Kisah sebenar berlaku tahun 1994 di sawah padi Tanjung Karang. Ia berlaku ketika aku memancing ikan haruan dengan mengggunakan teknik kelau. Bagi yang tak tau teknik kelau ni, biar aku ceritakan sikit cara main teknik kelau.
Apa yang diperlukan ialah joran buluh sepanjang 15 kaki, line mono sepanjang 10kaki dan umpan katak. Memancing dari beting jalan. Umpan dilontar ke dalam parit dan tarik umpan di permukaan air. Memang teknik memancing haruan guna kelau macam ni.
Memancing pada waktu malam bulan agak gelap dalam samar-samar cahaya bulan, aku terdengar bunyi angin dan tiba-tiba rasa joran berat.
Semakin lama semakin berat. Aku dah mula rasa tak sedap hati. Sebab kalau ikan haruan menyambar bukan macam tu rasanya.
Aku angkat joran, bunyi angin lepas tu joran jadi ringan. Aku check umpan tetapi masih tak terusik. Apasal joran boleh jadi berat dengan tiba-tiba?
Aku sambung hulur joran dalam parit dan bunyi angin kedengaran lagi lepas tu joran berat. Aku angkat joran buluh tu lagi, terdengar bunyi angin lepas tu joran ringan… memang pelik!
Aku mula terfikir yang bukan-bukan. Mungkin dia tak bagi mancing kat tempat dia tu kot. Tak apalah… aku angkat joran dan pindah tempat.
Tempat baru jarak dalam 100 meter. Aku hulur lagi joran… macam sebelumnya bunyi angin dan joran jadi berat. Ah sudah! Kena kacau aku malam ni.
Aku pun bersuara, “Saya nak mancing saja tak kacau siapa pun. Ikan dalam air cari rezeki untuk makan.” Dalam rasa menggigil tu tergerak jugak nak tengok apa makhluk yang duk kacau tu.
Sebelum tu aku tak suluh dengan lampu picit. Hulur umpan pun dalam samar-samar cahaya bulan. On lampu picit kat kepala terus suluh hujung joran.
Bersinar mata kat hujung joran. Terkejut sangat nasib baik tak sakit jantung. Rupanya burung hantu bertenggek kat hujung joran. Cantik je parking. Patut la berat joran…. haishhhhhhh!
Oleh: Rizal Nasri