Tali pancing terutamanya dari jenis braid makin hari makin mahal. Kalau nak jimat perbelanjaan bel tali boleh amalkan panduan yang disediakan ini.
Rajin Cuci
Setiap kali selepas memancing, jirus atau tali pancing di dalam spool dengan air paip. Pastikan jirusan air itu dapat meresap masuk hingga ke bahagian tali yang berada di bahagian dasar spool.
Terutamanya jika menggunakan tali sulam dan memancing pula di air masin. Selain menghilangkan kotoran ia juga mampu membendung pembentukan garam pada tali yang akan menjangkiti spool.
Ads
Jemur Kering
Ads
Selepas dibilas, sebaiknya biarkan ia mengering dalam suhu bilik atau di dalam rumah yang tidak terkena cahaya matahari secara terus. Cahaya terus matahari boleh menjejaskan ketahanan tali. Elakkan juga dari menyimpan terus di dalam almari atau bekas simpanan yang bertutup ketika ia masih basah kerana akan menyebabkan kewujudan fungus pada tali.
Cara Penyimpanan
Ads
Apabila menyimpan, pastikan drag kekili dilonggarkan. Drag yang ketat akan turut menyebabkan regangan pada tali. Sekiranya tidak akan menggunakan kekili tersebut untuk tempoh yang agak panjang, sebaiknya keluarkan tali dari spool dan simpan di bekasnya dengan susunan yang longgar. Jika rajin bolehlah lap tali dengan kain basah ketika memasukkannya di dalam bekas simpanan tali.
Untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun, tali di dalam spool harus dikeluarkan dan di simpan pada bekas simpanan.
Apabila ingin menggunakannya kembali, pastikan bahagian tali yang telah digunakan itu dimasukkan dahulu ke dalam spool. Ini membolehkan tali yang sudah digunakan berada di dasar spool dan tali yang tersimpan di dasar spool sebagai tali utama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Penyelamat gewang atau lure retriver merupakan aksesori memancing khusus untuk melepaskan umpan tiruan atau gewang yang tersangkut pada hadangan di dalam air. Bagi peminat teknik casting dengan menaiki sampan, ia merupakan aksesori yang wajib ada.
Jenis Hentak
Jika ingin diberi nama, bolehlah ia dinamakan sebagai penyelamat gewang jenis hentak. Penyelamat gewang jenis hentakan ini merupakan antara ciptaan terawal dalam rekaan penyelamat gewang. Melihat pada bentuk rekaan sahaja, agak mudah untuk mengagak bagaimana ia berfungsi.
Untuk lebih jelas lagi, penyelamat gewang jenis hentakan ini berfungsi dengan cara menghentak dan menolak badan gewang dengan pemberat atau secara terus pada mata kail yang tersangkut.
Namun penyelamat gewang jenis ini ada kelemahannya tersendiri. Pertama, ia hanya boleh digunakan secara menegak di mana pemancing perlu berada tepat di atas lokasi gewang yang tersangkut agar penyelamat gewang tersebut dapat dilepaskan dan melurut turun dengan laju. Maka ia hanya sesuai untuk memancing di atas bot.
Seperkara lagi, hentakan yang berlaku juga boleh menyebabkan kerosakan pada gewang yang digunakan. Jika menggunakan gewang murah, spoon atau softplastic mungkin agak berkurang kerugian yang bakal ditanggung.
Jenis Cangkuk
Penyelamat gewang jenis merupakan penyelamat gewang masa kini yang paling efisien keberkesanannya. Penyelamat gewang jenis ini lebih bersifat mesra gewang kerana pemberat pada penyelamat gewang ini hanya berfungsi sebagai pemberat bagi memudahkan penyelamat gewang menggelonsor turun ke gewang yang tersangkut.
Bahagian yang memainkan peranan utama ialah dawai yang melingkar seperti huruf U di bahagian hadapan penyelamat gewang.
Dawai inilah yang akan berpaut pada kili atau split ring dan akan ditarik bagi melepaskan gewang yang tersekat.
Walau bagaimana pun penggunaan penyelamat gewang ini masih berisiko akan kehilangan gewang jika menggunakan kili atau split ring kurang berkualiti dan yang pasti ia akan menyebabkan kerosakan pada mata kail yang digunakan.
Jenis Jala
Saya percaya penyelamat gewang jenis ini, bukan saja ramai di antara kita yang tidak pernah guna malah tidak tahu kewujudannya. Saya sendiri juga tidak pernah terfikir untuk menggunakan penyelamat gewang jenis ini.
Sebagaimana mana di dalam gambar, penyelamat jenis ini lebih mirip kepada konsep jala. Anda boleh apa saja material yang tahan lasak untuk menghasilkannya.
Cara penggunaan juga seperti jala. Pemberat digunakan untuk memudahkan lontaran. Penyelamat gewang ini digunakan untuk ‘menjaring’ gewang yang tersangkut dan putus di dalam.
Namun untuk berjaya, anda haruslah melontar penyelamat gewang ini tepat ke kawasan di mana ia tersangkut. Gewang yang terputus dan hanyut juga boleh diselamatkan dengan penyelamat gewang ini.
Rakit Yo’Yo merupakan salah sebuah rumah rakit terbesar yang ada di negeri Johor terletak di jajaran Sungai Layang, Pasir Gudang. Yo’Yo Rakit mempunyai 3 buah rakit dengan saiz yang berbeza dan dinamakan Rakit A, B dan C.
Rakit A yang kami kunjungi, sudah beberapa tahun beroperasi dan boleh dikatakan lengkap dengan fasiliti yang sesuai untuk kunjungan kaki pancing yang ingin membawa keluarga.
