Hot spot ketiga
Sekitar jam 8 pagi, kami sebulat suara berpindah ke hot spot ketiga iaitu sekitar unjam untuk melayan ikan-ikan seperti selar kuning, tamban, selayang, cencaru, kembong, pelaling, anak ikan merah, kerisi, dan lain-lain.
Sememangnya ia di luar dugaan kami, kerana huluran appolo kami mendapat sambutan yang baik sehingga ‘frenzy fish time’ dan antara kami merasakan ‘full house hooked’.
Bahkan, cepat sahaja tong Coleman sudah penuh dengan ikan-ikan lauk ini. Masing-masing tersenyum lebar dan berpuas hati dengan hasil yang akan kami bawa untuk keluarga tersayang.
Haji Azmi pula senyap-senyap telah mencangkukkan umpan anak ikan tamban hidup secara drift untuk tenggiri. Tetapi lain pula yang menyambar, spesies yang gemar membuat akrobatik di udara, sang belitung pula yang menyambar umpan.
Selang beberapa minit melayan, Haji Azmi berjaya mendaratkan ikan belitung dalam skala 8 kg.
Dilanda ribut.
Seperti perancangan asal, pada jam 11 pagi, kami pulang ke darat sementara iaitu berehat di chalet Kampung Mukut di Pulau Tioman untuk tujuan merehatkan badan seketika sambil makan, solat, mandi dan melelapkan mata sekejap.
Selepas solat asar,kami semua kembali ke bot untuk beraksi di hot spot keempat. Setibanya di lokasi, kami terus sahaja melabuhkan joran sambil melayan teknik bottom dan jigging.
Tidak mengecewakan, apabila umpan dan teknik kami disambut rancak oleh spesies cupak sekitar 1-2 kg, jemuduk 1-2 kg dan tambak 1 kg.
Sedang seronok melayan asakan, tiba-tiba awan kelihatan gelap dan serentak dengan itu, angin menderu kuat menghampiri lubuk kami ini. Apa lagi kami semua terus sahaja lincah menggulung tali joran dan untuk berpindah ke lokasi yang selamat.
Bot dipandu laju sambil Tekong Rosli cekap mengemudikan botnya ke lokasi yang lebih selamat. Walaupun ia ribut kecil, kami semua tetap kecut perut memandangkan inilah kali pertama kejadian ini berlaku di depan mata.
Alhamdulillah, kami sempat dan selamat semuanya atas kecekapan Tekong Rosli.
Bot kemudiannya dihalakan ke hotsport berikutnya. Di lokasi ini, ragutan kurang diterima. Sekian lama menanti barulah kedengaran kekili berbunyi nyaring. Kali ini tuah memihak kepada Rofizi yang telah lama menanti pagutan big gamenya dari hari pertama.
Tersenyum dia ketika mengarau tali. Akhirnya pemangsa mula keletihan dan bandang susu berskala 8 kg yang berjaya didaratkan dengan bantuan gancu oleh Tekong Rosli.
Dalam suasana remang senja, giliran Zul Gemang pula diuji. Joran PE 2-3 dengan gandingan kekili Shimano Sienna 4000 melentur agak teruk.
Sehinggakan dia terpaksa dipegang semasa menahan asakan pemangsa. Selepas 20 minit bertarung, akhirnya seekor lagi pari seberat 22 kg berjaya dinaikkan dengan berumpankan potongan ikan selayang.
Menjelang tengah malam, sekali lagi trip kami diuji. Tiupan angin kencang tiba-tiba sahaja datang berserta hujan yang lebat. Pukulan ombak begitu kuat melambung bot kami.
Waktu ini masing-masing telah mencapai jaket keselamatan dan berpaut di tempat duduk masing-masing.
Memang kecut perut, kerana kali ini kami betul-betul dilanda badai. Perasaan takut, kecut perut hanya tuhan sahaja yang tahu.
Masing-masing teringat anak isteri di rumah sambil terus berdoa memohon perlindungan. Selepas hampir 3 jam teruk dipukul badai, sekitar jam 3 pagi, barulah keadaan kembali
tenang sambil mengucapkan syukur kerana terselamat daripada kejadian yang tidak diingini. Seperti dilanda sang garuda, masing-masing terdiam dan semua joran tidak dihiraukan.
Hanya Tekong Rosli yang bersemangat menghulurkan umpan. Menjelang Subuh, joran Lemax heavy action 40lb yang dipadankan dengan kekili Banax GT4000 melentur kuat.
Dengan steady, dia melayan pemangsa yang agresif dan berjaya menaikkan ebek dalam skala 3-4 kg.
Penutup trip
Sebelum menamatkan trip pada hari ketiga, tekong menyarankan kami sekali lagi melayan appolo dan pancingan bottom di sebuah unjam. Memang tidak terlayan dibuatnya, kali ini anak-anak kerapu dan anak merah bawah 1 kg mendominasi tangkapan.
Jam 9.30 pagi, trip ditamatkan dan semasa perjalanan pulang, kami semua membahagikan hasil tangkapan. Hasil trip memang berbaloi. Purata masing-masing embawa pulang satu setengah tong coleman setiap orang yang penuh dengan pelbagai saiz dan jenis ikan.
Servis Tekong Rosli dan awak-awaknya, Pak Mat Siren memang terbaik. Perairan Pulau Tioman, tunggu, kami akan datang lagi.