Mistik: Bela Puyu Untuk Halang Sihir & Gangguan Makhluk Halus?
Pernah tak dengar korang dengar orang tua-tua berpesan supaya membela ikan puyu di rumah? Memang elok untuk kita bela ikan puyu kat rumah, katanya ikan ini dapat menghalau hantu atau makhluk halus.
Selain itu ianya dapat menghalang perbuatan pukau dan sihir yang hendak ditujukan pada penghuni rumah tu.
Cuma… yang menjadi persoalan yang tak terungkai dan pastinya ramai nak tahu, apa signifikan antara hantu dan makhluk halus dengan ikan puyu?
Kenapa mereka takut sangat kat ikan ini? Apa power yang ada pada ikan puyu sehingga makhluk halus gerun padanya?
Tidak dinafikan kepercayaan misteri yang dikaitkan dengan ikan puyu dalam masyarat Melayu amat sinonim. Ikan puyu dan perkara mistik tidak dapat dipisahkan. Ia umpama cerita turun-temurun dalam masyarakat tempatan, malah tidak mengira bangsa.
Ads
Keupayaan ikan puyu sebagai pelindung rumah ialah versi paling kerap didengar. Ramai membela puyu bagi mengelakkan rumah mereka dimasuki pencuri yang menggunakan ilmu pukau.
Mereka yang terikut-ikut akan kepercayaan itu bersandar kepada teori bahawa pukau tidak akan berkesan jika terdapat benda hidup di dalam rumah yang masih berjaga.
Ads
Puyu dikatakan sejenis ikan yang tidak tidur malam. Sebab itulah, kehadirannya di dalam rumah dipercayai boleh membatalkan usaha penjahat yang ingin memukau penghuni sesebuah rumah. Namun kita harus ingat setiap ciptaan-Nya ada kelebihan dan ketentuan.
Lebih menguji akal logik, ikan yang mampu hidup melebihi 24 jam di atas daratan itu dikatakan sebagai alat mainan yang digemari toyol dan orang bunian!
Ads
Dalam penceritaan lain, ciri fizikal ikan yang mampu mencecah usia lima tahun itu juga dipercayai digeruni makhluk halus termasuk syaitan dan jin. Duri tajam yang terdapat pada puyu dikatakan menyekat kebal makhluk tersebut untuk masuk ke dalam rumah manusia.
Dalam dunia perdukunan, puyu turut menjadi medium memindahkan objek santau yang dihantar kepada seseorang.
Santau yang diperoleh mangsa dipindahkan ke dalam badan puyu. Begitupun, ada juga yang menjadikannya sebagai objek untuk menyantau orang lain.
Apa-apa pun ia tertakluk kepada Kepercayaan masing-masing. Pendapat korang macam mana? Jom kongsikan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kisah ni terjadi sekitar tahun 2016, aku dan kekawan dengar ada dengar citer banyak lombong tinggal kat area Tanjung Tualang. Kebiasaaannya, kalau tempat tu bekas kolam ikan, mesti banyak ikan yang tak habis angkut masa last punya harvest.
Suatu petang aku dan kekawan bergerak ke lokasi sasaran. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 40 minit. Sampai tempat tu lebih kurang jam 6.10, aku pun terus parking dan pusing siap-siap kereta pasal senang nak turun balik karang. Sampai jer terus semua ambil port memancing. Lebih kurang 15 minit menunggu, joran kawan aku kene sambar, naik seekor rohu lebih kurang 4 kilo. Wow! sangat lumayan!
Hari beransur gelap… dua orang kawan aku tengah pasang unggun api. Aku plak duduk kat pancing sambil bersembang dengan kawan aku yg duduk kat sebelah, aku terdengar satu bunyi yang mencurigakan.
“Uuuiii… uuuiii…uuuuiiii……”
Kawan aku kat sebelah tak perasan bunyi tu kot, asyik membebel pasal ikan yang tak makan umpan. Aku cuba mengamati bunyi tu betul-betul, dan bunyi tu masih lagi berlanjutan. Hati aku dah start rasa tak sedap dah nih, tapi cuba berlagak cool dan rilek dulu.
Aku dah tak pandang pancing dah time tu, dalam dok dengar bunyi tu tetiba dah ada tambahan bunyi, aku dengar bunyi budak menangis. Aduh… ini dah lebih… dalam hati dah start baca ayat Kursi dan 3 Qul. Bunyi tu masih lagi berlanjutan.
Tiba-tiba kawan aku yang lagi seorang datang ke tempat aku dan duduk sebelah aku. Dia kata dia terperasan ada orang lain memancing seberang kolam, tapi bila tengok balik dah takde. Masa kawan aku cerita pasal apa yg dia nampak, bunyi uuuiii.. uuuiii… uuuiiiiiii berselang seli dengan tangis budak makin kuat… kompom Cik Ponti punya…!
