sekali, pihak kolam turut menyediakan hadiah khas bagi spesies tertentu yang berjaya didaratkan.
GALERI
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pagi itu, tepat jam 8.30 pagi, kami mula meninggalkan jeti. Makanan tengah hari telah siap disediakan dan segala kelengkapan mula dipasang ketika bot bergerak menuju ke spot pertama. Bagi saya yang kali terakhir turun ke laut sekitar tahun 2012 bersama rakan-rakan menduga layaran Rompin, trip kali ini terasa ibarat trip laut pertama.
Sampai sahaja di spot pertama, saya telah berjaya memberi sedekah dasar laut PD dengan jig seberat 220 gram selepas beberapa kali membuat unjunan. Putih mata kejap beb! Hanya mampu berhuhu-huhu sambil memandang rakan lain.
Tidak lama kemudian, Faizal Ali berjaya mendapat strike yang pertama untuk grup kami. Unjunan jig Faizal dimamah oleh seekor yu anggaran 2-3 kg. Walau bagaimanapun, agak malang bagi Faizal apabila ikan tersebut lucut biarpun sudah diheret ke tepian bot.
“Takpe, dah boleh senyum pasal ikan sudah gigit jig aku,” ujar Faizal dengan positif dalam masa yang sama cuba menaikkan semangat kawan-kawan yang lain.
Selepas itu, tiba giliran Cikgu Badek yang kali ini berjaya menaikkan seekor ikan talang. Kalau Cikgu Badek dapat ikan yang lain siaplah, memang akan panas telinga la. Dah nama pun cikgu kan, mestilah power memberikan tip semacam dalam kelas.
Dalam tidak henti memanaskan telinga ahli trip lain, Cikgu Badek sekali lagi menjinakkan seekor ‘tong gas’. Memang sungguh hanyir cikgu ini.
Banyak spot-spot berlurah dan berbukit di dasar perairan Port Dickson berdasarkan monitor pada sonar. Memang indah ciptaanNya dan apatah lagi jelas kelihatan spot-spot impian kaki pancing. Seterusnya, Jawe pula berjaya menaikkan seekor ‘tong Gas’.
Bertambah berbulu kami yang belum disapa penghuni dasar. Saya pula hanya berjaya mendapat satu sambaran tetapi lucut selepas beberapa karauan. Tertekan juga masa tu tapi apa nak buat belum ada rezeki.
Lebih tertekan bila pembantu tekong, Syafik sahaja telah berjaya menjinakkan 2 ekor ebek bersaiz mantap dan saya dan beberapa orang rakan lain masih lagi setia mengetuk dasar dengan harapan ada sambaran kasar dari penghuni dasar.
Ketika bot berhenti untuk makan tengah hari, beberapa orang rakan lain yang telah berjaya menaikkan ikan menjamah makanan tengah hari. Kami yang lain masih terus menghulurkan jig ke dasar. Tidak disangka-sangka, bot berhenti tepat pada kawanan GT.
Pertama sekali jig saya direntap kasar dan diikuti oleh jig Faizal Ali, dan seterusnya jig Jawe. Triple hook-up!
Apa lagi, bersimpang siur tali utama kami ke kiri dan ke kanan. Sentapan rakus si GT telah berjaya menanggalkan split ring dari jig Faizal Ali. Akhirnya, GT pertama saya untuk tahun ini seberat 7 kg berjaya dinaikkan selepas 20 minit pertarungan dan GT kedua oleh Jawe yang berat jangkaan sekitar 20kg dinaikkan selepas 40 minit bertarung.
Memang cukup besar bagi GT yang dinaikkan Jawe hingga bot hanyut sejauh hampir 2.5 batu dari spot asal. Ketika pertarungan dengan Sang GT, kedengaran nyanyian berseloroh.
“Pulangkan… pulangkan… pulangkan wang kami…” daripada Cikgu Badek. Ini kerana, pertarungan Jawe memakan masa yang cukup lama sekaligus Wanx Ismail dan Ebek pinjam hasil pancingan Mr. Nedd menyebabkan rakan-rakan lain tidak boleh menurunkan jig masing-masing.
Apa pun, sikap rakan-rakan lain yang ‘sporting’ dan memberi peluang rakan-rakan melayan ikan sangat saya puji.
Selepas bergasak GT, tiada lagi sentapan dari dasar berikutan angin mula bertiup kuat dan arus laut juga semakin laju. Beberapa rakan-rakan sudah mula mengeluarkan apollo bagi mencari ikan serombong yang cukup terkenal dengan rasa isinya yang manis.
Kami bergerak balik ke Jeti pada jam 6 petang dan membersihkan diri di Admiral Marina Cove sebelum bergerak balik ke destinasi masing-masing dan masing-masing memasang hajat untuk kembali lagi dalam masa terdekat.
Sedang kebanyakan pakej rumah rakit hanya menawarkan pakej memancing dan menginap, Rumah Rakit Azarza Zainal yang terletak di Teluk Sengat, Kota Tinggi tampil dengan pendekatan berbeza 3 dalam 1 iaitu memancing, menginap dan cafe atas air.
Kunjungan kami ke rumah rakit ini terlebih dahulu disambut dengan minuman selamat datang oleh pemiliknya, Encik Azar Zainal. Menurutnya, idea untuk membuka rumah rakit dengan pakej menginap, makan dan memancing ini datangnya secara tiba-tiba.
Perancangan asal hanya untuk fokuskan kepada memancing sahaja, tetapi bila melihat dengan hanya 1 pakej kurang menjana keuntungan, maka beliau tampil dengan idea untuk
menjadikan rumah rakit ini lain daripada yang lain dengan pakej lengkap memancing, menginap dan cafe atas air.
Selain cafe dan bilik penginapan dengan konsep terbuka yang selesa, rumah rakit ini juga lengkap dengan pelbagai kemudahan lain seperti surau, tandas, TV siaran Astro, ruang makan yang selesa dan pelbagai lagi kemudahan lain.
Dikelilingi panorama menarik berlatarbelakangkan Sungai Johor pastinya rakit ini menjadi antara rakit pilihan yang boleh dikunjungi kaki pancing yang ingin membawa keluarga untuk bercuti sambil memancing.
Rumah rakit ini juga amat sesuai buat mereka yang ingin merancang untuk membuat hari keluarga atau apa jua aktiviti yang melibatkan kuantiti peserta yang ramai kerana ia mampu memuatkan maksima seramai 100 orang pada satu-satu masa.
Ditanya tentang perancangan masa hadapan, Encik Azar Zainal merangka untuk membina sebuah lagi rumah rakit yang baru dengan konsep bilik penginapan yang berbeza dan lebih privasi untuk pengunjung.
Selain itu beliau juga ingin menambah pelantar bagi memudahkan kaki pancing melontar joran dengan lebih selesa selain menambah baik kemudahan sedia ada untuk kepuasan pengunjung.
Sewaktu kunjungan singkat kami tempoh hari boleh dikatakan rezeki tidaklah memihak kami. Dengan kunjungan singkat dan keadaan air yang kurang cantik hanya spesies kecil sahaja yang sudi menjamah umpan kami.
Namun apabila melihat koleksi foto pemancing dengan tangkapan di rakit ini kami percaya ia juga menjadi persinggahan pelbagai spesies ikan gred A seperti siakap, tebal pipi, senangin, kerapu, merah, semilang dan macam-macam lagi.
Selain memancing di rumah rakit, Rakit Azarza Zainal turut menawarkan khidmat sewa bot untuk memancing dan menyusuri Sungai Johor bagi yang ingin menjamu mata melihat keindahan matahari terbenam.
Jadi, bagi yang menginginkan suasana rakit ala homestay ini bolehlah menghubungi En. Khairul Adnan atau En. Azahar atau lawati Facebook Rakit Azarza Zainal Telok Sengat.
Kami memilih Mat Rafi sebagai tekong. Pada awalnya, semasa tiba jam 6.30 pagi di Jeti Kampung Permatang, Teluk Rubiah, langit yang pada mulanya kelihatan cerah telah bertukar mendung dalam sekelip mata.
Hampir 8.15 pagi, barulah kami berlepas selepas laut kembali tenang. Semua ahli trip menggunakan jig dari saiz 18gm hingga 60gm. Bagi casting pula, kami menggunakan spoon, bulu ayam serta gewang seperti Jackson Pintail dan sebagainya.
Lubuk pertama kami ialah sesi casting di kawasan berbatu. Tanpa menunggu lama, saya dan Tompok menerima sambaran hampir serentak namun lucut semasa beraksi. Ia angkara todak yang kelihatan agak banyak dan agresif. Tekong menyarankan kami agar menukar mata tiga kami kepada saiz yang lebih besar bagi memastikan ia tidak rabut lagi.
Setelah menukar mata tiga, rakan saya, Jemik telah membuat lontaran pertama dengan gewang Yozuri bersaiz 12 cm. Sepantas kilat satu sambaran kasar berlaku dan drag terus berbunyi nyaring. Ikan telah lekat dan beliau berhempas pulas mengawal larian dan loncatan todak tersebut. Akhirnya todak yang agak kasar itu berjaya juga dinaikkan.
K.I yang mencuba dengan Pintail turut mendapat sambaran kasar selepas Jemik. todak ini dilihat lebih agresif dan besar ketika meloncat dalam usaha untuk melepaskan mata kail. Akhirnya setelah 3 kali meloncat tinggi, tali perambut kejutan tangsi terputus ketika ia membuat pecutan terakhir dan berkuburlah gewang Pintail K.I.