Dengan besar 200 x 500 kaki dan mampu memuatkan maksima 300 orang pada satu-satu masa, rakit ini boleh dikatakan cukup lengkap dengan kemudahan seperti tandas, surau, kedai makan, karaoke, air bersih yang disalurkan terus dari darat dan pelbagai lagi kemudahan lain.
Di Rakit A, terdapat 21 buah bilik penginapan dengan harga dari RM50 dan RM100 untuk kaki pancing yang membawa keluarga. Harga ini bolehlah dikatakan amat berbaloi terutama dengan kemudahan serba lengkap yang ditawarkan.
Kesempatan menemubual pemilik rakit penulis sempatlah bertanyakan bagaimana tercetusnya idea untuk membina rumah rakit ini. Menurut pemiliknya, Encik Hassan Talib, idea tertubuhnya rumah rakit ini pada asalnya sekadar suka-suka untuk hak milik persendirian.
“Namun, apabila mendapat permintaan yang tinggi daripada pemancing yang menginginkan rakit ini dibuka kepada umum, saya mula membesarkan rakit dan dari situlah bermulanya sambutan yang hangat daripada kaki pancing seluruh Malaysia”, katanya.
Ungkapnya lagi, selain daripada memancing sambil bersantai di rakit, Yo’Yo Rakit turut menyediakan khidmat ‘river cruise’ bagi mereka yang ingin menyusuri pemandangan dan keindahan Sungai Johor.
Selain itu, bagi pemancing yang ingin merasai kelainan, pihak Yo’Yo Rakit turut menyediakan khidmat sewa bot untuk memancing di kawasan sekitar Sungai Johor. Bot dengan enjin 15 hingga 250 kuasa kuda telah disiap-sediakan jika ada yang berminat untuk menjengah lubuk-lubuk yang ada di kawasan sekitar.
Rakit B & C
Selain Rakit A, anda juga boleh memilih untuk memancing di Rakit B dan C yang terletak berhampiran dengan rakit utama. Di Rakit B yang baru dibuka pada tahun 2014, saiznya jauh lebih kecil berbanding Rakit A. Rakit ini hanya mampu memuatkan sekitar 25 orang pada satu-satu masa.
Rakit ini juga kurang sesuai bagi mereka yang membawa keluarga kerana tiada bilik penginapan yang disediakan. Namun, untuk kaki pancing tegar, rakit ini sering menjadi pilihan kerana kawasannya yang berhampiran dengan pulau dan dikelilingi batu karang.
Di Rakit yang terbaru iaitu Rakit C ianya sesuai untuk pemancing yang membawa keluarga atau kumpulan kecil. Selain mampu memuatkan maksima sehingga 60 orang, terdapat juga 9 buah bilik penginapan dan pelbagai lagi kemudahan lain turut tersedia di sini.
Lubuk Laluan Ikan
Boleh dikatakan ketiga-tiga rakit yang ada di sini memang menjadi laluan pelbagai jenis ikan. Antara ikan yang sering menjadi habuan kaki pancing ialah siakap, kerapu, senangin, tanda, semilang, pari, pecah periuk dan bermacam-macam lagi. Rekod di rakit ini, ada pemancing yang pernah menaikkan siakap seberat 7 kg!
Malah, sewaktu kunjungan penulis boleh dikatakan pemancing yang memancing di sini mewah menaikkan pelbagai jenis ikan. Kena dengan kunjungan kami yang jatuh waktu air menyusur bani, memang tak menang tangan masing-masing menaikkan hasil tangkapan. Dari ikan sekecil-kecil gelama hinggalah sebesar siakap semuanya ada dinaikkan sewaktu kunjungan kami.
Kat kawasan benteng pemecah ombak di tempat saya memang seronok memancing, masalahnya batu ladung selalu sangkut. Bagaimana caranya untuk mengatasi masalah ini?
JAWAPAN:
Boleh dikatakan, di mana saja benteng pemecah ombak merupakan satu lokasi yang menyeronokkan untuk memancing. Ia berikutan batu-batu yang ditambak itu menjadi rumah dan tempat ikan bermain. Dengan adanya sumber makanan dan tempat berkumpul ikan-ikan kecil maka ia turut mengundang ikan-ikan pemangsa.
Dan selayaknya kawasan berbatu ditambak sehingga ke tengah laut pada dasarnya itu, pastinya ia menimbulkan kesulitan kepada pemancing yang mengamalkan teknik pancingan dasar. Selain batu ladung, kadangkala mata kail atau larian ikan turut menyebabkan kejadian sangkut.
Terdapat beberapa perkara bagi mengatasi kejadian ini. Pertama, anda perlu tukar teknik pancingan dasar kepada teknik lain seperti apung berhanyut menggunakan pelampung. Atau boleh juga mengamalkan teknik mengilat atau casting. Tidak kiralah sama ada menggunakan gewang ataupun umpan seperti udang hidup.
Jika ingin juga memancing dengan teknik dasar, sebaiknya pantau dahulu sejauh mana berbatu ketika air surut. Maka pastikan anda mampu melontar umpan melepasi kawasan tersebut kawasan tersebut. Atau boleh juga ikatkan ladung dengan sesuatu yang mudah putus jadi apabila tersangkut, ikan dan peralatan lain masih dapatn diselamatkan.
Seperkara lagi, elakkan daripada melakukan kayuhan perlahan ketika mengarau. Kayuhan yang perlahan akan menyebabkan batu ladung terseret pada dasar dan sekaligus mengakibatkan sangkut. Kayuhlah kekili dengan kelajuan tinggi seraya menegakkan joran ke atas. Ia mampu mengatasi masalah ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...