Mistik – Pemancing terkena badi ular

Share

 

“Ko tak tahu cerita ke Bell?”

Si Daus yang baru sampai tiba-tiba menerpa bila aku sebut sahaja nak pergi memancing kat kolam tinggal dalam kebun Pak Ucop.

 

Sebenarnya aku dan rakan lain, Buden, Din, Abe dan Naim sedang duduk minum-minum di warung dalam kampung kami ni.

Seperti satu kezaliman, boleh dikatakan setiap hari minggu jika tiada aral melintang, kami berlima akan melepak, sembang sambil minum-minum pada hari Jumaat malam Sabtu.

 

Biasalah, sebab esoknya masing-masing cuti. Perbincangan selalunya berkisar mengenai dunia hanyir kami. Sebab hobi ini jugalah kami berlima menjadi sahabat baik sekarang.

Hasil dari ‘melepak’ inilah timbul idea dan perbincangan untuk menerjah mana-mana lubuk pada cuti Sabtu atau Ahad nanti.

 

Kadang-kadang tu dua-dua hari kami keluar memancing, tertakluk kepada ‘lesen’ dari isteri bagi mereka yang telah berkahwin. Naim yang dari tadi asyik gelak mula membuka kata,

 

“Eh kau ni Daus, cerita apa? Ni ha… Bell ajak diorang cari haruan kat kolam tinggal Pak Ucop tu. Kau nak ikut ke?”.

 

Kalau ikutkan hati, aku sendiri yang nak tanya soalan tu. Tapi dah Naim dulu yang buka mulut, aku pun cuma tunggu sahajalah cerita yang ingin disampaikan.

 

“Pakcik aku kena badi ular,” jawab Daus ringkas. Jawapan ringkas itu juga membuatkan semua jadi tak senang duduk, termasuk aku.

Mula-mula kami ingat Daus cuma nak melawak. Tapi sambungan ceritanya jadi makin serius.

Wajah masing-masing yang dari tadi berseringai sebab ketawa mula susut ke senyuman pudar dan diakhiri dengan muka serius.

 

Menurut Daus, seminggu lepas, Pakcik beliau ada masuk ke dalam kebun Pak Ucop tu untuk memancing. Pak Ucop jenis tak kisah.

Tapi orang kampung tetap akan minta izin terlebih dahulu darinya jika berniat ingin memancing di situ.

Bukan tak biasa Pakciknya ke situ, tapi kali ini begitu pula nasibnya. Kami yang lain hanya mendengar dengan teliti.

 

Sebelum menyambung cerita, Daus berhenti seketika untuk memesan minuman daripada anak tauke warung tersebut.

Orang lain dah tak sabar nak dengar cerita, dia boleh pula main-main kata dengan si Zafirah anak Pak Zam Kay tokey warung tersebut.

Maklumlah, jarang-jarang anak gadisnya balik ke kampung. Tengah belajar di UiTM katanya. Jurusan Pengurusan Sistem Maklumat.

 

Oh ya, berkenaan kolam tersebut. Sebenarnya, di dalam kawasan kebun Pak Ucop terdapat sebuah kolam tinggalyang dahulunya dibuat kolam ternakan ikan keli.

Disebabkan Pak Ucop pernah sakit teruk, kolam itu menjadi tidak terurus dan akhirnya langsung tak terjaga.

Malah apabila hujan lebat melanda pada akhir tahun lepas, paras air naik menyebabkan ikan-ikan di dalamnya terlepas ke luar.

 

Kolam tersebut sebenarnya ditakung dan dibesarkan dari pecahan aliran sungai kecil yang mengalir masuk ke dalam kawasan kebun tersebut.

Maka tidak hairanlah terdapat ikan-ikan lain yang menyinggah di situ ketika kolam tersebut sedang rancak dijaga.

Ikan-ikan lain datang untuk menumpang makanan keli yang diberi oleh Pak Ucop.

 

Kalau diikutkan cerita orang kampung, teruk juga sakit Pak Ucop tu. Orang kampung ingat dah tiada harapan. Tapi umurnya panjang.

