Walaupun tidak menjanjikan hasil yang mantap seperti memancing di perairan-perairan laut dalam, memancing di perairan sekitar Pulau Ketam dan kawasan Pelabuhan Klang, sebenarnya masih boleh memberi laba yang tidak kurang lumayannya.
Segalanya bergantung kepada faktor air, cuaca, umpan dan tekong yang bijak dan tahu di manakah lubuk yang terbaik melabuhkan umpan.
Apa yang penting, pancingan sekitar ini boleh dianggap sebagai port memancing santai bagi warga Lembah Klang yang sentiasa kesibukan masa pergi memancing ke laut. Tambahan pula lokasinya dekat (boleh pulang hari) dan kosnya juga berpatutan.
Bagi mereka yang ingin menduga port pancingan di sini, terdapat beberapa lubuk yang boleh dikunjungi.
Biasanya sekitar Pulau Ketam (sama ada sekitar sangkar ikan, bangkai kapal tenggelam), lubuk sekitar Stesen Janakuasa Hidro Kapar, Pulau Jemur, Angsa dan sebagainya
termasuklah lubuk yang agak jauh iaitu Pintu Gedung dan juga pancingan dari atas Rumah Api One Phantom Bank (Permatang Sedepa).
Bahkan terdapat banyak kordinat-kordinat rahsia yang disimpan oleh kaki-kaki pancing yang menjanjikan laba lumayan jika kena waktu, umpan sesuai. Pandai-pandailah ‘membodek’ mereka dengan turut serta memancing bersama.
Tekong IKS
Johari Khamis atau lebih dikenali Tekong Ikan Kembong Sambal (IKS), menghantar Whatsapp mengajak saya ‘menotok’ jenahak di Pintu Gedung (laluan kapal) kerana
kunjungannya bersama kaki pancing yang menempah botnya membuahkan hasil yang baik. Lantas, saya mengajak beberapa orang rakan, Pozi, Zul, Azmi, Fauzi dan Azri.
Walaupun persiapan dilakukan, tetapi kuasa alam sukar diramal. Sehari sebelum ke Pintu Gedung, berlaku ribut di Selat Melaka. Atas faktor keselamatan, trip menotok terpaksa ditunda dan ditukar lokasinya sekitar Pulau Ketam.
Kami turun pada awal waktu subuh dari Jeti Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, tempat IKS melabuhkan botnya.
Disebabkan, lokasinya bukan di Pintu Gedung yang memerlukan set pancingan kasar, peralatan yang digunakan hanyalah set sederhana sahaja.
Malah, satu set kecil dibawa, kerana di dalam fikiran, sambil menunggu ikan besar, bolehlah melayan ikan apa yang patut.
Beberapa lokasi telah kami singgah untuk melabuhkan umpan. Sementara menunggu hari cerah, kami menduga dahulu di muara sungai, iaitu berdekatan dengan tiang-tiang konkrit dermaga kapal.
Tanpa disangka, siakap bersaiz sekitar 2 kg berjaya dinaikkan Rozi dengan menggunakan umpan hidup. Beberapa lokasi diubah lagi dan hasilnya naik kerapu, gerut-gerut dan juga tanda. Boleh tahan juga port kat sini.
Berkunjung ke Tukun Che Minah.
Bila hari siang, bot kemudiannya di hala ke Tukun Che Minah. Tukun Che Minah ialah sebuah tukun kuboid (terdapat 3 kuboid di sini yang dibina sekitar awal tahun 2002 hingga
penghujung tahun 2008) yang dibina oleh Jabatan Perikanan yang terletak tidak jauh dari sangkar ikan Pulau Ketam.
Ia berfungsi sebagai sarang atau rumah ikan sekali gus berfungsi sebagai menambah baik tangkapan pada pemancing dan nelayan di sini.
Tiba di lokasi, seperti biasa ikan gelama mendominasi tangkapan jika menggunakan umpan udang pasar. Asyik-asyik dia je yang naik, sehinggakan tong ikan hampir penuh.
Seloroh IKS, “Kejap lagi adalah ikan besar naik, kerap-keraplah tengok umpan udang hidup tu, ada lagi ke tak,” katanya.
Rozi yang rajin melihat dan menukar umpan, akhirnya dihadiahkan satu tarikan kuat. Walaupun tidak lama bergasak, tetapi seronok jugalah melihatnya mengarau tali, kerana
set yang digunakan bersaiz 3000 dan joran 10-20lb. Akhirnya naik juga merah dalam skala 2 kilo lebih. Tersenyum lebar beliau.
Lewat tengah hari, arus agak laju, sekali gus membuatkan kami menuju ke Pulau Ketam untuk berehat. Tambahan pula, ada permintaan dari rakan yang tidak pernah menjejakkan
kaki ke pulau yang majoriti penduduknya kaum Cina yang mengusahakan bisnes sangkar ikan dan juga nelayan di sana.
Sekitar jam 3 petang, kami bergerak menuju ke anak-anak sungai di pulau berkenaan untuk menjala anak belanak dan juga udang hidup.
Selepas berpuas hati dengan umpan tambahan, kami bergerak menuju ke sangkar ikan, untuk menduga penghuni di bawah dan di tepi sangkar.
Tetapi, disebabkan akibat cuaca tidak elok di kawasan laluan kapal, olengan bot tidak begitu stabil dan lubuk sekitar kawasan bot karam cuba diduga.
Naik beberapa ekor ikan semilang dan tanda, ketuka. Tetapi, sambutan dari penghuni di bawah sana kurang rancak. Agak lama, baru menaikkan seekor demi seekor.
Lewat petang, sebelum pulang untuk menamatkan trip ini, kami singgah di Tukun Che Minah. Sambutannya juga agak kurang.
Ia disebabkan arus semakin laju sehingga batu nombor 10 terpaksa digunakan. Lewat petang trip ditamatkan sambil beberapa lagi tanda, semilang, anak kerapu dinaikkan semasa bekalan udang hidup semakin bersisa di kawasan tepi dermaga.
Walaupun, tidak berjaya menaikkan ikan target, iatu pari, trip ini bolehlah dianggap berhasil juga. Tambahan pula, cuaca menjadi penghalang di kala persiapan telah dilakukan.
Trip ini kami sifatkan, trip santai dan impian untuk menotok sang jenahak di Pintu Gedung akan dirancang tidak lama lagi.
Apa yang penting, bot gentian kaca IKS nyata selesa. Apa yang bestnya ia lengkap dengan rod holder, kotak umpan hidup, kotak letak barang, kemudahan alat GPS, penarik sauh elektronik, berbumbung, siap ada dapur gas untuk memasak ringkas dan yang paling pentingnya ia dilengkapi enjin berkuasa 200hp.
Waktu terbaik
Waktu memancing terbaik Tukun Che Minah & sekitar Pulau Ketam: Waktu ‘bunga pasang- bunga surut’ (air mula nak pasang dan turun- arus perlahan). Kerana waktu ini, arus tidak laju dan boleh gunakan batu bersaiz 6, 7, 8.
Para peniaga di Pantai Kelanang diingatkan agar tidak mengambil kesempatan di atas kehadiran kaki pancing ketika Santai Pancing Pantai Kelanang, 25 Disember ini.
Pertandingan memancing julung kali dianjurkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di Pantai Kelanang itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM20,000.00. Juara membawa pulang RM7,000.00, naib juara RM3,000.00 dan ketiga RM1,000.00. Hadiah wang tunai ditawarkan hingga tempat ke-50
Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata adalah sangat penting peniaga untuk menyediakan bahan masakan secukupnya untuk keperluan peserta.
“Selain makanan yang sempurna, saya juga berharap peniaga tidak menaikkan harga makanan dan minuman semasa program berlangsung.
“Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 700 peserta akan mengambil bahagian berdasarkan kepada yuran penyertaan RM30.00 untuk satu joran. Dengan andaian peserta hadir bersama anak dan isteri serta rakan-rakan serta pengunjung harian, saya menjangkakan lebih lebih 2,000 orang akan berada di lokasi,’’ katanya.
Sebagai menghargai peniaga di Pantai Kelanang, mesyuarat yang diadakan di premis MDKL pada minggu lalu, merumuskan bahawa tiada peniaga luar dibenarkan berniaga pada hari pertandingan.
Menurut Mohamad Zain, selain hadiah wang tunai, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah mesin memancing Shimano, hamper serta TV LED 32 inci.
Katanya, jika tangkapan kurang memberangsangkan, semua hadiah wang tunai akan dijadikan cabutan bertuah.
Sebenarnya penulis dah merajuk untuk bertandang ke mari hampir 10 tahun sejak ketiadaan beberapa orang tekong yang rajin dan memiliki etika yang disenangi pemancing.
Memang malas walaupun diajak berkali-kali kerana sudah serik dengan pengalaman lampau yang mendukacitakan .
Bukan hasil yang dibangkitkan tetapi kes-kes yang lumrah apabila tekong menganggap kita adalah pelancong, mancing santai bermalaman di satu lokasi.
Mersing beruntung kerana mendapat limpahan para pelancong yang datang dari serata pelosok tanah air dan dunia kerana daya tarikan pulau-pulau di sana dan paling mendapat tempat ialah Tioman.
Jadi ada juga pengunjung yang menyewa bot pancing hanya untuk berseronok dan merasai pengalaman memancing di laut.
Dipelawa
Apabila saya juga dilayan sedemikian seperti mana pelancong memancing maka hati tersentak kerana mereka ini gagal untuk membezakan kumpulan pemancing yang ‘hardcore’ dengan kumpulan pemancing ‘happy hour’.
Kalau setakat sekali kena tak mengapa, ini banyak kes lantas saya terus menyepi bertandang ke sini sehinggalah ajakan dan pelawaan dari satu geng pemancing baru.
Oleh kerana saya tidak pernah memancing bersama mereka sebelum ini dan pelawaan ini diterima atas dasar semangat setia kawan.
Terima pelawaan dengan senang hati walaupun ada sedikit masalah kesihatan ketika itu.
Mereka memohon supaya ikut serta dan memberi sedikit tunjuk ajar petua memancing di laut.
Malah cerita yang dibawa dalam trip mereka ke Pulau Pemanggil sebelum ini menampakkan perubahan.
Dan tarikan utama ialah cerita mengenai kisah mereka memancing tenggiri begitu menjadi-jadi.
Peluang terbaik untuk menguji beberapa ketul gewang ‘pintail’ yang dibeli tapi takde peluang menggunakannya.
Dan lebih penting bot yang digunakan mempunyai talian persaudaraan dengan salah seorang ahli kumpulan yang ikut serta. Pendek cerita, siapkan joran dan kelengkapan memancing untuk di sana.
Bandar Mersing tidak banyak berubah dari pengamatan saya, begitu juga dengan jambatan yang merentasi sungai Mersing seperti sebelumnya. Rendah dan tidak dapat dilalui ketika air pasang.
Sebab itu hampir semua bot pancing yang dasar di Mersing rendah, lampu dan antena boleh diturunkan ketika melalui bawah jambatan.
Mersing oh Mersing
Kawasan kuala sungai masih tidak banyak berubah dan masalah pasang surut air selama ini terus membelenggu pengunjung yang mundar mandir dari Mersing ke pulau-pulau peranginan berdekatan.
Bila air setengah pasang barulah bot kami menyusuri bawah jambatan rendah bergerak dengan perlahan keluar dari kawasan muara yang sempit.
Bot yang bergegar deruman enjin tiada masalah pemancing yang dah biasa untuk melelapkan mata terlena.
Yang pasti bila enjin senyap apabila tiba ke destinasi yang ditujui. Rutin biasa memancing di laut, tempat pertama ditujui ialah kawasan mendapatkan bekalan umpan segar.
Umpan belum mencukupi terpandang pula ikan belitong pula datang meronda di unjam yang sama. Saya pasangkan umpan selayang hidup pada set pancing baru milik Zemie. Ujian pertama untuk joran dan kekili yang pertama kali turun ke air.
Trip ini saya lebih banyak beradu dalam kabin kerana masalah kesihatan semakin meruncing.
Bau yang hadir dari tandas berdekatan kurang menyenangkan. Banyak bertindak sebagai pemerhati dan memberi sedikit tunjuk ajar kepada pemancing yang sedang tekun memancing.
Lokasi kedua menurut tekong ialah lubang dan kesan tinggalan kapal atau bot karam. Tumpuan beralih kepada memancing dasar pula berumpankan sotong jarum hidup.
Kebetulan malam itu sotong jarum begitu ramah dan tidak takut mendekati tepian bot. Mudah kerja kami menangguk sotong.
Umpan segar dan pilihan terbaik untuk mengendap ikan dasar. Jenahak pertama hadir hampir sepertiga malam apabila suasana semakin sunyi.
Diikuti jenahak kedua ditewaskan oleh Tuan Yaakob yang juga menggunakan umpan sotong hidup.
Agak lama juga menanti munculnya jenahak ketiga sebelum dua ekor pari turut berminat dengan sotong.
Hadirnya pari menandakan bot mungkin sudah tersasar dari kawasan tompokan bot karam dan lebih memburukkan keadaan kes putus dan rabut terjadi lebih dari 4 kali pada malam itu.
Tekong memberitahu perlu menunggu air bertukar arus sebelum berpindah ke tempat lain atau labuh semula.
Tapi yang pasti sehingga siang kami berlabuh di satu tempat sahaja. Lebih malang apabila terdengar ucapan dari rakan lain
“Ops… patah!”.
Dari kabin bot saya hanya perhatikan sahaja joran kesayangan sudah patah dua kerana tersangkut meleret hingga di bawah bot.
Memburukkan keadaan tali tidak mahu keluar ketika joran mula mencecah air sehinggalah bunyi ‘prakkk’. Hilang semangat untuk memancing seketika.
Macam biasa waktu tengah hari naik ke pulau untuk menyejukkan badan.
Lupa sebentar kes joran yang dah pakai bertahun lebur dalam beberapa saat.
Segarkan sedikit badan yang dah semalaman tidak kena air tawar sambil menikmati air kelapa di warung Pok Ya, bekas salah seorang tekong kegemaran saya suatu ketika dahulu.
Hari ketiga
Sambil berborak ringkas, kami bergegas kembali ke jeti untuk menyambung sesi memancing pada lewat petang.
Misi mencari tenggiri pula sementara hari masih siang. Nampaknya badai semalam yang tak tiba kini menjelma.
Tidak banyak aktiviti memancing pada malam hari kerana angin menderu. Mungkin ada kesanggupan memancing jika ikan galak. Lena lagi tidur di malam keduanya.
Esoknya, hari terakhir ada sedikit keceriaan apabila dalam leka memancing Zemie terpandang beberapa ekor tenggiri bermain di permukaan air.
Kali pertama belajar jig dengan membeli beberapa ketul jig seperti yang disyorkan sebelum trip dapat dipraktikkan.
Tiga kali dia melontar jig baru mendapat strike. Kepuasan dan kegembiraan tidak dapat digambarkan apabila pertama kali menaikkan tenggiri menggunakan jig.
Semangat semakin membara setelah seekor tenggiri tumpas. Tumpasnya tenggiri kini giliran pemancing pula tumpas apabila hampir kesemua jig yang dihulurkan diligan oleh tenggiri.
Giliran gewang pintail 45g pula mengambil tempat setelah jig pilihan tenggiri habis dipotong.
Tenggiri kedua menyusul sebelum suasana ceria tidak berpanjangan. Waktu sudah menghampiri penghujung untuk beredar menuju ke Mersing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...