Nasib Kap Liar

Share

 

Bila ditanya port lee koh liar, ramai yang menggaru kepala untuk memikirkan salah satu lubuk yang bagus.

Tetapi, bila tanyakan port rohu liar, secara spontan satu persatu port melompat keluar dari mulut.

 

Pancingan ikan kap (rohu, lee koh dan tongsan) sememangnya ada keistimewaan dan peminat yang tersendiri.

Namun, pada saya ia tidak membawa sebarang makna jika berjaya memunggah berpuluh ekor malah berkarung-karung jumlahnya, jika ia diperoleh di kolam pancing komersial.

Saya lebih berpuas hati sekiranya berupaya mendaratkan ikan-ikan kap liar di tasik atau lombong walaupun bukan dalam kuantiti yang banyak.

 

Bagi merealisasikan hasrat itu, saya telah menyertai rakan-rakan pemancing dari Lembah Kelang memburu kap liar terutamanya rohu dan lee koh di beberapa buah lombong tinggal di kawasan Bidor, Perak.

Hasil pancingan di gugusan lombong tersebut tidak pernah menghampakan mereka sebelum ini meskipun belum berjaya menaikkan rohu-rohu bersaiz kasar melebihi 5 kilogram.

 

Seawal jam 7 pagi kami telah pun terpacak di gugusan lombong yang terletak jauh ke dalam ladang kelapa sawit.

Sejurus tiba, saya paling teruja untuk memulakan sesi memancing. Namun keghairahan itu segera meranap umpama kereta dihempap pokok balak sejurus melihat keadaan lombong.

Harapan menggunung mula lebur apabila menyaksikan hampir seluruh permukaan lombong dilitupi keladi bunting.

 

Kami bergerak pula ke lombong berhampiran. Keadaannya juga hampir sama. Hanya sekitar 10 peratus saja permukaan lombong yang sesuai untuk memancing namun sudah pun ada pemancing lain yang terlebih dahulu memonopoli kawasan.

Maka terpaksalah beralih ke lombong bersebelahan. Lombong ini bukan saja agak kurang dilitupi keladi bunting, malah penghuninya juga kurang galak bermain air.

 

Sejurus kemudian barulah kami menyedari cerita di sebaliknya. Sebab musabab kenapa lombong sunyi sepi seperti tiada berpenghuni.

Bangkai-bangkai rohu yang banyak kelihatan terapung menimbulkan tanda tanya. Nak kata dituba, tiada pula kelibat ikan lain spesies yang mati.

 

 

Kami beringan mulut bertanya kepada pengusaha ternakan itik dari lombong berdekatan berkenaan kejadian tersebut.

Menurutnya, cuaca panas kering menyebabkan air lombong menyusut dan meningkatkan suhu airnya. Ikan kap agak sensitif terhadap perubahan suhu ini.

Namun, menurutnya lagi masih banyak lagi ikan di lombong tersebut.

 

 

Sehari suntuk memancing, berpanas dan berhujan bersama 12 pemancing lain tidaklah terlalu menghampakan. Terbukti masih ada kap liar yang mampu bertahan.

Saya sendiri berpuas hati kerana dapatlah juga seekor lee koh emas berskala 3 kilogram. Selebihnya rohu dan lee koh bersaiz kecil sekitar 30 ekor.

 

 

Sekiranya keladi bunting tidak menjarah permukaan lombong dengan rakus, dan kami tiba dua tiga hari lebih awal, barangkali hasil tangkapan kami lebih lumayan.

Ikan-ikan rohu yang mati ekoran dari masalah perubahan cuaca, barangkali ia menjadi rezeki kami.

Faktor cuaca dan penjarahan keladi bunting itu sebenarnya membuatkan penulis faham kenapa ikan-ikan kap yang berstatus pendatang ini tidak mampu menjarah sepenuhnya perairan negara kita.

 

 

Published by
Amang