Mistik: Misteri Lubuk Tengas!!

Share

 

Pada jam 2 petang Mat dan Bob tiba di Lubuk Lakom. Berikutan sedikit kepenatan, mereka merehatkan diri terlebih dahlu di tepi jeram sungai sambil-sambil menyiapkan kelengkapan untuk memancing tengas.

 

Mat terlebih dahulu melabuhkan umpan dan tidak sampai seminit umpan sudah pun disambar pemangsa.

“Letak je dah lekat ikan tengas…” kata Mat kepada Bob.

Memang lapar betul ikan tengas di situ. Mat dan Bob tidak perlu menunggu lama untuk umpan dimakan ikan. Mereka asyik menaikkan ikan tengas yang boleh tahan saiznya.

 

Apabila ikan tidak lagi rancak memakan umpan, Bob mula mencari port yang lebih sesuai dan meranduk naik ke port yang lebih tinggi dari port yang dipancing oleh Mat.

Bob tidak sesabar Mat. Mat tetap tenang dan sabar menanti di lubuk pertama. Dia yakin lubuk tersebut akan didatangi tengas yang lain pula.

 

Tidak sampai setengah jam, Mat melihat Bob berlari bergegas turun dari celah-celah batu sungai menuju ke arahnya.

Mat tak fikir apa-apa walaupun nampak sedikit perubahan air muka bob. Sebaik sahaja sampai di tepi Mat, Bob menepuk bahu Mat sambil bersuara keras.

“Mat… jom blah!”

 

Selepas ditepuk oleh Bob, secara tiba-tiba Mat melihat keadaan sekeliling sudah pun bertukar menjadi gelap gelita.

Mereka memang terkedu dan terkelu lidah melihat keadaan sekeliling. Pada jangkaan mereka, waktu itu masih petang sekitar jam 4.00 atau 5.00 petang, sedangkan jam di tangan menunjukkan pukul 10.00 malam!

 

Keadaan yang gelap di hutan tebal, yang tidak ada kampung yang berhampiran. Mereka pula tidak membawa sebarang lampu, dengan hanya pemetik api rokok yang dijadikan lampu untuk menyuluh mereka pulang ke bawah.

 

Dalam kesamaran cahaya, mereka mencari jalan pulang ke tempat tinggal motosikal. Debaran di dada tidak dapat digambarkan.

Jantung berdegup kencang dan merasakan ada mata-mata yang tersembunyi sedang mengekori mereka pulang.

 

Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut mereka. Yang kedengaran hanya dengus nafas mereka.

Perjalanan menuruni bukit yang sepatutnya memakan masa beberapa minit itu seperti berjam-jam lamanya.

Syukurlah… mereka sampai ke motosikal tanpa sebarang petaka dan keluar dari Lubuk Lakom dengan selamat.

 

Sehingga ke hari ini, Bob dan Mat masih diselubungi misteri di Lubuk Lakom. Mereka tetap merasakan hanya sekejap saja berada di lubuk puaka itu tetapi hairan bagaimana secara tiba-tiba saja bertukar gelap.

Semenjak itu juga mereka seperti hilang keberanian untuk kembali ke Lubuk Lakom lagi walaupun untuk beberapa minit.

 

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Published by
Amang