Mat Rafi kemudiannya mengalihkan bot ke kawasan lain pula kerana kami telah berhanyut jauh dari sasaran. Kebetulan satu ‘boiling’ berlaku kira-kira 20 meter dari bot. Saya yang telah bersedia, tanpa berlengah melontar jig Yozuri Metallic Sardine dan terus menerima asakan kasar ketika baru menutup ‘bail arm’.
Tali mencurah-curah keluar telah memaksa saya mengawal dengan berhati-hati kerana saya menggunakan set ringan Ryobi Zauber 1000 dengan tali 20lb. Aksi tarik menarik berakhir dengan seekor GT tumpas. Walaupun tidak besar, aksinya masih mendebarkan kerana menggunakan set ringan.
Kami berpindah lagi ke satu kawasan yang dipanggil Tukun Jepun. Baru sahaja jig dijatuhkan dan di unjun 2 kali, K.I mendapat sambaran padu.
Jorannya dihenjut-henjut ke bawah. Ketika itu, tiada siapa dapat meneka jenis ikan kerana amat berlainan sekali lariannya. Kelibat jehahak mula kelihatan dan semua bersorak gembira walaupun belum lagi dinaikkan.
Jenahak skala 2kg tersebut tumpas setelah ditangguk. Bertambah semangat semua untuk meneruskan sesi pancangan kali ini!! Saya dikejutkan dengan satu tarikan ketika leka berbual sambil jigging. Tarikannya mudah dikawal. Tanpa disangka, seekor cencaru kuda pula berjaya dinaikkan.
Kami beralih ke Batu Putih pula untuk mencari ‘boiling’ cencaru kuda kerana waktu ini arus air kelihatan amat sesuai. Ketika tiba sambil berpusing-pusing, kelihatan banyak burung sedang mengejar sesuatu di permukaan laut.
Kami bergegas ke situ. Tak sampai seminit, kejadian “boiling” pun berlaku. Masing-masing yang sememangnya telah bersedia, terus sahaja membaling mikro jig. Serentak 3 orang sekali mendapat sambaran. Suasana bertukar kecoh kerana kami perlu menukar poisi kedudukan kami agar tali tidak bersilang.
3 ekor telah tumpas dan misi seterusnya terus menanti ‘boiling’ kedua. Ia berlaku di belakang bot pula. Hanya saya dan Tompok berjaya membaling jig dan saya telah berjaya menaikkan spesies terbesar, anggaran 2kg. Ketika bot mula menghampiri kawasan berbatu, Jemik yang menggunakan gewang berjaya menaikkan seekor lagi cencaru.
Selang 10 minit, K.I pula bertarung dengan ikan. Penggunaan joran halus menyukarkan K.I untuk menarik secara kasar. Seekor delah muncul tanpa disangka dan terus sahaja diangkat masuk ke dalam bot. Oleh kerana telah penat dan jam hampir ke-2 petang, kami memutuskan untuk berehat sambil makan tengah hari di pulau.
Hampir 2 jam juga kami berehat sambil tertidur beralaskan tikar yang dibawa. Badan kembali segar setelah mandi air bukit yang segar. Saya mengajak Mat Rafi ke lubuk sotong mengabang. Pesan saya kepadanya, cukup 3 ekor sahaja yang dicari untuk saya buat lauk anak-anak.
Di sini, hanya candat Yamashita sahaja laku. Kami berlabuh dengan mengikat tali ke boya di situ. Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan 3 ekor mengabang saiz ‘selipar no 8’ yang diidamkan dalam tempoh 30 minit sebelum berpindah ke lokasi lain.
Kami meneruskan kembali aktiviti jigging di satu kawasan yang agak dalam. Selepas 3 kali berhanyut, barulah ada sambaran dan kali ini, Mat Rafi yang kena. Agak lama juga bermain tarik tali sebelum seekor lagi talang berjaya dinaikkan.
Kami berpindah lagi. Mat Rafi juga yang membuka tirai sambaran ketika kami masih lagi terkial-kial hendak mengunjun. Seekor lagi talang skala 3kg dinaikkan. Tompok turut mengena ketika baru sahaja Mat Rafi menyimpan ikan tersebut ke dalam tong.
Kami memutuskan untuk mencuba di kawasan berbatu sebelum berangkat pulang. Bulu ayam, gewang serta spoon kembali menjadi taruhan. Balingan kedua K.I disambut, aksi yamg tampak agresif pada mulanya berakhir dengan mudah. Seekor todak kecil dinaikkan.
Menurut Mat Rafi, keadaan air jernih telah menyebabkan Talang nampak pergerakan mata kail gewang atau bulu ayam tersebut dan tidak akan membahamnya ketika casting. Kami berpindah sebanyak dua kali lagi tetapi hanya todak sahaja yang diperolehi. Tepat jam 6 pm, kami mengajak Mat Rafi pulang.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...