Bertempat di Kolam Pancing Paroi, Seremban, kami dari Group Kampung Sentosa A Paroi (Mahfah) telah bermuafakat untuk mengadakan satu komplot memancing Santai Anak Mahfaz dengan tema `Moh Jagho Lopak Kito’.
Program hasil inisatif belia dan pemuda Mahfaz ini dianjurkan oleh Mohd Firdaus Badzali yang merupakan Setiausaha Program Persatuan Belia, Kg Sentosa Bersatu (BKSB) merangkap YDP GPMS Rembau & Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Negeri Sembilan.
Menurut Muhammad Zaini Md Radzali atau dikenali dengan nama Ujang Like selaku juru cakap Santai Anak Mahfaz, program ini diadakan bagi mengeratkan silaturahim di antara individu, komuniti setempat dan generasi muda Kg Sentosa. Selain tu ia turut menjadi aktiviti riadah (memancing) di kalangan anak-anak muda Mahfah pada masa lapang.
Dalam pada masa yang sama Ia juga dapat merangka pelan tindakan kendiri dan hala tuju yang bersesuaian dalam membentuk kualiti kehidupan masyarakat kampung pada masa akan datang. Memupuk semangat kerjasama di kalangan mereka dengan lebih baik berbanding sebelumnya.
“Program ini juga dapat membentuk perpaduan di kalangan masyarakat sama ada generasi kanak-kanak, remaja, belia serta warga tua dengan lebih berkesan dalam menangani isu-isu semasa yang banyak berlaku sekarang ini.”
“Yang paling penting ia mengembalikan keseronokan berkumpul sesama sahabat kampung yang kebanyakannya bekerja di luar sekali gus mengeratkan kekeluargaan semua penduduk Mahfaz,” tambah Ujang Like lagi.
Program yang bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 1 petang ini disertai hampir 60 anak Mahfaz. Kehadiran peserta yang ramai dan di luar jangkaan itu ternyata memeriahkan suasana. Suasana yang sedia meriah bertambah kemeriahannya apabila seorang demi seorang peserta berjaya mendaratkan ikan yang terdiri daripada spesies siakap putih dan siakap merah.
Keputusan pertandingan santai ini menyaksikan peserta yang mendaratkan ikan siakap putih seberat 3.7 kilogram muncul sebagai juara.
GALERI