Aku memancing kat tepi pantai sampai dah gelap. Port tu aku tak biasa sangat. Lama dah lama baling pancing namun seekor ikan pun tak makan sampai dah give up.
Tapi tak jauh dari tempat aku ada orang tu kejap-kejap dapat… kejap-kejap dapat. Jeles betul aku. Lepas tu aku angkat joran dan terus pergi ke kereta.
Sambil berjalan aku tegur orang tu… banyak dapat bang. Dia sepatah pun tak berkata apa-apa. Aku biarlah orang tak jawab aku teruskan berjalan ke kereta.
Dah sampai kat kereta tengok-tengok member-member aku dah packing barang siap nak balik. Aku tanya, ada dapat ke? Tapi semuanya senyap.
Lepas tu ada member aku yang pangkat tua sikit daripada aku cakap kat tempat aku memancing tadi takde orang, batang pancing aku pun takde.
Dia orang dah cari aku serta panggil nama aku tapi takde jawapan. Tu pasal dia orang duduk dalam kereta dan kalau aku tak muncul-muncul nak buat repot sebab masa dia
orang pergi cari aku tu terjumpa kubur lama serta batu nisan tepi tebing dan dalam air laut.
Ooo… patut la ikan takut nak makan umpan aku. Cuma aku musykil siapa yg memancing dekat dengan aku tu???
Oleh: Amir Ridzuan
Ads
Pancing Ular
Saja nak kongsi cerita ni. Masa dulu memancing dalam hutan 5 orang niatnya nak pancing ikan kaloi. Cerita ni taklah seram sangat tapi boleh la tahan.
Dah pancing dalam 4 jam tapi hasil takde. Dari pukul 5 petang sampai malam. Last sekali ada sorang member ni teringat petua atuk dia.
Atuk dia cakap kalau nak pancing kaloi kena bersiul. So member pun test la bersiul, tapi yang datang bukan dari dalam air tapi datang dari darat.
Nasib baik ada member lagi sorang perasan yang datang bukan ikan tapi ular!
Oleh: Md Fadhzliey
Ads
Hantu air
Saya banyak pengalaman seram masa memancing ni. Saya selalu kena waktu Maghrib dalam hutan buluh.
Masa tu saya tengah pancing kaloi. Sebelum bilal azan saya terdengar bunyi air berkocak. Saya ingatkan ikan, saya pun pergi la cari kot-kot boleh jumpa anak-anak toman. Tapi apa yang saya jumpa adalah makhluk halus (hantu air).
Ayah saya pernah kata dia datang dengan laju di atas air, kita hanya akan nampak kepala dia sahaja. Macam tu la saya nampak di atas permukaan air. Saya pun cepat-cepat pack gear dan beransur pulang.
Kesimpulannya maghrib jangan pancing balik la rumah sebab waktu tu adalah waktu iblis keluar.
Ads
Oleh: Iskandar Zulkarnain
Hantu megi
Dulu pernah pergi memancing 5 orang dalam hutan di Pahang. Orang tua yang bawa perahu dah beritahu kalau bau kari jangan dilayan.
Malam pertama terbau kari kat dalam hutan… pergi selidik tau-tau ternampak 6 lembaga sedang berkumpul. Berani je tegur… buat apa tu? Lembaga tu jawab, makan magi kari.
Tapi dah habis… tinggal kuah je. Haaa kan dah cakap jangan tegur, marah orang tua tu keesokan paginya bila diberitahu kejadian malam tadi.
Oleh: Man Mohamed
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
“Percayakah kamu sekiranya saya menyatakan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menaikkan seekor temoleh seberat 40 kg ke dalam sampan kecil berseorangan?”
Dalam fikiran aku, tentu saja sedang kita membongkok cuba menaikkan ikan liar yang terperangkap dalam jala panjang 10 kaki itu ke dalam sampan, sampan akan terumbang-ambing dan terus senget.
“Sudah tentu air akan mencurah-curah masuk. Kamu boleh bayangkan nasib penjala tersebut!” ucap Cek Mat kepadaku ketika aku sedang menghirup kopi pekat di anjung rumah pusaka datuknya. Cek Mat terus menceritakan lagi kisahnya…..
Aku sendiri pun pada mulanya tidak yakin, tapi setelah melihat sendiri Pak Jangit mendayung sampan dengan membawa seekor temoleh besar dalam perut sampannya yang sedang merapat ke tebing memang sungguh mengejutkan.
“Ada orang tolong Pak Jangit tadi ke?” kata aku sambil memerhati sampan Pak Jangit mula merapati tebing.
