Seekor ikan rohu anggaran berat dalam 4 kg berjaya diheret ke tebing. Hasil ketiga yang tumpas di tangan saya lewat petang itu. Seekor lagi berjaya memutuskan tangsi dengan menyusup masuk ke dalam kawasan keladi bunting.

Satu pencapaian peribadi yang baik untuk saya. Manakala Faizal berjaya menewaskan dua ekor jelawat. Hairul pula seekor jelawat serta seekor rohu.

 

Kedengaran sayup-sayup dari kampung berdekatan suara orang mengaji. Bermakna beberapa minit lagi azan maghrib akan dilaungkan. Kami mengemas barang dan masukkan dalam bonet kereta.

Setelah memastikan tiada lagi barang yang tertinggal, saya terus memandu keluar dari kawasan lombong menuju simpang kampung di mana Hairul meletakkan motosikalnya.

 

Selesai solat maghrib di surau, saya menghantar Faizal ke rumahnya terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah bujang saya. Dua ekor ikan hasil pancingan saya disedekahkan kepada Faizal memandangkan dia mempunyai ‘keluarga besar’.

Baki seekor lagi sudah cukup bagi saya untuk dibakar sebagai juadah malam nanti bersama rakan-rakan bujang.

 

Kereta Myvi saya pandu perlahan. Jalan kampung yang muat untuk sebuah kereta sahaja dan laluan yang bengkang-bengkok merbahaya jika memandu laju.

Lagi pun saya tidak berapa biasa dengan laluan tersebut. Termasuk yang ini, baru kali kedua saya melaluinya. Ada satu lagi jalan baru yang lebih luas tetapi jauh.

 

Memandu bersendirian, melayan lagu sambil teringatkan aksi pecutan ala torpedo rohu lombong petang tadi. Memang seronoklah. Kalau ada kesempatan mahu saya turun lagi ke sini.

Dumm!

 

Terkejut dan serta-merta kaki menekan brek. Lampu tinggi saya pasang. Saya terlanggar sesuatu. Lima belas kaki di hadapan kereta berhampiran jambatan kayu, saya lihat seseorang terbaring di dalam semak.

Menggelabah dan berdebar-debar. Saya bergegas keluar. Masih terpinga-pinga, saya meluru ke arah semak. Kaki dan tangan saya menggeletar.

 

IKLAN

Seingat saya tidak ada sesiapa tadi di tepi jalan atau melintas jalan. Apakah saya tidak perasan atau fikiran jauh melayang. Rasa bersalah menyelubungi diri.

Menyesal pun ada. Seorang perempuan dalam lingkungan usia 30-an bangun sambil mengibas-ngibas kain membuang rumput dan ranting kayu yang melekat.

 

“Kak… teruk ke kak? Saya tak nampak tadi. Maaf kak.. maaf,” Kelam-kabut saya dibuatnya. Yalah aku langgar orang. Kalau langgar kucing pun kita sudah rasa tidak keruan.

“Tak apa, sikit saja dik… tak apa.” Sambil tersenyum wanita itu mula melangkah.
“Err..kak, saya hantar kak ke klinik. Kat mana klinik yang dekat?”

Wanita itu terus melangkah. “ Tak apa, rumah akak seberang jalan sana saja. Akak tak apa-apa. Adik baliklah…”.

 

Setelah tiga hari peristiwa tersebut saya bercadang pergi ke tempat kejadian mencari rumah kakak tersebut untuk menziarahinya. Jauh tempat kejadian dengan rumah bujang saya, kira-kira satu jam perjalanan.

 

Sebaik sampai di jambatan kayu tersebut, saya terlihat seorang lelaki sedang menangguk anak udang. Saya berhentikan kereta.

Saya bertanyakan lelaki berkenaan perihal wanita yang saya terlanggar beberapa hari lalu, mungkin dia mengenalinya.

 

Menurut apa yang lelaki itu beritahu saya, rumah wanita yang di seberang jalan itu sebenarnya kawasan tanah perkuburan Islam kampung berkenaan. Tiada rumah di kawasan itu.

IKLAN

 

Berderau darah saya. Kejadian malam itu sepantas kilat terbayang di depan mata. Patutlah kakak itu bangun selamba tanpa sebarang kecederaan dan kenapa saya boleh tidak perasan, kainnya langsung tidak koyak sedikit pun! Malam itu saya macam terpukau.

 

Lelaki itu memberitahu saya, pada awal tahun 80-an wanita itu mati dibunuh oleh bekas kekasihnya.

Mayatnya dicampak ke bawah jambatan dan penduduk kampung sering bertembung ‘wanita’ berkenaan di sekitar jambatan ini. Seram sejuk tubuh saya mendengarnya. Tergesa-gesa saya meminta diri.

 

Pada mulanya saya bercadang untuk terus pulang. Teringat pula si Hairul yang rumahnya hanya sekitar 15 kilometer sahaja lagi ke hadapan. Saya terus memandu menuju ke rumah Hairul.

 

“Lama dah kau tak datang ke mari, apa khabar?,” Soalan cepu emas daripada emak Hairul sebaik saya melangkah masuk ke ruang tamu.

“Saya macam ni lah mak cik. Mak cik sihat?” Memang betul. Hampir 6 bulan saya tidak ke rumah Hairul

“Makcik sihat. Sihat orang tua”. Ujar mak Hairul sambil melangkah ke dapur.

 

IKLAN

Sedang rancak bercerita kisah-kisah memancing, saya teringat hendak memberitahu Hairul apa yang saya alami sewaktu pulang dari memancing rohu tempoh hari.

“Nasib baik ada lelaki di jambatan tadi yang memberitahu aku siapa sebenarnya ‘kakak’ tu”.

 

“Ada lelaki dekat jambatan?” Emak Hairul yang menghidang air kepada kami tiba-tiba menyampuk.

“Ya mak cik. Lelaki kurus, rambut kerinting. Tinggi tak tinggi sangat, lebih kurang tinggi saya. Kenapa mak cik?.

 

“Itu suami perempuan tu. Dia pun sama kena bunuh sekali dengan isteri dia. Dua-dua dicampak ke bawah jambatan kayu tu” jelas mak Hairul.

Herkkk! Astaghfirullah…!

 

“Hairul, aku beransur dululah. Nak rileks kepala aku ni. Malam tu jumpa kakak tu, pagi tadi jumpa suami dia pulak! Berat… berat!”.

Saya meminta izin pulang kerana kepala sudah mula serabut dengan dua kejadian yang menimpa saya tanpa diduga.

 

“Kau nak ikut jalan kampung ke jalan baru?”

“Kau hulur seratus pun aku tak akan lalu lama tu. Kalau kau ikut sama, boleh”.

 

Sepanjang perjalanan, kejadian pagi tadi dan malam jumaat tempoh hari bermain di fikiran. “Patutlah tiada kesan calar atau kemek pada bumper depan…” bisik hati saya.

 

Mistik: Bertemu Pasangan Yang Mati Dibunuh!!

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI