Perancangan mengadakan trip dalam tempoh kurang dari 3 bulan bukanlah tugas mudah untuk mencari satu pasukan untuk melengkapkan kuota bagi meringankan bebanan kos. Ini adalah sedikit coretan perjalanan trip terbaru selama 4 malam di Laut China Selatan ini.
Pertama kali melihat pelantar minyak dari dekat pada malam pertama mengujakan buat sesetengah individu. Bagi kaki pancing tiada apa yang dimimpikan selain sentuhan ikan ketika joran berada dalam genggaman. Tapi apakan daya… alun dan angin menggila.
Walaupun bot dapat berlabuh di tepian limpahan cahaya lampu pelantar dalam suasana terumbang ambing, ia bukanlah kedudukan yang sesuai. Walaupun belakang bot menghala ke pelantar tetapi arusnya ke arah tali sauh.
Dalam suasana sedemikian, digagahi juga menurunkan kepingan jig yang menjadi kegemaran cupak. Waktu ini, kena berhati-hati, tersilap langkah boleh terhumban ke laut ketika berjigging pada tahap cuaca kategori ribut. Manakala yang kaki layan dasar tetap bersemangat hulur umpan tanpa mengira alam sekeliling.
Hujan atau ribut soal kedua, hajat dan misi mesti dipenuhi. Beberapa kaki jig mula memperlahankan rentak, hilang satu persatu apabila aksi jig di belakang arus tidak mendapat sambutan.Banyak jig yang dibeli sebelumnya langsung tidak terusik. Dalam suasana terumbang ambing, sekor aruan tasik bersaiz gadang menambahkan lagi perit dan derita pemancing.
Khayalan untuk berpesta di malam hari dengan pelbagai aksi masih belum ditemukan malah bak seperti cuaca ia berterusan menjadi mimpi buruk untuk 3 malam yang berikutnya. Percaturan alam bukan hak milik pemancing, atas dasar tersebut ramai tetap menggagahi semangat untuk memancing.
Bermula dari sepanjang malam yang boleh dihitung dengan jari hasil yang berjaya di pancing, siangnya pula lebih banyak ‘membangau’ di celah riak ombak berirama sayu. Setiap kali berpindah banyak masa terbuang menanti sentapan seekor ikan. Dengan jumlah lebih dari 20 jenis umpan yang terhulur ke dasar, kadar ragutan pula adalah kurang dari 10%.
Dalam 5 kali pindah barulah ketemu dengan seekor dua kerapu dan merah yang menjadi sasaran pemancing di atas bot. Tidak seperti dahulu apabila satu lubuk yang diziarah boleh dapat berbakul hasil. Kali ini satu lubuk gerenti dapat lepak dan santai sepuasnya sehingga tekong membunyikan hon “karau” pindah kira-kira 30 minit hingga 2 jam ke lubuk baru.
Jemu menanti teknik apollo berumpan hirisan sotong pun jadi sebagai selingan adegan geli-geli. Tatkala ramai mengharapkan ikan yang bersaiz berkilo-kilo, tekong pula lebih menumpukan kumpulan ikan cermin dibawa pulang. Pun begitu jumlah ikan cermin yang biasanya mudah dipikat dengan apollo 3 mata terus merudum jika di banding dalam trip sebelumnya.
Di spot yang berlainan pula mengena pula dua ekor kerapu juga serentak untuk joran yang berlainan pemilik. Yang aneh, tiada lagi apa-apa strike selepasnya. Semua yang berada di atas bot termasuk tekong berusaha keras selaras dengan peranan tugas masing- masing.
Terkadang kala pemancing disergah tekong apabila tidak menurut kata dan usul yang disarankan olehnya. Banyak persoalan yang timbul di benak penulis, cuma malas nak diajukan pada tekong kerana bimbang masalah lain akan timbul.
Mengalah kerana beliau saban minggu menakluki kawasan sekitar dan lebih banyak pengetahuan dari kami pemancing semua. Namun begitu tekong juga perlu mengambil kira kemahuan pemancing mahupun pelanggan untuk meredakan gian menggila sebelum trip.
Perundingan muafakat perlu diatur bagi mengelakkan kepincangan program serta dapat mesrakan lagi suasana. Akur ketentuan Illahi Sepanjang 120 jam masa yang dihabiskan di dalam bot, hanya 30 minit sahaja kami menemui sentuhan jackpot. Tak menang tangan dibuatnya.
Cecah umpan di dasar terus diragut merah saiz purata 2kg, dua ekor serentak satu perambut. Taruk makan taruk makan sehinggalah ia senyap dan hilang tidak lama selepasnya. Dalam waktu tersebut hasil yang diperoleh lebih dari 80% dari hasil keseluruhan sepanjang trip.