“Kamukan nampak aku seorang je ni,” ujar Pak Jangit sambil tersenyum.
Aku terdiam. Dalam fikiranku mungkin ada seseorang yang sedang mudik ke hulu bertembung dan membantunya menaikkan ikan tersebut ke dalam sampan. Mana mungkin seseorang menaikkan ikan tersebut bersendirian, fikirku lagi.
Aku segera membantu Pak Jangit memikul ikan temoleh menuju ke rumahnya yang berjarak suku batu. Suasana agak suram bila memasuki lorong kebun getah yang menuju ke rumahnya yang jauh dari rumah jiran-jiran.
Terasa pelik dan kagum apabila melihat Pak Jangit masih gagah memikul tanpa mengeluh ikan tersebut naik ke dapurnya. Pak Jangit mengeluarkan golok dan menyuruh aku memotong mana-mana bahagian yang aku sukai.
Melihat aku masih ragu-ragu, Pak Jangit lantas memotong bahagian kepala dan memasukkan ke dalam buntil tepung dan menyerahkan padaku untuk dibawa pulang.
Esoknya, selepas pulang dari bekerja di Kilang Getah Kati Estate, aku mencapai batang-batang joran lantas mencapai basikal. Hajatku untuk pergi memancing. Di simpang jalan aku singgah di Kedai Runcit Pak Alang Him untuk membeli rokok dan sedikit roti manis buat bekalan.
Bunyi riang-riang rimba yang tingkah meningkah menyambut kedatanganku di pinggir sungai. Dua batang pancing segera kusiapkan dan siap kutambatkan pada anak pokok pinang. Aku pun bersandar pada perdu pokok sambil mengeluarkan bekalan roti yang dibawa.
Tiba-tiba aku teringat pelawaan Pak Jangit mengajak aku menjala ikan bersamanya. Seingat aku Pak Jangit Tamih pernah memberitahu dia berasal dari suku Kerinci dari daerah Jambi, Indonesia. Telah setahun Pak Jangit mengambil upah menoreh getah di kebun ketua kampung. Pak Jangit pernah berkahwin tapi bercerai tanpa meninggalkan zuriat.
Aneh, orangnya. Rela tinggal bersendirian di hujung kampung dan menghuni rumah kecil peninggalan Bidan Mak Limah.
Sekiranya tidak menoreh kerana hujan, dia akan membuat jala. Kadang-kadang ada juga orang kampung turut menempah jala darinya. Cuma dia agak kurang bergaul. Satu-satunya yang menentang keras akan kehadirannya adalah Pak Malim, seorang guru silat di kampung kami.
Pernah tiga bulan yang lalu, Pak Jangit menggemparkan penduduk Kampung Beluru dengan tangkapan ikan temoleh seberat 40kg di Sungai Jawang. Berita kejayaannya telah menjemput kaki-kaki pancing dan pemukat dari kampung-kampung berhampiran.
Namun ramai yang hampa. Cuma Pak Ngah Tago agak bernasib baik dapat menaikkan temoleh 17 kg, itu pun dibantu oleh anak bujangnya yang ikut bersama.
Aku menyalakan sebatang rokok. Nyamuk yang berlegar di sekeliling badanku mulai berkurangan. Ada juga desas-desus menyatakan Pak Jangit mengamalkan ilmu hitam. Ada juga menyatakan Pak Jangit ada pendamping.
Terasa seram menyelubungi diri sewaktu aku berpaling ke kiri. Berderau darahku. Berdiri di bawah pokok salak kelihatan Pak Malim yang sedang melangkah ke arahku. Kami pemuda-pemuda Kampung Beluru dan kampung-kampung sekitarnya sangat menghormatinya kerana ilmu persilatannya yang tinggi.
“Aku mencari kerbau aku yang terlepas!” ujar Pak Malim sewaktu aku bertanya akan kehadirannya. Aku dengar kau nak ikut Pak Jangit menjala? Berhati-hati jangan cepat percaya dengan orang luar.”
Aku mula merasa tidak selesa. Bagaimana Pak Malim boleh tahu rancanganku? bisik hatiku. “Mat, kau ada rasa kelainan tak semasa berada di halaman rumahnya?”. Aku mengangguk perlahan.
Memang aku akui. Ada ketikanya suasana tiba-tiba rasa sejuk yang melampau, bau kemenyan yang nipis menusuk ke hidung sewaktu berada di halaman rumahnya. Lebih-lebih lagi waktu rembang petang.