Tak boleh jadi ni, aku terus bangun dan ajak kengkawan aku balik… 2 orang kawan aku yang tengah pasang unggun api tak nak balik pasal dorang kata baru sampai. Gila ke apa?! Hampeh betul… aku cakap kat dorang, jom la balik, nanti lagi susah. Barulah semua start packing barang nak balik.
Bila dah siap packing nak bergerak ke kereta, aduh… baru perasan bunyi tu datang dari pokok yang paling dekat dengan kereta aku. Kiranya, kalau nak pegi ke kereta, kena lalu bawah pokok tu dulu. Adeh… siot betul.
Tapi apa nak buat, kenalah lalu jugak kan. Takkan nak tunggu situ lagi. Kita orang pun berjalan pergi ke kereta berlampukan torchlight yang time tu jugak la nak meragam. Masa lalu bawah pokok tu, Tuhan je la yang tau… bulu roma ni dah meremang sakan dah oi!
Masa nak sampai ke kereta, tetiba dah dengar bunyi orang ketawa mengilai…. apa lagi? Kita orang semua lompat masuk dalam kereta la. Aku try start kereta, Alhamdulillah… boleh start. Terus masuk gear satu dan jalan… tak tengok belakang dah… takut siot!
Tapi…. ingatkan gangguan dah habis, masa turun dari kawasan tu ada dua kejadian aneh. Pertama, masa turun dari bukit tu memang dah gelap. Semuanya hanya berpandukan lampu kereta. Tapi ada sebiji motor yang entah datang dari mana potong kereta aku. Yang paling best motor tu tak pasang pun lampu.
Kedua, masa turun kami bertembung dengan dengan teksi. Teksi tu menuju ke puncak bukit. Kawan aku terus tanya aku pasal teksi tu. Syyyyhhhh! Jangan tegur… biarkan je dia. Adui… masa berselisih dengan teksi tu, aku menjeling tengok apa yang ada dalam teksi tu, hijau beb Hijau…! Orang yang bawak teksi tu warna hijau!
Alhamdulillah, akhirnya kami sampai jugak ke jalan besar, terus menuju ke rumah kawan aku. Kawan aku duduk berjiran dengan Cina. Rumah Cina ni ada anjing.. masa aku parking kereta, anjing tu tak duduk diam, asyik menyalak je. Menyalak ke arah kereta. Adoyai… mengikut balik la pulak. Kami semua masuk dalam rumah. Semua mandi dan solat. Mengaji lebih kurang barulah anjing kat luar diam… Alhamdulillah.
Perancangan untuk memancing di Sungai Bernam telah lama kami bincang. Cuma halangan masa membatasi kami. Maklumlah kami berempat berbeza kerjaya. Namun, cuti panjang sempena beberapa cuti umum baru-baru ini menemukan kami semula.
Hasilnya, kami membuat keputusan untuk pergi memancing pada hari pertama bercuti. Semua alatan joran memang sudah tersedia di dalam bonet kereta masing-masing. Kalau sudah digelar kaki pancing, memang itu adalah benda wajib yang perlu dibawa ke mana sahaja walaupun dalam mood bercuti.
Seawal jam tujuh pagi, kami berempat berkumpul di gerai Cek Ta di simpang jalan. Di sini aku sempat bertanyakan kepada beberapa orang pak cik yang duduk makan di situ tentang Sungai Bernam.
Masing-masing mengakui memang banyak spesies ikan yang ada di situ termasuklah baung, sebarau, tengas, lampam dan juga kelah. Cuma, kata seorang pak cik yang dikenali dengan nama Pakcik Dolah, kami dinasihatkan supaya berhati-hati. Kawasan hulu dikatakan agak keras dan misteri.
Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda. Jalan tanah merah dan berbukit menjadi cabaran pertama kami. Nasib baik tidak becak. Setengah jam melalui jalan merah yang berbonggol itu akhirnya kami tiba di hujung jalan mati. Hanya kenderaan seperti motosikal yang boleh melalui denai kecil yang ada di situ.
Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya hanya 200 meter dari situ. Memercik peluh jantan saya mengusung alatan memancing dan sebuah khemah bentuk A. Sebenarnya hajat kami untuk bermalam sekiranya hasil tangkapan memberangsangkan.
Haikal memilih sebuah kawasan lapang yang mempunyai batu besar di depannya. Sungai di kawasan hulu ini agak berbatu dengan airnya mengalir deras. Kesunyian hutan kadang-kadang dipecahkan dengan bunyi jeritan sang ungka berbulu merah yang galak bergayut dari dahan ke dahan.
Keletihan berjalan tidak melunturkan semangat kami untuk mencuba aksi penghuni di Sungai Bernam ini. Kami mencuba teknik mengilat di kawasan berbatu ini. Hasilnya memang tidak mengecewakan apabila masing-masing menaikkan sebarau yang seberat 800 gram-1 kilogram setiap seekor. Boleh tahan!
Menjelang petang, kami berempat mengambil keputusan untuk bermalam. Saya menanak nasi manakala Budin pula membersihkan enam ekor ikan sebarau yang akan dipanggang dan di cicah sambal kicap yang telah disediakan oleh isteri Haikal.
Selesai menanak nasi, barulah aku mengambil wuduk di tepi anak sungai. Ketika itu kawasan sekitar sudah menjadi gelap dan agak suram. Nasib baiklah aku sudah mengumpulkan ranting dan dahan kayu yang akan dibakar untuk menjadi unggun malam ini. Nak diharapkan pada pelita ayam yang dibawa, berapa sangat nak diterangkan kawasan yang ada.
Selesai solat Maghrib, aku menyediakan juadah. Tiga orang sahabatku sudah tidak nampak kelibat lagi. Mungkin mereka sedang berehat di dalam khemah. Aku tidak kisah sangat kerana aku tahu masing-masing keletihan dengan aktiviti yang padat hari ini.
Ketika sedang menyuap nasi yang terakhir, aku mula terbau wangi seolah-olah harum kemboja. Ada kalanya bau itu bertukar menjadi bau minyak atar dan bau kenanga putih. Aku tidak mempedulikan semua itu.
Ikan sebarau panggang berbaki seekor yang berminyak itu aku ambil untuk meratahnya lalu aku cubit isi dagingnya dan ku cicah dengan sambal kicap. Fuhh, memang nikmat, tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.
Ketika sedang melayan keenakan isi ikan sebarau itu, ekor mataku dapat menangkap satu lintasan orang yang berjalan bertongkat. Berderau darahku apabila mengangkat kepala, seorang nenek tua, memakai baju kebaya yang agak usang dengan berkain batik sedang memandang ke arah aku sambil tersenyum.
Dia menggenggam sebatang tongkat yang diperbuat daripada kayu cengal rasanya. Tongkat itu sedikit bengkok namun berbonjol bulat di atasnya.
“Jemput makan nek,” spontan aku bersuara walaupun sedikit gugup. Entah kenapa aku tidak rasa takut sedikit pun. Di dalam hati, aku mengulang-ulang membaca ayat Qursi tanpa henti.
“Makanlah cu. Terima kasih kerana tidak membuat onar di sini,” jawabnya perlahan dan agak tersekat-sekat. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Minta maaf kalau saya mengganggu kawasan nenek. Saya cuma mencari sedikit rezeki di sini,” kataku lembut. Aku perasan mata nenek bertongkat cengal ini agak merah dan ke dalam. Tudung putih yang dipakai pula bergoyang ditiup angin.
“Tak apa. Nenek izinkan. Kita semua makhluk Allah. Esok selepas cucu dapat apa yang cucu mahu, pulanglah dengan selamat”.
“Errrrr nek….” Aku segera memintas katanya. “Saya teringin nak makan ikan kelah. Di sini takde ikan kelah ke?” berani betul aku meminta.
Nenek tua itu tidak menjawab. Dia hanya senyum dan berjalan perlahan. Lima saat kemudian, dia hilang dari pandangan. Hanya kabus nipis yang tinggal di tempat akhir dia berdiri.
Aku tidak lalu makan. Perasaan mula berbaur. Rasa takut, seram, hairan mula menghantui di benakku. Hairannya tiga lagi orang kawanku seolah-olah tidur mati. Kenapalah aku yang dipilih untuk merasai kejadian aneh ini???
Aku tidur dalam keadaan gelisah. Bayangan nenek tua bertongkat yang aneh dan bau-bau harum membuatkan tidurku tidak tenang sepanjang malam. Namun syukurlah tiada lagi kejadian aneh yang berlaku selepas itu.
Usai solat Subuh, aktiviti memancing kami sambung semula. Sesuatu yang menghairankan, pagi itu gewangku dimakan oleh ikan kelah yang bersaiz besar. Peristiwa ini tidak berlaku pada tiga sahabatku yang lain. Aku memanjat kesyukuran di atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.
Kami berempat balik dengan tangkapan yang agak luar biasa hingga kami dapat menjual sebahagian hasil tangkapan dan mendapat untung yang lumayan. Sesungguhnya aku mengerti, di bumi ini kita memang berkongsi tempat dengan makhluk Allah yang lain. Dan aku, antara mereka yang sudah merasai pengalaman ini.