Pak Ucop kini amat cergas malah seperti tidak pernah jatuh sakit. Sungguhpun begitu, dari cerita yang disampaikan, memang dia dah tak nak lagi usahakan kolamnya itu.

 

Kadang-kadang naik airnya dan ada kalanya surut sungguh tapi tidak pernah kering, masih berbaki air seperti lecah dan lumpur.

 

Orang kampung pula, jika terdesak nak dapatkan haruan untuk tujuan ubat ibu berpantang selepas bersalin, atau saja suka-suka untuk memancing, mungkin dah tiada hala tuju sangat untuk melepaskan gian seperti kami, kolam kebun Pak Ucop tu lah yang dituju.

 

Tapi kami tak pernah bawa balik ikan-ikan tersebut. Semuanya dilepaskan kembali. Masing-masing mengamalkan pancingan tangkap dan lepas. Atau memang dah muak agaknya makan ikan sungai.

 

Nak dijadikan cerita, seminggu selepas Pakcik si Daus ni ke kolam tersebut, badan beliau tiba-tiba ditumbuhi sisik seperti ular.

Semakin hari semakin teruk sehingga kini keadaannya hanya terlantar di katil.

 

Puas berubat sana sini. Hospital kerajaan dan swasta pun dah pergi. Semuanya tak berhasil.

Tetapi menurut Daus, ada seorang ustaz yang ditemui memberi tahu, pakciknya terkena badi ular.

Aku dalam dilema antara ingin percaya atau tidak. Tapi takkan benda-benda macam ni nak buat main pula.

 

Lagi-lagi yang diceritakan itu ialah pakciknya sendiri. Takkan nak buat main dengan nama ahli keluarga.

Tambahnya lagi, ustaz tu ada beritahu yang ketika sedang mengubat, ada seorang perempuan berambut panjang berbadan ular marah pada ustaz tu sebab cuba nak ubatkan pakciknya.

 

“Jin tu nak buat pakcik aku sampai mati!” Meremang bulu roma aku bila Daus habiskan ayatnya.

Naim bertanya, “Kenapa boleh jadi macam tu? Ada orang ‘buat’ ke?” Jawab Daus, “Masa dia mancing tu ada ular tedung besar lengan datang ke arahnya. Dia ketuk sekali je ular tu tumbang. Tak melawan langsung.”

 

Sambungnya lagi, “Lepas dia bunuh ular tu, baru dia fikir, betul ke ular yang dibunuh tu….” tambahnya, ketika itu sedang Maghrib.

 

 

Persoalannya, kenapa tak dihalau sahaja ular tersebut. Atau orang tua itu sahaja yang beralih. Mungkin ketika itu ada makhluk lain yang ingin pulang ke alamnya.

Maklumlah hari sedang Maghrib. Semua pertanyaan ini bermain di benak fikiranku sendiri. Tak pula aku ajukan pada Daus kerana mungkin tidak mahu membuat suasana menjadi semakin ralat.

Tambahan pula, sekarang ni, beliaulah yang perlu berikhtiar untuk merawat pakciknya itu.

 

Ah.. Mungkin sebab terlalu panik maka ular itu pun dibunuh. Biasalah tu ‘orang kita’ kalau terjumpa dengan binatang-binatang merbahaya ni.

Lagipun, jika kita tak bunuh… kita pula akan jadi mangsa. Aku cuba sedapkan hati sendiri.

 

Dalam tak sedar, Pak Zam Kay dah berkemas-kemas nak tutup warung. Kami pun angkat punggung masing-masing menuju ke kaunter.

Pak Zam Kay cakap hari ni tak payah bayar, sedekah. Nak tunggu kenduri lambat lagi katanya.

 

Mungkin beliau perli kami sebab kacau anak daranya tadi. Apa pun, kisah Badi Ular tersebut membuatkan bulu roma badanku meremang sepanjang perjalanan pulang.

 

 

Published by
Amang