“Kebaikan kau akan dipergunakannya, berkemungkinan dia akan melepaskan sakanya pada kamu.” Aku merenung jauh memikirkan kata-kata Pak Malim. “Kehebatannya menaikkan ikan-ikan besar seorang diri ke dalam sampan hanyalah dibantu oleh pendampingnya. Tapi ingat itu hanyalah ilmu dunia yang sementara!”
Aku mula merenung muka Pak Malim. Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta api barang melintasi jambatan besi Victoria. Petang yang cerah tiba-tiba bertukar kelam. Langit hitam beserta angin kencang membawa gerimis. Sebaik bunyi guruh berdentum kuat, tiba-tiba kami dikejutkan kelibat Pak Jangit di bawah pokok kabong, sambil merenung tajam ke arah kami.
Daripada pandangan mata wajahnya, perlahan-lahan seakan berubah menjadi harimau. Suaranya kedengaran garau dan bersedia dalam kedudukan untuk menerkam kami.
Pak Malim lantas mengeluarkan kain hitam berjalur merah. Dari mulutnya meluncur ayat-ayat suci. “Mat kamu jangan gentar, teruskan membaca ayat Qursi.” Aku akur sambil cuba melangkah pantas ke belakang Pak Malim.
Belum sempat aku berada di belakang Pak Malim, satu tamparan singgah di dada kiriku. Sepantas kilat Pak Malim merentap daunan dan menepuk sambil mulutnya kumat kamit menghembuskan ke dadaku dan tangan kiriku menekup daunan seperti diarahkan. Aneh!
Dalam beberapa saat dada terasa seperti terbakar mula reda seperti di sirami air dingin. Jelmaan Pak Jangit yang telah bertukar wajah kepada harimau jadian mengaum sekuat tenaganya.
Terkamannya yang agak tersasar memberi peluang Pak Malim melibas muka harimau jadian dengan kain hitam dengan sekuat hati. Lantas ghaib dari pandangan mata kami dan meninggalkan bau kemenyan yang tajam. Perlahan-lahan Pak Malim memapahku pulang….
“Peristiwa ini telah 20 tahun berlalu. Pak Malim pun telah lama meninggal dunia. Pak Jangit telah lama menghilangkan diri tanpa berita. Lihatlah ini bekas cakarannya masih meninggalkan parut di dadaku sebagai kenangan,” Ucap Cek Mat sambil tertawa kecil.
Matanya merenung jauh ke puncak Bukit Karai. Sesekali mataku merenungi bunga-bunga teratai di permukaan kolam yang berada di pinggir rumah pusaka Cek Mat.
“Setiap kejadian ada hikmahnya. Cuma kita harus selalu berwaspada. Ingatlah pada yang Esa!” ucap Cek Mat perlahan kepada ku.
Malam itu cuaca agak indah dengan bulan mengambang penuh. Kami tidak perlu menggunakan lampu suluh untuk sampai ke lubuk yang dituju. Cukup dengan panduan cahaya bulan yang memantul indah di atas permukaan air sungai yang beriak tenang.
“Sunyi pulak malam ni…” kata Mazli kepada saya. Saya hanya mengangguk namun pandangan saya lemparkan pada barisan pokok nipah yang hidup subur di tebing sungai.
Kata orang-orang tua, di mana berkumpulnya udang galah yang banyak, di situ pasti ada buaya besar kerana udang galah suka ‘melepak’ di atas badan buaya. Sama ada kata-kata ini ada benarnya, saya tidak pasti.
Namun saya berpegang teguh kepada prinsip, saya memancing udang galah ini hanya sekadar untuk mencari lauk bagi keluarga. Saya tidak mengganggu ‘kehidupan’ makhluk lain yang tidak kelihatan pada mata kasar!
Setelah mendapat spot yang sesuai untuk melabuhkan sampan, saya dan Mazli terus membaling umpan ke tengah sungai.
Alhamdulillah, tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya mula mengena. Udang galah yang dianggap jenggo dengan anggaran berat 250 gram berjaya dinaikkan. Selepas itu, saya dan Mazli bagaikan tidak cukup tangan melayan aksi penghuni sungai yang lain seperti duri, bagok dan baung. Malam itu kami bagaikan berpesta di tengah sungai.
Menjelang jam dua pagi, suasana mulai sejuk. Gerimis turun dan bulan yang tadinya indah di dada langit sudah mula ditutupi awan hitam yang tebal. Sesekali terlihat guruh di langit. Mazli beri isyarat supaya saya mengemas semua joran dan bersedia mendayung untuk balik ke jeti semula apatah lagi gerimis yang tadinya halus sudah bertukar kepada rintik kasar.
