“Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabung lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu cicit aku, piyat-piyut, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh makan, menganiaya atau mengkhianati akan ikan Tapah.

“Barangsiapa melanggar sumpah aku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya….!”

Begitulah kisah sumpah Pak Kaduk yang diketahui ada kaitan dengan lagenda ikan tapah sehingga kini.

 

(KISAH 1)

 

Ramai diantara kita sudah mengetahui cerita Pak Kaduk yang telah menang dalam perlawanan sabung ayam tetapi kampung halaman serta anak isterinya tergadai.

Tetapi ramai yang tidak sedar cerita ini ada kaitan dengan segolongan masyarakat Melayu, khususnya penduduk-penduduk di negeri Perak yang pantang makan ikan tapah.

 

Pantang larang memakan ikan itu ada kaitan dengan cerita Pak Kaduk yang membuat sumpahan tidak membenarkan keturunannya memakan ikan tapah.

Sehingga kini sumpahan itu dipercayai belum berakhir. Orang-orang yang kononnya pantang makan ikan tapah itu berasal daripada keturunan Pak Kaduk serta kaum kerabatnya.

Manakala bagi orang luar yang berkahwin dengan anggota keturunan Pak Kaduk ini juga akan terkena sumpahan itu.

 

Keturunan Pak Kaduk kebanyakannya berada di Lambor Kiri, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Bota yang terletak dalam daerah Perak Tengah.

Mereka yang termasuk dalam golongan itu kononnya akan terkena penyakit kulit yang disebut semali iaitu pecah-pecah kulit dan berair serta terasa gatal-gatal sehingga ke

tulang jika termakan ikan tapah. Di samping itu, kulit mereka seperti melecur,sakit sendi dan tulang.

 

Menurut Haji Daharun bin Haji Yajit, peristiwa Pak Kaduk itu berlaku ratusan tahun lalu di kampung Lambor Kiri iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Iskandar Syah Almarhum Aulis Allah Geronggong Perak.

 

Menurut seorang daripada keturunan ke-9 Pak Kaduk, Hajah Asmah bt Pandak Logam, ada menyimpan khazanah Pak Kaduk iaitu tiga butir kerongsang emas yang dijadikan penawar penyakit sumpahan itu.

Katanya lagi, kerongsang tersebut sepatutnya di simpan oleh adiknya, Izham bin Pandak Logam,yang merupakan pewaris terdekat dan menetap di Selayang Bahru, Selangor.

 

Sementara Haji Daharun yang menetap di Kampung Tua, Lambor Kanan bersetuju dengan tindakan tersebut supaya memudahkan pesakit pulang ke kampung halaman untuk berubat.

 

Katanya lagi, seboleh-bolehnya emas kerongsang tersebut tidak di bawa keluar dari Lambor Kanan.

Dalam temubual dengan Hajah Asmah di rumahnya di Kampung Tua, Lambor Kanan, beliau mendakwa kerongsang itu telah mengubati ribuan orang yang terkena penyakit Semali berikutan termakan ikan Tapah.

 

Ads

Katanya, penyakit tersebut berupa melecur kulit, sakit sendi dan tulang, akan hilang apabila meminum air yang direndam dengan tiga butir kerongsang tersebut.

Tiga keping kerongsang emas itu berbentuk potongan wajik, ukurannya dua inci bertatahkan batu delima yang dikatakan telah berusia lebih 900 tahun, Ini adalah satu

daripada tiga barang emas kepunyaan Pak Kaduk diperbuat daripada emas urai yang dijumpai oleh Pak Kaduk dalam perut ikan Tapah.

 

Menurut Hajah Asmah, tidak ada syarat yang dikenakan bagi mereka yang berubat. Mereka cuma dikehendaki minum air rendaman emas itu ataupun mandi dengan air itu supaya badan yang melecur terubat.

 

“Kerongsang emas itu dikatakan tidak boleh digadai dan diperbuat sebarangan seperti dipinjamkan kepada orang lain”, katanya.

Kebanyakan yang datang berubat termasuk orang dari Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan lain-lain mereka adalah keturunan Pak Kaduk yang telah berhijrah ke tempat lain.

 

Hajah Asmah juga memberitahu hanya kerongsang itu sahaja yang boleh mengubati penyakit sumpahan ikan Tapah dengan izin Allah s.w.t.

Beliau menceritakan tentang seorang wanita dari Perak yang terkena penyakit semali telah berubat dengan doktor, tetapi keadaan kulitnya yang melecur tidak boleh diubati selama hampir tiga tahun.

Bagaimanapun, keadaannya dikatakan pulih setelah wanita itu datang berubat dengan meminum air rendaman kerongsang emas itu.

 

(KISAH 2)

 

Kisah keturunan Pak Kaduk tidak boleh menyentuh ikan tapah apatah lagi memakannya bukanlah perkara baharu.

Pak Kaduk yang terkenal dengan pepatah menang sorak kampung tergadai dikatakan membuat larangan itu selepas dia menemui seekor ikan tapah yang perutnya penuh dengan emas di Sungai Perak pada lebih 450 tahun lalu.

