Nak Beli Mesin Pancing? Sabar dulu… Teliti Tips Ini Sebelum Bertindak!!

Share

 

Pendapat Rakan Pemancing

Setelah anda mengenal pasti kekili yang bakal anda beli, sebaiknya tanyalah prestasi kekili berkenaan kepada rakan-rakan yang pernah menggunakannya. Atau boleh juga mencari testimoni pengguna di media sosial dalam komuniti pemancing. Biarpun ia bukanlah kayu pengukur sebenar, setidak-tidaknya anda boleh buat rumusan sendiri berkenaannya.

 

Rekemen Dari Pekedai

Ringankan mulut untuk bertanya operator atau pengusaha kedai pancing tentang jenis kekili yang anda ingin beli. Kebanyakan dari mereka adalah pemancing yang berpengalaman atau setidak-tidaknya tahu menilai sesuatu kekili. Jika mereka mengatakan tiada masalah pada kekili yang anda hajati barulah membelinya.

 

Ujian Sistem Kekili

Ketika meneliti putaran pengayuh atau handle, sila tumpu perhatian terhadap sebarang kelonggaran cengkaman antara setiap gear. Pastikan pengayuhnya padu, mengarau dengan lancar, tidak bergoyang atau berlaku yang tidak lancar seperti tersangkut-sangkut atau agak ketat. Pengayuh pada sesetengah kekili mempunyai shaf gelincir dan skru kunci bertentangan, tetapi shaf sepatutnya cukup muat tanpa sebarang kelonggaran. Pegang rotor gelendung atau spool dari berpusing, kemudian gerakkan pengayuh ke depan dan ke belakang untuk menyukat kelonggaran antara.

 

Peranan Alas Bebola

Sekarang ini kita boleh dapati kebanyakan kekili dimuatkan dengan begitu banyak alas bebola sehingga berbelas-belas jumlahnya. Sebenarnya bilangan alas bebola dalam kekili bukanlah petunjuk kualiti atau ketahanannya. Biasanya alas bebola yang ditempatkan dalam reka bentuk kekili yang kurang baik adalah dari bahan berkualiti rendah dan cenderung terhakis atau terdedah kepada kemasukan butiran pasir, garam dan air. Jika banyak alas bebola sebegini, lagi banyaklah masalah yang akan timbul.

 

Kekemasan Spool

Cuba pegang spool atau gelendung kekili dengan sebelah tangan dan tarik ia ke atas dan tekan ke bawah dengan tekanan sederhana kuat. Ia bertujuan untuk melihat sama ada wujudnya sebarang pergerakan yang longgar dalam shaf utama. Ia sepatutnya tiada sebarang kerana kecuali shaf tersebut tidak diketatkan dengan sempurna. Ia perlu diperiksa bagi mengelakkan skru yang tidak diketatkan itu tertanggal dan hilang ketika digunakan nanti.

 

Sepadankan Dengan Joran

Walaupun peratusan kejadian ini amat kurang tetapi ada baiknya juga anda bawa joran yang ingin dipadankan dengan kekili yang ingin dibeli di bawa bersama. Ini merupakan cara terbaik untuk dipadankan. Ini kerana kadangkala tapak kekili itu terlalu besar, lebar, runcing atau kecil untuk dimuatkan dengan kemas pada joran. Perkara ini pernah berlaku kepada penulis apabila ingin memadankan kekili buatan Eropah dengan joran buatan China di mana ia tidak dapat dipadankan dengan kemas.

 

Published by
Amang