Meruan Lopak Kampung Orang Asli

Share

 

Beberapa tahun lalu, saya dijemput oleh bersama geng Lubuk Trekker ke Royal Belum. Tujuan utama ke sana memang untuk memancing sebarau. Sayangnya kunjungan kami ke sana walaupun memasuki musim hujan hujung tahun, keadaan air di Tasik Temenggor amat mendukacitakan. Air surut begitu mendadak sekali, sehingga ke paras 2-3meter turunnya dari kebiasaan.

 

 

Menurut boatman kami, pihak pengurusan Empangan Cenderoh telah membuka kunci pintu air bagi mengelakkan kawasan Royal Belum banjir. Akibatnya kami boathouse kami mengalami kesukaran untuk sampai ke Sungai Kejar dan perjalanan bot kerap terganggu kerana boathouse terpaksa mencari alur sungai, tetapi kata putus dibuat, bot terpaksa lepak jauh dari Sungai Kejar.

 

 

Kami menggunakan speedboat ke sana. Di sana kami hanya berpeluang casting sebarau di kawasan jeram. Jelas terpancar sedikit kekecewaan di kalangan ahli komplot. Kerana sebarau yang diperolehi hanyalah bersaiz juvenil. Apa boleh buat, kita hanya mampu merancang, tetapi segala-galanya Allah yang Maha Esa menjadi penentu.

 

Ada juga yang memasang umpan sawit. Tetapi melihatkan bot tentera yang lalu lalang dan jaring orang asli suku kaum Jahai yang berlapis-lapis terus melemahkan harapan kami untuk melihat umpan sawit peram yang dibawa dimakan kelah.

 

 

Malam tersebut, aktiviti memancing baung bermula. Dengan menaiki speed boat, kami bergerak mencari arah aliran sungai kecil masuk ke dalam tasik. Tetapi hujan yang lebat menyebabkan kami terpaksa pulang ke boathouse. Baik layan minum kopi O kaw dengan biskut lagi baik kata mereka.

 

Keesokkan harinya, plan ditukar menjadi trip memancing apa sahaja. Ada yang berpecah mencari toman, ada juga yang repeat mencari sebarau juvenil di kawasan jeram di pintu kuala Sungai Kejar.

 

 

Saya bersama Nizam dan salah seorang guide mengambil keputusan untuk cuba memancing di sebuah tasik yang surut airnya. Selepas meminta kebenaran, kami mula memancing di situ.

 

Memang best. Rupa-rupanya tasik yang akan kembali tenggelam jika air kembali penuh itu, adalah ‘rumah’ haruan. Kami tiga orang saling berpesta menaikkan seekor demi seekor haruan. Menariknya di sebabkan banyaknya haruan di situ, saya cuba melakukan eksperimen semua gewang dan janggut yang ada dalam kotak pancing saya.

 

 

Hasilnya, memang marbeles. Haruan di situ agaknya tak pernah kenal dan jumpa gewang dan janggut. Semuanya di bedal. Pendek kata baling sahaja gewang ke sini, mesti akan disambar haruan, baik kecil atau besar.

 

Kami hanya mengambil beberapa ekor sahaja dan melepaskan kembali mana-mana saiz yang kecil. Rasanya memang saya bergiat memancing haruan, inilah port haruan yang heaven bagi saya.

 

 

Published by
Amang