 

Keturunan Pak Kaduk yang dianggarkan seramai berpuluh ribu orang pada hari ini kebanyakannya berasal dari Kampung Tua di Lambor Kanan, Perak.

Ads

Berikutan peristiwa ikan tapah itu, keturunan Pak Kaduk langsung tidak boleh menjamah ikan sungai itu sampai sekarang.

 

Jika dimakan juga, tubuh mereka bagaikan melecur, kulit melepuh seperti dicurah air panas bahkan ada yang sakit sehingga hampir maut.

Untuk mendapatkan penawarnya, mereka akan kembali ke kampung berkenaan dan mengunjungi sebuah rumah yang dikenali Rumah Tua di situ.

 

Rumah Tua itu milik saudagar emas, Pandak Logam, iaitu salah seorang keturunan Pak Kaduk yang menyimpan Emas Kancing Tapah, iaitu saki baki emas yang didakwa ditemui Pak Kadok di dalam perut ikan tapah terbabit.

 

Air rendaman emas berbentuk kerongsang empat segi itu dikatakan berupaya mengubati penyakit yang dipercayai berpunca daripada perbuatan melanggar sumpah Pak Kaduk.

 

Rumah itu kini diwarisi anak Pandak Logam, Hasmah. Bagaimanapun akibat sakit tua, Hasmah tidak lagi menetap di rumah berusia lebih 100 tahun itu sebaliknya tinggal bersama anak saudaranya di Selayang, Selangor.

 

Tugas menjaga Rumah Tua itu kini dibantu oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tua, Zenal Ngah Haleb.

 

(KISAH 3)

 

Menurut Asiah Pandak Sood, yang ditemui di Kampung Tua, Batu 16 berdekatan Lambor Kanan, Bota, kisah sumpahan ikan Tapah dan Pak Kaduk masih berterusan walaupun ramai menganggapnya sebagai mitos semata-mata.

 

Menurut Asiah, pantang larang mengenai ikan Tapah memang ada kaitan dengan kisah Pak Kaduk yang membuat sumpahan setelah mendapat ‘pertolongan’ melalui emas yang keluar dari perut ikan itu.

Ads

 

Khazanah Pak Kaduk berupa tiga butir kerongsang emas yang dipercayai dari perut ikan Tapah itu masih disimpan rapi untuk dijadikan penawar penyakit akibat memakan ikan tersebut.

 

Perkara itu diakui sendiri oleh Asiah memandangkan terdapat ramai individu yang berkunjung ke rumahnya saban hari bagi merawat penyakit gatal-gatal dan alahan setelah makan ikan Tapah.

 

“Makcik ada juga kaitan dengan keturunan Pak Kaduk, kiranya ada kaitan persaudaraan, jadi makcik bantu dari segi pemberian air yang sudah dibotolkan kepada mereka yang terkena ‘sumpahan’ ini.

 

“Waris cucu cicit keturunan Pak Kaduk yang sediakan air ini dengan merendam emas itu ke dalam air, ia boleh juga dibuat minum, sapu di tempat yang gatal atau dijadikan air mandian.

 

Alhamdulillah dengan izin Allah rata-rata pesakit yang datang ambi air di sini semuanya pulih sedia kala dan tiada lagi kesan alahan atau gatal pada badan,” dakwa Asiah.

 

Menurutnya, waris cucu cicit Pak Kaduk yang tinggal berdekatan rumahnya, sudah pun berhijrah ke Kuala Lumpur dan hanya akan pulang ke kampung sesekali untuk memberikan stok air itu kepadanya.

 

Dia juga tidak mengenakan sebarang bayaran untuk pesakit yang datang memandangkan niatnya hanya untuk membantu menyembuhkan penyakit itu dengan izin Allah SWT.

“Tiap- tiap hari mesti ada yang datang disebabkan doktor pun tidak tahu apa punca sakitnya dan minta mereka dapatkan rawatan kampung.

 

“Pernah juga yang datang dari Pulau Pinang dan tidur di homestay berdekatan, makcik cuma ikhtiar saja dengan baca selawat Nabi dan tawakal kepada Allah kerana Dia yang menyembuhkan segala penyakit.

 

“Kalau yang tinggal jauh macam di Sabah pula mereka akan kirim melalui saudara atau kawan-kawan disebabkan yang terkena gatal-gatal itu merupakan orang Perak tetapi bekerja di sana,” jelasnya.

 

Meskipun sumpahan ini dikatakan hanya berlaku kepada keturunan Pak Kaduk yang berasal dari Perak, namun ia juga dipercayai boleh terkena kepada anak-anak menerusi perkahwinan melibatkan keturunan ini.

 

Menurut Asiah lagi, jika sumpahan Mahsuri berlanjutan sehingga tujuh keturunan, berlainan pula kisah Pak Kaduk kerana sumpahannya tiada had tempoh dan tidak akan berakhir sampai bila-bila.

 

“Makcik sendiri pun memang tak boleh makan ikan Tapah sama juga dengan orang-orang kampung yang berdekatan sini, kalau makan habis satu badan gatal,” dakwanya.

Kebanyakan keturunan Pak Kaduk dikatakan berada di Lambor Kiri, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Bota di daerah Perak Tengah.

(Sumber: Internet)

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI