Setelah siap segala bekalan berkhemah serta makanan, jam 10 pagi kami memulakan perjalanan merentas hutan serta sungai menuju ke lubuk sasaran yang memakan masa dua setengah jam perjalanan kaki.
Setelah beberapa kali berhenti rehat kami tiba ke destinasi jam 1 petang. Saya mengambil kesempatan berehat sebentar sambil melihat keadaan sekeliling yang amat
mempersonakan dengan keindahan alam ciptaan Ilahi, kejernihan air sungai serta kesejukannya bak air baru keluar dari peti sejuk.
Setelah hilang penat, kami membersihkan kawasan serta membuat persiapan memasang khemah dan tempat memasak. Kemudian kami terus memulakan aktiviti memancing.
Kelihatan Haidir melintas sungai untuk mencari port yang baik dengan bertenggek di atas pokok dekat dengan cenuram berhampiran lubuk.
Berumpankan cacing yang digali di situ, selang 10 minit Haidir berjaya memperoleh seekor baung akar lebih kurang seberat 300gram.
Sebahagian dari kami berpecah menuju ke lubuk lain yang memakan masa lebih kurang 15 minit berjalan kaki.
Ads
Jam menunjukkan hampir 4.00 petang, saya membersihkan diri bersama Mazli dan Rosli. Selesai menunaikan solat jamak saya mengambil kamera digital dan merakamkan gambar Rosli yang sedang mandi.
Ingatkan nak bergurau saja akan tetapi alangkah terkejutnya saya apabila melihat di dalam LCD kamera kelihatan satu makhluk Allah seperti bentuk bola putih dengan urat-
urat kecil berjuntaian sedang melayang menuju ke arah Rosli, sedangkan pada pandangan mata kasar ketika saya merakamkan gambar tidak ternampak sebarang objek pun melintas di hadapan saya.
Tak mungkin kamera saya menghadapi masalah kerana satu rakaman sebelum dan selepas foto tersebut tiada pula tertera imej tersebut.
Ads
Setelah bertafakur sebentar, saya faham apa yang telah termaktub di dalam Al-Quran bahawa bukan manusia saja makhluk Allah, terdapat juga syaitan dan jin, mungkin kami berada dalam kawasannya dan dijodohkan ia ingin menunjukkan sifatnya kepada saya.
Lantas saya memohon kepada Allah agar melindungi kami dari segala bencana kerana tujuan kami hanyalah untuk memancing ikan.
Hampir jam 6 petang barulah kumpulan kami yang menuju ke lubuk lain pulang dengan membawa hasil tangkapan beberapa ekor tengas, baung dan juga terbul.
Nasi dimasak untuk makan malam berlaukkan hasil pancingan ikan tadi. Makan dalam hutan ni tak ada kuah pun tak apa, asalkan ada kicap, cili api serta bawang dan asam
limau dan memadai. Lebih-lebih lagi ikan tadi digoreng atau pun dipanggang, 3 pinggan nasi pun boleh habis sekali jalan!
Selepas Maghrib kami meneruskan pancingan. Berbekalkan joran aksi ringan serta tali tangsi 10lb barulah terasa puas melayan tarikan ikan dan hasilnya kami memperoleh lebih
kurang 20 ekor baung akar seberat 100 hingga 500gm, tengas kecil dan beberapa ekor ikan lain.
Walaupun kunjungan saya kali ini tidak mendapat rentapan ikan yang bersaiz besar seperti kunjungan sebelumnya, namun saya puas dengan hasil tangkapan yang boleh dikatakan agak lumayan juga.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Mistik: Bela Puyu Untuk Halang Sihir & Gangguan Makhluk Halus?
Pernah tak dengar korang dengar orang tua-tua berpesan supaya membela ikan puyu di rumah? Memang elok untuk kita bela ikan puyu kat rumah, katanya ikan ini dapat menghalau hantu atau makhluk halus.
Selain itu ianya dapat menghalang perbuatan pukau dan sihir yang hendak ditujukan pada penghuni rumah tu.
Cuma… yang menjadi persoalan yang tak terungkai dan pastinya ramai nak tahu, apa signifikan antara hantu dan makhluk halus dengan ikan puyu?
Kenapa mereka takut sangat kat ikan ini? Apa power yang ada pada ikan puyu sehingga makhluk halus gerun padanya?
Tidak dinafikan kepercayaan misteri yang dikaitkan dengan ikan puyu dalam masyarat Melayu amat sinonim. Ikan puyu dan perkara mistik tidak dapat dipisahkan. Ia umpama cerita turun-temurun dalam masyarakat tempatan, malah tidak mengira bangsa.
Keupayaan ikan puyu sebagai pelindung rumah ialah versi paling kerap didengar. Ramai membela puyu bagi mengelakkan rumah mereka dimasuki pencuri yang menggunakan ilmu pukau.
Mereka yang terikut-ikut akan kepercayaan itu bersandar kepada teori bahawa pukau tidak akan berkesan jika terdapat benda hidup di dalam rumah yang masih berjaga.
Puyu dikatakan sejenis ikan yang tidak tidur malam. Sebab itulah, kehadirannya di dalam rumah dipercayai boleh membatalkan usaha penjahat yang ingin memukau penghuni sesebuah rumah. Namun kita harus ingat setiap ciptaan-Nya ada kelebihan dan ketentuan.
Lebih menguji akal logik, ikan yang mampu hidup melebihi 24 jam di atas daratan itu dikatakan sebagai alat mainan yang digemari toyol dan orang bunian!
Dalam penceritaan lain, ciri fizikal ikan yang mampu mencecah usia lima tahun itu juga dipercayai digeruni makhluk halus termasuk syaitan dan jin. Duri tajam yang terdapat pada puyu dikatakan menyekat kebal makhluk tersebut untuk masuk ke dalam rumah manusia.
Dalam dunia perdukunan, puyu turut menjadi medium memindahkan objek santau yang dihantar kepada seseorang.
Santau yang diperoleh mangsa dipindahkan ke dalam badan puyu. Begitupun, ada juga yang menjadikannya sebagai objek untuk menyantau orang lain.
Apa-apa pun ia tertakluk kepada Kepercayaan masing-masing. Pendapat korang macam mana? Jom kongsikan.
Sekurang-kurangnya sebulan dua kali aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik mengilat atau pancingan dasar. Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di universiti dulu.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 1.00 petang. Dalam hati terdetik ‘masih awal, ada peluang nak mancing petang ni’. Setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus capai telefon bimbit dan menelefon Nizam. Rupanya NNizam sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir tiga jam katanya.
Racun punya racun, NNizam akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Batang Berjuntai. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih.
Setibanya Nizam di perkarangan rumah, kami mengambil keputusan untuk naik satu kereta iaitu kereta aku. Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini.
Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan lama aku memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang. Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah.
Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu.
Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya. Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali.
Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Nizam supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada NNizam. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di set-up tersebut.
Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang. Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur.
Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama.
Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Nizam untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi.
Nizam bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul.
Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul. Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa.
Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Nizam mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan exit ke highway telah terlalu jauh.
Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut.
Tetapi kini suara azan isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami. Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh,
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”.
Nizam yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya. Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut.
Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati.
Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?” pakcik itu kehairanan dan menjawab,
“Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Nizam hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Nizam hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Zam!” Tetapi tidak diendahkan oleh Nizam sebaliknya Nizam terus memecut laju pulang ke rumah.
Malam itu sebelum tidur, aku terima Whatsapp dari Nizam, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan pasar malam tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Nizam sahaja yang berada di dalam kereta.
Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Survival hidup di dalam lautan amat sukar bagi ikan-ikan kecil terhadap pemangsa. Oleh yang demikian hidupan ini perlu sesuatu yang magik untuk kelangsungan hidup.
Antara magik yang perlu ada pada ikan-ikan kecil ini adalah dengan menyamar. Berikut disenaraikan ikan atau hidupan laut yang memiliki tahap penyamaran yang hebat!
10 – BLUESTRIPED FANGBLENNY
Ikan Bluestriped Fangblenny merupakan ikan kecil dengan kebolehan mengubah warna kepada warna ikan lain seperti oren, kuning, hitam atau biru lantas berasimilasi dengan
warna organisma atau ikan sasarannya. Helah penyamarannya cukup sempurna malah ia juga mampu menjadi pemangsa dengan menjadikan ikan yang diasimilasikan tadi sebagai mangsa.
9 – MIMIC OCTOPUS
Kurita Mimic ini menggunakan strategi pertahanan tradisional bagi sotong. Ia bukan sahaja mampu mengubah warna badannya malah mampu membentuk semula badannya menyerupai spesies hidupan lain.
Antara spesies yang paling suka dijelmakan kurita ini ialah ular laut dan ikan singa (lion fish). Dengan kebolehan menyerupai spesies yang lebih mengancam, Mimic Octopus ini mampu menghindarkan pemangsa mendekatinya.
8 – GHOST PIPEFISH
Ghost Pipefish ini dikatakan mempunyai pertalian dengan kuda laut dan bentuknya pula menyerupai rumput laut. Panjang, halus dan seakan bentuk paip, ikan ini selalu berlegar di dasar laut.
