Ikan begahak atau spesies Belodontichthys dinema adalah ikan pemangsa yang sinonim dengan perairan air tawar Sungai Pahang. Waktu terbaik untuk memburu spesies ini adalah pada musim kemarau, lazimnya pada bulan Mac, Jun dan Ogos.
Ikan begahak biasanya mendiami kawasan sungai yang lebih dalam dan berarus. Ia boleh ditemui secara berkumpulan ketika musim anak-anak ikan mungkus (ikan-ikan kecil) bergerak melawan arus mudik ke hulu.
Untuk mengesan kehadiran begahak adalah tidak sama dengan kehadiran sebarau yang frenzy meligan anak-anak ikan. Kehadiran begahak dikesan apabila ada kelibat anak-anak ikan yang melompat di permukaan air. Ia berbeza dengan kesan sambaran dari sebarau yang kedengaran meletup-letup.
Ads
Teknik casting biasanya diaplikasi bagi memburu spesies ini. Ia sebenarnya boleh dipancing dengan kaedah lama iaitu menggunakan umpan ikan hidup namun keseronokan memancing lebih jika dilakukan dengan teknik casting.
Walaupun dengan kehadiran ikan mungkus, ada ketikanya ikan begahak ini tidak aktif mengejar anak-anak ikan ini. Pada waktu ini boleh cuba teknik menunda gewang atau throlling bagi menarik keluar begahak keluar dari lubuknya di dasar sungai.
Ads
Untuk tujuan menunda gewang bolehlah gunakan gewang selaman dalam yang mampu menyelam sehingga 3 meter. Pada asasnya tidak banyak terdapat kawasan melebihi 5 meter di Sungai Pahang. Sementara drag kekili perlu dilaraskan sehingga 50% sahaja bagi mengelak kes rabut atau lucut.
Ads
Sama ada menunda atau casting, gunalah treble hook atau mata tiga yang halus dan tajam. Ini kerana begahak diketahui jarang menelan gewang. Sebaliknya lebih kepada melanggar atau menampar mangsa dengan pipi kepalanya. Sekiranya menggunakan mata kail yang tebal dan kasar maka peratus untuk hook up adalah rendah.
Begitu juga sekiranya menggunakan mata tunggal gewang atau single hook. Dalam erti kata lain, guna treble hook standard saja.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kali ini kami mensasarkan padang pancing di sekitar pelantar minyak Ang-C, Terengganu. Dengan peruntukan masa selama 4 hari 3 malam hanya beberapa pelantar dan sekitarnya sahaja yang dapat digempur.
Perjalanan dari jeti bermula pukul 10 pagi. Ketika melalui unjam laut, awak-awak menurunkan peralatan ngolok aya. Berbakul-bakul ikan aya atau tongkol saiz sehingga 1 kg setiap ekor diperoleh. Lebih dari cukup untuk dibuat umpan nanti.
Perjalanan mengambil masa 12 jam untuk sampai ke destinasi pancing. Apa lagi, sebelum bertarung inilah masa untuk tidur mengumpul tenaga. Saya tersedar dari lena apabila terdengar bunyi bising berdesing lantas bergegas keluar dari dek bot. Rupa-rupanya bot telah pun parking berhampiran pelantar minyak Ang-C. Jam tangan menunjukkan angka 10.15 malam.
Selepas pekena roti dengan kopi panas sesi pertama kami bermula. Kaki bottom tercatuk di depan bangla masing-masing manakala jigger mula mengocak joran. Jig Eupro Zebra pendar cahaya 80 gram yang diunjun Rizal direntap ganas. Pertarungan yang memercikkan peluh menghasilkan cupak dalam anggaran berat lebih 4 kg. Mangsa hasil umpan besi pertama nyata telah membakar semangat kami semua.
Hirisan tongkol segar selebar tiga jari yang dihulur oleh Omar ke dasar terus bersambut. Tersenyum Omar sambil menunggu tali sulam Ichiban 80lb digulung kekili elektrik Command X4 NP. Mesin baru katakan, tentunya teruja untuk melihat apakah gerangan ikan yang bakal muncul di permukaan. Wah… seronok betul dia, ikan merah yang merasmikan bangla barunya.
Arus pada malam pertama nampaknya tidak memihak kepada kami. Tali yang tegak umpama tiang bendera memberi isyarat tiada arus dan penghuni dasar sudah pasti tidak bergerak aktif. Lantas Roy mencapai set jigging elektrik kecilnya dan menurunkan jig Madai 60 gram.
Dengan setting karauan laju, joran dihenjut-henjut dan beberapa saat kemudian joran menunduk tanda ada pemangsa yang membaham jig. Seekor cupak rempit berjaya didaratkan ke lantai bot. Malam itu Roy hanya menumpukan kepada jigging menggunakan bangla dengan hasil 15 ekor cupak berjaya dipindahkan dari perairan Ang-C ke tong Coleman.
Pagi hari pertama tekong memecut laju ke spot ikan merah. Sebaik sampai hon dibunyikan sebagai isyarat pemancing sudah boleh melabuhkan umpan. Pantang jatuh sahaja hirisan kepingan sotong atau hirisan tongkol pasti ada merah yang melahap umpan.
Apabila batu ladung mencecah dasar, jari telunjuk mesti terus standby di sisi butang manual (batang sentap) kekili elektrik. Sentap balas mesti dilakukan secepat mungkin. Kalau lambat sedikit alamatnya melepaslah.
Suasana riuh-rendah di sebelah kiri dan kanan bot dengan suara pemancing yang bersorak keseronokan melayan strike. Air di sini tidak lah begitu dalam. Paparan skrin kekili menunjukkan angka 50-60 meter sahaja namun habuan yang naik boleh tahan saiznya.
Arus pula sederhana laju dengan saiz ladung 720 di hujung perambut menyaksikan tali utama kami dalam keadaan ‘condong lemang’. Sudah dikira cantiklah tu. Kalau arus laju sangat jawabnya ladung besar penumbuk kena beraksi.
Tanduk stainless steel panjang setengah depa yang saya bawa hanya tersimpan dalam beg joran. Penggunaan perambut apollo dua mata berkekuatan 60lb-80lb nampaknya cukup menjadi. Bukan merah sahaja yang terjerat. Kerapu, tambak, ibu kerisi, kerapu bara, tetanda, kaci dan jemuduk berjaya didaratkan. Bekerja keras nampaknya kekili Command X5 HS saya melayan asakkan penghuni dasaran Ang-C.
Syukur kerana sepanjang kami berada di lautan tiada hujan yang mencurah serta tiada angin kencang yang menerjah. Awak-awak bot juga ‘ringan tulang’ sentiasa sedia membantu menguraikan kekusutan apabila tali pancing tersangkut sesama sendiri, membantu melekatkan tanda pada ikan-ikan yang diperolehi (ikan tak kongsi) dan tidak ketinggalan masakan chef Ganu yang umppph!
Sempena cuti umum Hari Pekerja yang disambut di seluruh negara, satu komplot memancing persahabatan anjuran Umpan Terbang telah diadakan di kolam Harmony (Kolam Mancing Harmony Puchong).
Komplot ini turut mendapat penajaan dari Bullzen Brutal Angler selaku penaja utama.
Penaja lain seperti OneArt, Ichikawa Fishing, Fuad Pancang, Husky Fishing, Umpan Waghih, MGFA Malaysia, Jdy Jdy Part & Service, Kolam Mando Serendah serta Kolam Harmony sendiri turut selaku penaja padang pancing.
Acara bermula jam 9.00 pagi dengan taklimat dan ucapan wakil para penaja. Menurut Hisyam Azimat atau lebih dikenali sebagai Abang Sham selaku pemilik jenama Umpan
Terbang (umpan memancing air tawar) menyatakan bahawa ia adalah komplot pertama dan terbesar pertama diadakan.
Beliau yang telah hampir 2 tahun terlibat dalam perusahaan pembuatan umpan memancing turut menyatakan usahanya itu terhasil dari dorongan kawan-kawan serta minat sendiri.
Sementara isteri beliau, Siti Zaleha Ahmad atau lebih popular dengan nama CT Manje Angler pula berpendapat, kompot ini adalah medan mencari wanita bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi.
Beliau sendiri berazam untuk mengadakan komplot khusus bagi pemancing wanita pada masa akan datang.
Tepat jam 10.00 pagi acara mini game memancing dimulakan. Kali ini dapat dilihat bertali arus ikan spesies patin didaratkan silih berganti.
Ternyata Kolam Harmony ini merupakan kolam yang sentiasa menjadi pilihan para pemancing. Acara ini juga turut diserikan dengan cabutan bertuah.
Disamping itu juga para pemancing berbesar hati menderma amal untuk seorang sahabat yang ditimpa musibah.
Komplot ini tamat jam 5.00 petang dengan menyaksikan saudara Apai HP dinobatkan sebagai juara dengan tangkapan spesies patin seberat 10.975kg.
Editor portal memancing nombor 1 negara (Umpan) yang sempat hadir sebelum acara ini berakhir diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang utama.
Pak Bara adalah check point di kalangan kaki pancing Malaysia dan Thailand menduga perairan Ko Adang. Setelah berunding dengan beberapa agensi yang menawarkan pakej di jeti Pak Bara, kami akhirnya dapat juga slot satu hari memancing, itu pun kena tunggu hari yang berikutnya.
Bila tempoh musim memancing dibuka di gugusan Taman Laut Ko Narutau tempahan biasanya dibuat beberapa bulan awal, bukan sehari awal seperti yang kami lalui. Namun begitu rasa syukur juga dapat juga bot untuk keluar memancing melalui kenalan kami di Satun.
