Mistik – Disorok di kuil ladang sawit

Share

 

Semasa umur dalam 17 tahun iaitu sekitar tahun 80-an, ketika baru pertama kali memancing mengikut abang dan arwah abang ipar mengail di tebing sungai.

Kawasan Sungai Redan,Ulu Tiram di dalam kebun kelapa sawit, berhampiran kuil Hindu yang terpencil.

 

Sewaktu itu tidak pernah saya lihat ikan sembilang dikail begitu senang didaratkan, hanya berumpankan udang kopek sahaja.

Sehinggalah dirasakan umpan udang hampir kehabisan dan waktu masih lagi awal sekitar jam 5.00 petang saja, lalu arwah abang ipar menyarankan saya membeli lagi umpan udang di pekan berhampiran.

 

Pekan berhampiran bukanlah dekat, hampir 5 km juga jauhnya. Memandangkan saya baru pertama kali ke tempat itu, jadi berpandukan tempat belakang kuil Hindu sahaja yang boleh saya ingat kedudukan pancingan kami.

Setelah puas mencari dari satu kedai ke satu kedai akhirnya dapat juga umpan yang dicari. Lalu bergegas membawa motosikal menuju ke tempat pancingan kami tadi.

 

Waktu pula menunjukkan sekitar 6.00 petang dan waktu dulu pukul 6.00 petang adalah waktu hampir Maghrib, dan saya masih dalam perjalanan mencari tempat yang dituju.

 

Suasana di kebun kelapa sawit hampir sama sahaja, dan lorong tanah merah juga membuatkan kita keliru.

Jam menunjukkan pukul 6.30 petang akhirnya sampai juga saya di kuil Hindu yang dicari. Lalu saya mengikuti lorong kanan belakang kuil tersebut. Saya rasakan perjalanan begitu jauh sekali!

 

Tiba-tiba saya perasan yang saya masih lagi berada di hadapan kuil Hindu tersebut lagi.

Dalam fikiran mungkin saya silap jalan, lalu saya ulangi jalan tersebut lagi dan berteriak memanggil abang-abang saya tetapi tiada sahutan, dan saya masih lagi tidak temui tempat abang2 saya mengail.

 

Hati mula gelabah dan hampir nak menangis kerana dah hampir 4 kali saya berpusing-pusing melalui kuil Hindu tersebut.

Belok kanan jumpa kuil itu, belok kiri juga jumpa kuil itu, waktu pula makin gelap dan tak nampak.

Akhirnya saya teringat pesan orang tua-tua, kalau sesat di hutan cuba-cubalah azan. Lalu saya pun azan sebanyak 3 kali sekuat hati!

 

Tiba-tiba… saya dengar suara abang saya memarahi saya kerana lambat dan melaungkan azan di tengah-tengah hutan pada waktu maghrib!

Fuhh… lega dapat juga saya bertemu dengan abang-abang saya setelah melalui peristiwa yang mendebarkan.

Yang peliknya abang-abang saya tidak mendengar bunyi motosikal saya (sedangkan ekzos motosikal saya jenis yang membingitkan telinga) dan tidak dengar saya memanggil nama-

nama mereka, sedangkan kedudukan kuil Hindu dengan tebing sungai terlalu hampir… pelik bukan?

 

(Sumbangan artikel dari zulkiffleeh.blogspot.my)

Published by
Amang