“Sunyi pulak malam ini Bob,” kata Rostam kepada saya. Saya hanya mengangguk namun pandangan saya lemparkan pada barisan pokok nipah yang hidup subur di tebing sungai. Kata orang-orang tua, di mana berkumpulnya udang galah yang banyak, di situ pasti ada buaya besar kerana udang galah suka ‘melepak’ di atas badan buaya.
Sama ada kata-kata ini ada benarnya, saya tidak pasti. Namun saya berpegang teguh kepada prinsip, saya memancing udang galah ini hanya sekadar untuk mencari lauk bagi keluarga. Saya tidak mengganggu ‘kehidupan’ makhluk lain yang tidak kelihatan pada mata kasar!
Setelah mendapat spot yang sesuai untuk melabuhkan sampan, saya dan abang Rostam terus membaling umpan ke tengah sungai. Sambil menunggu umpan direnggut oleh sang mangsa, saya menghisap sebatang rokok yang asapnya saya niatkan untuk menghalau nyamuk yang galak berkeliaran malam itu.
Alhamdulillah, tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya mula mengena. Udang galah yang dianggap jenggo dengan anggaran berat 250 gram berjaya dinaikkan.
Selepas itu, saya dan Abang Rostam bagaikan tidak cukup tangan melayan aksi penghuni sungai yang lain seperti duri, bagok dan baung. Malam itu kami bagaikan berpesta di tengah sungai.
Menjelang jam dua pagi, suasana mulai sejuk. Gerimis turun dan bulan yang tadinya indah di dada langit sudah mula ditutupi awan hitam yang tebal. Sesekali terlihat guruh di langit.
Abang Rostam memberi isyarat supaya saya mengemas semua joran dan bersedia mendayung untuk balik ke jeti semula apatah lagi gerimis yang tadinya halus sudah bertukar kepada rintik kasar.
Ketika inilah, dengan dibantu oleh pancaran kilat yang sesekali datang menerpa, saya perasan di hadapan perahu saya berdiri seorang perempuan tua memakai baju kebaya berbunga-bunga dan berkain batik berwarna kuning.
Rambutnya tidak kelihatan kerana dia memakai selendang. Dia memegang sebatang tongkat yang berlingkar, sebiji seperti akar bonsai yang sering saya kutip di tengah hutan. Rasa gemuruh dan takut menyelubungi diri saya apabila saya perasan mukanya hitam legam tanpa kelihatan mata, hidung atau mulut!
Rasa tergamam dan seram itu membuatkan saya menundukkan pandangan. Niat untuk membaca ayat-ayat suci itu ada tapi bibir saya bagaikan terkunci untuk membacanya. Otak pula bagaikan blur. Saya duduk statik di dalam sampan betul-betul seperti orang yang sudah terkena renjatan elektrik!.
Ketika inilah saya terdengar Abang Rostam mengalunkan azan sebanyak tiga kali. Setiap kali azan dilaungkan, saya ternampak perempuan tua itu menutup telinganya bagaikan sakit mendengarnya. Akhirnya jasad perempuan itu berubah menjadi asap hitam yang berkepul-kepul lalu menghilang di tengah sungai.
“Bob!!!” bahu saya ditepuk beberapa kali oleh Abang Rostam. Mulut abang Rostam terkumat-kamit membaca ayat Qursi lalu dihembuskan ke muka saya.
“Itu syaitan Bob. Jangan takut. Dia makhluk Allah jua” kata Abang Rostam lagi. Saya mengangguk lemah. Tubuh saya masih lagi gementar dan tiada berdaya untuk mendayung.
Nasib baik Abang Rostam seakan mengerti dengan keadaan saya. Dia mendayung sehingga kami selamat sampai di jeti tepat jam 3.10 pagi. Abang Rostam juga yang memunggah semua hasil yang kami dapat masuk ke bonet kereta .
Sampai sahaja di hadapan rumah saya, Abang Rostam tidak membenarkan saya masuk terus ke dalam rumah. Dia menghulurkan sebatang rokok kepada saya. Sambil menghisap rokok, saya terdengar Abang Rostam seperti berbual-bual dengan ‘seseorang’ dengan suara perlahan.
Katanya, “sampai sini sahaja kau ikut aku. Jangan ikut aku lagi. Aku tak kacau kau dan jangan pulak kau kacau aku,”. Selepas itu, baru abang Rostam ‘membenarkan’ saya masuk ke rumah. Saya juga diberi pesanan agar mandi dan terus tidur selepas itu.
Walaupun peristiwa ini sudah tiga bulan berlalu namun ia masih menghantui saya. Sejak kejadian itu, saya tidak berani lagi memancing sang jenggo pada waktu malam.
Saya hanya memancing pada waktu siang itu pun dengan mengajak beberapa orang kawan untuk turut serta. Pengalaman yang saya alami itu saya anggap sebagai satu dugaan kecil dan ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus memburu sang jenggo!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...