Persiapan dibuat ala kadar kerana tempoh memancing agak singkat. Merujuk kepada waktu yang terluang, kami menukar rancangan dari memancing ke Ko Adang ke Ko Bulon, antara pulau kecil yang tidak tersenarai sebagai marine park.
Aktiviti memancing di sini bebas sehingga rapat ke arah pulau. Malah jarak Ko Bulon ini lebih dekat dari Ko Adang yang memakan masa lebih dari 5 jam dari jeti manakala Ko Bulon hanya mengambil masa dua jam perjalanan.
Tidak semua yang turut serta dalam trip ini adalah kaki pancing. Ikut kerana tiada pilihan lain ketika itu. Jadi joran yang reel yang dibawa hanya untuk kegunaan 6 pemancing. Daripada tiada apa yang hendak dilakukan di darat lebih baik naik bot tengok kami memancing. Dari tengok baik cuba-cuba sekali belajar memancing.
Memandangkan kami tidak membawa sebarang bekalan umpan, tekong mengemudi bot ke kawasan unjam-unjam bot pukat cerut berada. Walaupun mengambil masa agak lama sedikit namun itu pilihan yang kami ada.
Aktiviti persiapan memancing untuk muka baru menjadi lebih mudah kerana set joran untuk yang baru ingin merasa aktiviti memancing dipasang dengan mata apollo. Setelah diberi sedikit penerangan ringkas pancing apollo, mereka kelihatan mudah memahami tunjuk ajar yang diberikan.
Tekong turut membantu apabila memancing dalam keadaan bot bergerak, sukar untuk melontar apollo ke sasaran. Cara terbaik ialah melabuhkan sauh. Dalam keriuhan mereka apollo umpan, saya sempat hulurkan seekor selayang hidup ke arah unjam sambil membantu pemancing lain menanggalkan ikan pada mata apollo.
Sambil pada itu awak-awak bot banyak meringankan tulang mengikat apolo dua mata untuk geng pancing ini. Umpan hirisan ikan yang dilabuhkan ke dasar cepat menjerat kerapu purata saiz 500 gram.
Dari pancing apollo kemudiannya ramai menukar ke apollo dua mata berumpankan hirisan ikan setelah hasil lebih besar jemu dengan ikan apollo, kerapu dan anak merah suman pula menjadi sasaran. Sementara itu umpan ikan selayang hidup sejengkal dihanyutkan di belakang bot akhirnya menghasilkan bunyi pengera kekili yang dinantikan-nantikan.
Dari ikan apollo, anak kerapu, kini tumpuan mereka beralih kepada ikan yang sedang menggonggong selayang hidup. Melihat corak larian peringkat permulaan, ikan sudah diduga. Tidak lama aksi akrobatik di udara menyerlahkan semangat juang belitong ini.
Selepas belitong pertama dinaikkan, banyak lagi kelibat belitong lain di permukaan sekitar. Masing-masing memasang keinginan mencuba kelainan aksi pancing dari dasar ke permukaan. Jadi akur dengan hajat dia orang saya sibuk seketika mengajar mereka menyiapkan teknik memancing belitong.
Dari pasang mata kail, cangkuk umpan, cara menyembat belitong sehingga teknik melayan. Bermulalah suasana kecoh selepas satu persatu berjaya menawan belitong buat kali pertama. Tinggal tekong dan awak-awak sahaja yang tertumpu kepada pancing dasar.
Saya terpaksa mengalah melepaskan semua set pancing kepada mereka. Bagi peluang kepada muka baru merasai apa yang pernah saya rasa sebelum ini. Semua yang turut serta hari itu dapat merasa peluang melayan aksi belitong sehingga terasa letih.
Ada yang dapat seekor dah puas, ada yang tak jemu-jemu melayan belitong sehingga keadaan reda menjelang petang. Aktiviti memancing berhenti seketika setelah masing-masing sudah puas dan mengendurkan seketika ketegangan urat lengan sambil menikmati ringkas juadah yang siap dimasak.
Bila belitong berhenti menyerang umpan hanyut, yang bertenaga sambung memancing dasar pula. Cuaca panas dengan keadaan laut yang tenang membuka ruang kepada muka baru memancing sepuas-puasnya.
Tiada yang mabuk laut hari itu lebih-lebih lagi minda mereka dihanyutkan dengan keceriaan suasana pancing yang sungguh produktif.
Sementara mereka menumpukan ikan dasar, kali kedua saya memasang umpan selayang hidup dan sekali lagi dibiarkan hanyut jauh ke belakang bot.
Jeritan penggera kekili berbunyi lagi tidak lama selepas itu dan kali ini larian ikan menjunam sedikit ke dasar. Pecutan ikan ini berbeza dengan pecutan belitong kerana bentuk badan yang berlainan.
Tidak lama bertarung, ikan yang dihajati sebelum ini akhirnya muncul juga. Tenggiri tunggal menjadi penutup episod santai di Ko Bulon kerana waktu mancing singkat akan melabuhkan tirainya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...