Ikan ini hanya menyedut organisma kecil sebagai dietnya. Reka bentuk badannya seakan rumput laut ini sudah cukup untuk proses penyamaran.
Ketika musim mengawan, Ghost Pipefish akan berenang ke kawasan terumbu karang dan akan mengubah warna badannya mengikut warna terumbu.
7 – COCKATOO WASPFISH
Antara hidupan laut, Cockatoo Waspfish ini merupakan antara yang paling malas di lautan. Ketika hidupan lain selesa mencari celahan dan rekahan untuk bersembunyi.
Cockatoo Waspfish ini pula hanya sekadar berlegar mengikut arus. Namun begitu, ia jarang sekali dikesan oleh pemangsa yang berpotensi berikutan bentuk badannya yang seakan-akan dedaun mati yang hanyut di dasar laut.
6 – LEAFY SEA DRAGON
Bagi pemangsa lautan, pergerakan mangsa menjadi klu utama ketika mencari mangsa. Bagi Leafy Sea Dragon ini, bahagian siripnya seakan lut cahaya dan sukar dikesan
pemangsa ketika ia bergerak. Ditambah pula dengan bentuk siripnya yang menyerupai rumpai laut menjadikannya helah penyamaran sempurna bagi mengaburi pemangsa yang kelaparan.
5 – SWORDTAIL CHARACIN
Bagi Swordtail Characin, tujuan penyamarannya pula agak unik. Helah penyamarannya bukan untuk mengelakkan pemangsa tetapi bertujuan untuk mendapatkan pasangan.
Bagi Swordtail Characin jantan, ia mempunyai tangkai yang memanjang keluar dari badannya dan ia mampu memberikan bentuk seakan makanan.
Jika terdapat Swordtail Characin betina yang memakannya, secara tidak langsung ia akan berada dalam posisi sesuai untuk mengawan.
4 – PEARLFISH
Pearlfish mempunyai helah yang begitu unik untuk terus hidup. Ia melindungi dirinya dengan menjadikan timun laut sebagai perumahnya dengan memasuki bahagian anus
timun laut tersebut! Ada ketikanya, hanya bahagian kepalanya kelihatan keluar dan ada masanya ia masuk sepenuhnya ke dalam anus timun laut bagi melindungi dirinya daripada
pemangsa berhampiran. Pearlfish akan memakan organ dalaman timun laut ketika berada di dalamnya.
Timun laut berupaya tumbuh semula, jadi mungkin sebab itu ia tak kisah jika Pearlfish menumpang dan memakan organnya.
3 – COLEMAN SHRIMP
Sekali pandang, udang Coleman ini seakan-akan ikan nemo (clownfish) iaitu spesies yang menyerlahkan warna oren dan putih di badannya yang selalu bersembunyi di dalam anemon laut.
Begitu pun, udang Coleman ini mempunyai tempat persembunyian yang lebih baik iaitu landak laut api (fire urchin).
Landak laut api mempunyai pola warna hampir sama dengan udang Coleman iaitu oren dan tetulang biru tua.
Pola warna ini menyebabkan udang Coleman hampir tidak kelihatan pada pandangan pemangsanya.
2 – BLACK MARBLE JAWFISH
Ingatkah anda pada Mimic Octopus yang tersenarai di tangga kesembilan? Sekarang pada senarai kedua ini lebih menarik.
Spesies ikan Black Marble Jawfish ini pula tampil dengan kebolehan untuk menyerupai Mimic Octopus!
Jika Mimic Octopus sibuk mengubah bentuk menyerupai ikan, muslihat ikan ini ialah datang menghampiri dan berpura-pura menjadi salah satu daripada sesungut sotong itu.
Ini bukan sahaja membolehkan ia mendapat akses kepada makanan sotong itu, malah menggunakannya sebagai ‘raksasa bertangan lapan’ untuk menghadapi musuh.
1 – TASSELED ANGLERFISH
Dengan gabungan kebolehan bersembunyi dan kesabaran yang tinggi, Tasseled Anglerfish boleh dikatakan raja penyamaran lautan malah menjadi pemangsa dalam masa yang sama.
‘Umpan’ kecil dari kepalanya yang tergantung betul-betul di hadapan mulutnya kelihatan seolah-olah mangsa yang mudah bagi ikan lain.
Dengan keadaan badannya yang hampir tidak dapat dikesan, ia hanya menunggu dengan sabar kehadiran ikan yang terpedaya dengan ‘umpan’ di hadapan mulutnya sebelum menerkam rakus ke dalam mulutnya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...