Memancing bukanlah satu ibadah namun ia bukanlah satu pekerjaan yang sia-sia. Malah dengan memancing juga kita boleh memperoleh berkah sekiranya melakukannya dengan cara yang betul.
Jangan lupa membaca Bismillah dan selawat ke atas nabi sebelum baling umpan atau memulakan aktiviti memancing.
Jangan terlalu bising semasa memancing umpama keadaan di temasya. Hormati persekitaran serta pemancing yang lain.
Jangan hebah-hebahkan kalau anda hendak pergi memancing, cukuplah sekadar memberitahu kepada rakan rapat dan ahli keluarga terdekat.
Jangan membangga diri dengan hasil tangkapan sebaliknya bersyukurlah kerana mungkin ada rakan yang tidak bernasib baik seperti anda.
Jika memperoleh hasil yang sedikit atau ikan kecil, bersyukurlah kerana itu rezeki yang diberikan kepada kita.
Jangan lupa bersedekah dengan hasil yang kita dapat. InsyaAllah kita akan memperoleh rezeki yang lebih bagus apabila memancing lagi.
Hasil tangkapan yang didapat hendaklah dihormati sebagaimana makhluk bernyawa yang lain.
Jangan menzalimi haiwan. Walaupun ikan yang ditangkap bukanlah ikan sasaran, jangan sesekali menzaliminya dengan perbuatan yang tidak sepatutnya.
Niat memancing kerana untuk mencari rezeki. Dari situlah kita akan memperoleh keberkatan dalam memancing.
Jangan pergi memancing jika orang tua mahupun isteri tak merestui kerana restu sangat penting dalam memperolehi keberkatan.