Ikan tapak kasut, ikan pecah periuk, ikan telinga gajah antara nama-nama ikan tempatan yang pelik dan unik.
Lebih pelik lagi bagaimana ia boleh diberi nama sedemikian dan dipakai sehingga kini. Berikut lebih banyak lagi ikan yang unik dan pelik namanya.
➡ Telinga gajah
Larian ikan ini sering menjadi igauan pemancing. Mungkin disebabkan bentuknya yang leper dan lebar seakan-ikan telinga gajah maka ikan ini memperoleh namanya sebagai telinga gajah. Jika dilihat lama-lama pasti akan terbayang rupa gajah.
➡ Pecah periuk
Tidak dapat dipastikan dari mana ikan ini mendapat nama pecah periuk. Mungkin juga disebabkan ia boleh diperoleh dalam jumlah yang banyak apabila memancingnya hingga tidak muat periuk.
Yang pasti ikan yang sering berada di kawasan apungan hanyut ini bukan saja seronok dipancing malah juga enak dibuat juadah walaupun rupanya kurang menarik.
➡ Tapak kasut
Jika dibandingkan nama umum ikan ini berdasarkan sifatnya manakala nama panggilan tempatan lebih menjerus kepada rupa atau corak ikan tersebut.
Sesiapa saja yang tidak pernah mengenali ikan ni pasti akan bersetuju dengan namanya berikutan corak di bahagian atas kepalanya seakan-akan corak tapak kasut.
➡ Sumpit
Badan yang nipis seakan ikan kitang dan bahagian kepalanya lebih tirus.
Sifat unik ikan ini ialah ia memburu mangsa seperti serangga kecil yang terbang di permukaan air dengan memancutkan air melalui mulutnya seakan-akan aksi menyumpit.
Jadi tidak hairanlah ia dipanggil ikan sumpit.
➡ Biji durian
Sememangnya agak pelik dan seperti tidak masuk akal bagaimana ikan ini memperoleh namanya. Ikan biji durian ini berasal dari keluarga Gouramy seperti mana ikan kaloi.
Hanya satu-satu yang boleh dikaitkan dengan durian adalah warnanya yang kecoklatan seperti warna biji durian.
➡ Patung
Ikan patung atau ikan kepar merupakan spesies seakan-akan ikan puyu. Ikan patung mungkin diberi nama kerana kebolehan ikan ini statik di dalam seakan-akan patung.
Selain itu, nama Kampung Sungai Kepar di Perak dikatakan mendapat nama sempena ikan kepar ini.
➡ Tebal pipi
Ikan yang biasanya mendiami kawasan estuari ini juga mungkin mendapat nama kerana sifat luarannya.
Jika dilihat pada bahagian kepalanya, operkulum atau bahagian pipi yang menutupi insangnya jelas lebih menonjol lebih tebal, jadi mungkin dari itu muncul panggilan ikan tebal pipi pada spesies ini.
➡ Tebal sisik
Jika dikutkan nama umum atau Inggeris mungkin ikan ini akan dinamakan ikan bintik.
Namun orang kita lebih genius dalam memberi nama dengan mengambil sifat luaran ikan yang mana memiliki sisik yang agak tebal maka ia dinamakan ikan tebal sisik.
Parang
Ikan parang mempunyai bentuk badan yang lebih panjang dan berwarna perak. Bentuk badannya ini seolah-olah sebilah parang yang tajam dan berkilat memungkinkan spesies ini digelar ikan parang.
➡ Karim
Kenapa ia bukan diberi nama ikan Salleh, ikan Ali, ikan Abu atau ikan Ramasamy? Kenapa Karim yang menjadi pilihan?
Tentu saja ia menjadi kekeliruan sehingga hari ini perihal ikan hiasan ini. Mungkin juga ia diberi nama sedemikian berikutan sempena nama orang yang menamakannya.