Ketika inilah, dengan dibantu oleh pancaran kilat yang sesekali datang menerpa, saya perasan di hadapan perahu saya berdiri seorang perempuan tua memakai baju kebaya berbunga-bunga dan berkain batik berwarna kuning.
Rambutnya tidak kelihatan kerana dia memakai selendang. Dia memegang sebatang tongkat yang berlingkar, sebiji seperti akar bonsai yang sering saya kutip di tengah hutan. Rasa gemuruh dan takut menyelubungi diri saya apabila saya perasan mukanya hitam legam tanpa kelihatan mata, hidung atau mulut!!
Rasa tergamam dan seram itu membuatkan saya menundukkan pandangan. Niat untuk membaca ayat-ayat suci itu ada tapi bibir saya bagaikan terkunci untuk membacanya. Otak pula bagaikan blur. Saya duduk statik di dalam sampan betul-betul seperti orang yang sudah terkena renjatan elektrik!
Ketika inilah saya terdengar Mazli mengalunkan azan sebanyak tiga kali. Setiap kali azan dilaungkan, saya ternampak perempuan tua itu menutup telinganya bagaikan sakit mendengarnya. Akhirnya jasad perempuan itu berubah menjadi asap hitam yang berkepul-kepul lalu menghilang di tengah sungai.
Bahu saya ditepuk beberapa kali oleh Mazli. Mulut Mazli terkumat-kamit membaca ayat Qursi lalu dihembuskan ke muka saya.
“Itu syaitan… jangan takut. Dia makhluk Allah jua.” kata Mazli lagi. Saya mengangguk lemah. Tubuh saya masih lagi gementar dan tiada berdaya untuk mendayung.
Nasib baik Mazli seakan mengerti dengan keadaan saya. Dia mendayung sehingga kami selamat sampai di jeti tepat jam 3.10 pagi. Mazli juga yang memunggah semua hasil yang kami dapat masuk ke bonet kereta.
Sampai sahaja di hadapan rumah saya, Mazli tidak membenarkan saya masuk terus ke dalam rumah. Dia menghulurkan sebatang rokok kepada saya. Sambil menghisap rokok, saya terdengar Abang Mazli seperti berbual-bual dengan ‘seseorang’ dengan suara perlahan. Katanya, “sampai sini sahaja kau ikut aku. Jangan ikut aku lagi. Aku tak kacau kau dan jangan pulak kau kacau aku,”.
Selepas itu, baru Abang Mazli ‘membenarkan’ saya masuk ke rumah. Saya juga diberi pesanan agar mandi dan terus tidur selepas itu.
Lubuk di sungai tersebut sememangnya tumpuan orang setempat sama ada untuk memancing atau sekadar menontok orang lain memancing. Matahari sudah terbenam dan lubuk tersebut hanya tinggal kami berdua, namun joran kami masih belum terusik.
Sesudah beberapa kali memasang umpan, hanya riak halus air yang kelihatan. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu. Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik. Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing.
“Isy… kenapa tak ada sekor pun naik ni?” bisik hati aku.
“Sabar…” tiba-tiba saja pak cik aku bersuara seolah-olah mendengar suara hati aku. Mungkin juga dia dapat membaca bahasa gerak tubuh aku.
Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk. Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.
“Apa tu aaa…? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu.” Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan.
Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan terbentuk suatu objek lain yang sesungguhnya menyebabkan aku tergamam.
Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai. Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pak cik aku yang tadi berada tidak jauh dari aku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut.
Lembaga tersebut mengerbangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arah aku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut. Tiba-tiba aku rasa seluar aku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.
“Man! Man oii…! Kau tengok apa tu?”
Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur. Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekeliling aku. Pak cik aku terus memanggil-manggil nama aku.
Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya aku tidak ingat apa-apa lagi. Apabila kembali membuka mata, aku dapati sedang terbaring di ruang tamu rumah. Bukannya di lubuk sungai. Kelihatan ibu duduk tidak jauh dari tempat aku terbaring.
“Mana pak cik?” spontan aku bersuara.
“Pak cik ada kat luar tu…”, ibuku menjawab.
Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah.
Pak cik aku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.
“Kau kena sampuk semalam agaknya…” Pak cik aku bersuara sambil tergelak kecil. Aku sekadar terkebil-kebil memandangnya.
Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya.
Dia terus mengangkat semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.
Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut. Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam walaupun bukan di lubuk tersebut. Mungkin aku dah kena fobia agaknya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...