MALAM itu tepat jam sembilan, saya sudah siap sedia atas di jeti. Sebelum itu, sempat juga saya mengisi perut di warung Haji Dollah.

Dua bungkus nasi lemak bersama segelas besar kopi ‘O’ buatan isteri Haji Dollah yang saya panggil Kak Rahimah cukup untuk mengenyangkan perut saya.

Selepas makan itulah saya turun ke jeti bersama-sama Halim, Imran dan Hamdan.

 

Kali ini saya membawa misi khas. Isteri Imran, Suraya yang baru mengandung dua bulan mengidam mahu makan udang galah Sungai Geliga.

Puas Imran berulang-alik ke pasar berdekatan untuk membeli udang galah idaman isteri tersayang namun hampa.

 

Sekarang, memang bukan musim udang galah di Sungai Geliga. Kalau adapun tidak dijual secara terbuka atau hanya dijadikan hidangan keluarga oleh pemancing yang menangkapnya secara ‘suka-suka’.

 

Hamdan sudah mendapatkan perahu yang sederhana besarnya daripada bapa saudaranya. Malam itu sedikit berangin.

Awan tebal bertompok gelap melindungi cahaya bulan yang berbentuk bulan sabit. Kalau diikutkan musim, sekarang bukan musim udang galah bermaharajalela di Sungai Geliga.

Air sungai agak keruh kerana saban petang atau pagi, hujan akan turun walaupun tidak berapa lebat.

 

Kami berempat mendayung sampan dalam keadaan senyap tanpa berbual. Hanya asap rokok berkepul keluar sebagai satu cara untuk menghalau nyamuk dan unggas di permukaan air.

 

Sampai di tepi pokok berembang yang rendang, yang mana sebahagian dahannya terjuntai ke dalam air, saya mengangkat tangan memberi isyarat agar kami berhenti di situ. Halim mengikat tali sampan pada dahan pokok yang terjuntai.

Manakala saya, Imran dan Hamdan memeriksa mata kail dan umpan yang dibawa.

Ads

 

Entah mengapa, malam itu saya rasakan suasana agak sepi. Kebiasaannya kami berempat rancak berbual namun pada malam itu semuanya bagaikan mati kutu.

Masing-masing seperti membawa haluan sendiri. Sebaik sahaja mata kail dicampakkan ke dalam air, saya seperti terdengar suara orang berjalan di tebing sungai.

Bunyi kayu mati yang dipijak jelas kedengaran sehingga saya dan Halim saling berpandangan sambil memberikan isyarat mata.

 

 

Imran pula sudah menyuluh di tebing sungai namun tiada apa-apa sebarang objek yang kelihatan.

Saya percaya tiga orang rakan saya ini turut mendengar bunyi kayu mati yang dipijak tadi tapi semuanya mengambil pendekatan ‘membisu’ kerana percaya inilah cubaan yang selalu

menimpa pemancing yang memancing udang di Sungai Geliga yang memang terkenal dengan kisah-kisah mistiknya.

Mistik – Pancing Udang Di Lubuk Buaya Jadian

Namun kami tidak pedulikannya, tambahan pula selepas itu, udang galah sederhana besar seberat dalam 50 gram berjaya dinaikkan.

Ads

Imran kemudian hampir melonjak kegembiraan apabila umpannya mengena seekor udang galah besar seberat 250 gram dan getuan begitu rancak berlaku selepas itu, tambahan pula, kami semuanya berjaya menaikkan udang bersaiz sepit biru.

 

Selain udang galah, kami juga berjaya menaikkan baung dan patin yang saiznya agak besar dan ‘menyelerakan’.

 

Namun, di sebalik rasa gembira itu, terselit juga rasa hairan dan cuak di hati saya. Bukan apa, selain udang galah yang besar dengan kepaknya yang membiru itu, timbul satu persoalan yang bermain di minda saya.

 

Walaupun bulan malam itu tidak bercahaya, saya seperti ternampak beribu kunang-kunang seperti bermain berhampiran sampan kami.

Ini menjadikan tempat kami memancing itu sangat terang dan indah hingga sedikit pun saya tidak berasa mengantuk walaupun jam sudah menghampiri empat pagi.

 

“Hari dah subuh. Jomlah kita balik. Murah rezeki kita malam ini. Alhamdulillah,” ucap saya apabila melihat di dada langit sudah memancar cahaya ufuk subuh yang indah warnanya.

Sesekali saya terlihat seperti ada kilat memancar di celah-celah awan tebal yang masih lagi melindungi bulan yang berbentuk sabit.

Ads

 

Imran membuka tali yang diikat pada dahan ara tadi. Saya dan Halim mengambil tugas mendayung sampan. Namun saya terasa ada sedikit keanehan.

Tanpa mendayung pun, sampan saya seolah-olah meluncur laju menuju ke jeti yang terletak hampir 30 minit perjalanan dengan mendayung.

 

Akhirnya, saya dan Halim mengambil kata sepakat. Kami meletakkan kayu pendayung di atas sampan sambil duduk diam memerhatikan pergerakan sampan yang ‘laju’ dipandu oleh satu kuasa luar biasa yang ada di bawah sampan kami.

 

Kepada Imran dan Hamdan, saya hanya memberikan isyarat mata agar mereka juga duduk diam tanpa bersuara.

Tidak sampai sepuluh minit, kami tiba di jeti dengan selamat!.

 

Ketika itulah, dalam jarak hampir lima meter, saya melihat seekor buaya putih sebesar kereta timbul di permukaan air dalam tiga saat.

Saya hanya mampu beristighfar dan mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kami berempat selamat daripada sebarang musibah.

 

Melalui Imran, akhirnya saya tahu bahawa Suraya rupanya berketurunan Pak Kiai Haji Ahmad yang terkenal dengan kebolehannya menjinakkan buaya ganas di Sungai Geliga satu ketika dahulu.

 

Mungkin kerana itulah maka kami berempat ‘berpesta’ udang galah walaupun bukan pada musimnya!.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI