Jika di negara luar (Amerika Syarikat contohnya), kaedah memancing secara ekstrem sudah semakin popular dikomersialkan.
Pancingan di atas kayak sambil dikelilingi jerung, pancingan di tebing berbatu yang curam, menangkap ikan menggunakan tangan dan bermacam-macam lagi seolah-olah sudah menjadi norma bagi sesetengah pemancing di sana.
Namun bagi pemancing Malaysia bagaimana pula?
Adakah anda sudah bersedia untuk menyahut cabaran pancingan secara ekstrem yang masih kurang diterokai ini?
Ya, meskipun pancingan secara ekstrem ini masih belum popular di negara kita, namun sudah ada yang mula menyahut cabaran pancingan ekstrem ini.
Pancingan kayak misalnya, sudah mula diguna pakai di tasik-tasik utama Malaysia. Bahkan, ada juga yang sudah mula berani menyahut cabaran aktiviti memancing kayak di lautan.
Semua ini seakan-akan sudah melihatkan bahawa pemancing Malaysia sudah berani bergerak setapak ke hadapan lagi.
Persoalannya di sini, apakah kelebihan atau keseronokan pancingan ekstrem ini kepada kaki pancing?
Beranikah Anda?
Melihat gambaran pancingan ekstrem ini secara menyeluruh, penulis boleh menyimpulkan bahawa pancingan ekstrem yang ada di Malaysia tidak terhad kepada pancingan kayak sahaja.
Aktiviti trekking di dalam hutan untuk mencari lubuk-lubuk ikan di sungai pergunungan juga boleh dianggap sebagai salah satu pancingan ekstrem yang sudah mendapat tempat di Malaysia.
Mana taknya, memancing di sungai pergunungan memerlukan stamina yang amat tinggi di kalangan pemancing.
Ini kerana, kita bukan sahaja perlu berjalan merentasi hutan berjam-jam lamanya, ada kalanya perlu merentasi sungai dan juga menolak bot yang kita naiki.
Semua itu memerlukan stamina dan motivasi yang tinggi. Ini belum lagi ditambah dengan cerita risiko bahaya dari haiwan liar dan sebagainya.
Semua itu menjadikan pancingan ekstrem ini semakin meluas skopnya di Malaysia.
Jadi, melihat kepada senario ini, penulis amat berminat untuk tahu tentang pendapat dan pengalaman pemancing tentang aktiviti pancingan ekstrem ini.
Bagi penulis sendiri, mungkin belum lagi tiba masanya untuk penulis mencuba pancingan ekstrem ini kerana faktor masih belum fit sepenuhnya.
Tapi bagi anda pula bagaimana? Beranikah anda? Tepuk dada, tanya selera. Jom layan apa kata pemancing tentang isu kali ini.
Apa kata netizen
PAKNDAK KT
“Pancingan ekstrem ini memang seronok tetapi mencabar. Pak Ndak sendiri pernah alami, ia memerlukan stamina yang kuat dan fikiran yang tenang. Selepas pulang baharu kita dapat rasa kenikmatan dan kepuasan.”
MUHAMMAD YEOP
“Selalu juga buat kayak fishing tapi biasanya trip solo saja, lagipun kayak jenis single SOT. Menyusur dalam 10km Sungai Bernam atau Sungai Slim.
Tingkatan kelas jeram pun sekadar gred I hingga II saja jadi jika menyusur sorang-sorang, pakai BA, minimakan set. Tak la cuak sangat.
Pernah juga naik berdua dengan adik. Dua kali terbalik. Habis hilang playar muncung tirus aku.”
HAFIDH YAZIT
“Pada pandangan aku, pancingan ekstrem terbahagi kepada dua. Pertama, lapangan pancing itu sendiri boleh jadi ekstrem.
Contohnya pancingan di jeram-jeram besar yang memerlukan stamina yang kuat ataupun di pelantar minyak yang jauh dari daratan.
Kedua,ikan sasaran itu juga boleh jadi ekstrem, contohnya mendaratkan spesies ikan eksotik seperti kelah merah, kelisa merah, spesies pendatang seperti arapaima, alligator gar dan lain-lain.
Boleh juga dipanggil “pancingan ekstrem” bila mendaratkan spesies mega seperti layaran dengan menggunakan set ultra ringan atau pun set udang galah.”
JEERA OLSKI
“Bagi saya sebagai seorang perempuan, untuk melakukan aktiviti ekstrem ni perlu ade orang yang berpengalaman untuk pantau sepanjang melakukan aktiviti ini.
Saya teringin berkayak sambil memancing sebab dulu saya pernah melakukan aktiviti berkayak ni. Bukan mudah nak pikul kayak untuk sampai ke dalam air.
Ia memerlukan tenaga yang banyak dan kuat sebab saya juga pernah merasa memikul kayak ni.”
MOHAMAD HAMIDI
“Salam, biasanya di kawasan yang memerlukan kudrat untuk meredah ni hasilnya memuaskan kerana pemancing lain jarang masuk ke spot yang ade disebabkan halangan-halangan seperti meredah semak samun dan air sehingga paras pinggang.
Kelengkapan juga perlu lengkap seperti memakai boot, membawa parang dan bilangan ahli jemaah juga penting.
Elakkan pergi berseorangan kerana kita tidak tahu masalah yang bakal kita hadapi mampu ditangani seorang atau tidak. Sekian pendapat bernilai 20 sen daripada saya.”