Kalau ikan laut seperti sembilang, jenahak, senangin, tenggiri akan jadi kari. Ikan sungai atau air tawar, haruan = stim limau, puyu = goreng @ kari, sepat = goreng kunyit, toman = fillet tempura. Ni semua ikan yang pernah dapat dan masak sendiri (time rajin laaa… hahahaha).
Qayyum Aizad:
Ikan ketutu / haruan bodoh / ikan ubi / marble goby… tu dia aihh, banyak nama dia. Kena kalau sangkut, confirmed kukus stim halia atau goreng tiga rasa. Aiihhhh… kecoq ayaq liuq!
Mohd Raini:
Tak kira ikan apa… goreng kunyit campur perisa meggi buat apo pun tepi sungai memang sedap.
Melix Smile:
Sebarau bakar… nasi putih… budu dah cukup untuk mengalas perut masa trekking.
Ads
Daniel Daniel Bin Zahari:
Ikan tenggiri. Masak asam pedas tak pun kari yang abah masak. Sabtu ni abah nak gi Pulau Payar. Nak carik tenggiri.
Rong Kaku:
Ikan tengas masak dalam buluh… perghhh!! Hirup kuah sudah memadai apatah lagi daging ikan tengas yang empuk… layannn!
Sabri Abdul Ghafar:
Ikan salai masak lomak cili api campur belimbing besi, dia punya sodap mak mertua jalan belakang pun tak nampak.
Ads
Mohd Azrai:
Mancing belut tengah panas kat sawah padi… bawak balik goreng kunyit garing2.. perghhh! Surrrr!
Mohd Afiz Mustapa:
Kalau dah tengah mancing atas bot ke dalam hutan ke, ikan goreng + nasi putih kicap pun sedapppppp ahahaha. Nak plak fresh2, hasil pancing sendiri, makan dgn geng trip.. Perghhhhhhhhh… Kecur liurrrrrrrrrrr!
Qayyum Aizad:
Ketutu masak kukus stim halia atau goreng tiga rasa. Kalau nak selesaikan kat port mengail, lampam dan teruboi goreng dengan serbuk kari maggi. Goreng garing standby nasi panas dengan budu. Perrghh!! Terlupa masalah dunia sekejap.
Ads
Sharizal Siban:
Lopeh salai masak lemak cili api… makan kat dalam hutan fuuhhh… bopoloh hidung dibuek eh.
Jamsuri Corp:
Kari jenahak rempah giling… kegemaran kawan-kawan termasuklah admin yang selalu bedal mata dulu.
Faizal Peje:
Selalunya ikan yang banyak tulang release balik sebab takut tak termakan, tapi ikan yang harga diyakini mahal di pasaran tu memang lepas dalam perut, bukan selalu dapat makan ikan mahal ni. Hehe… tambah-tambah patin sungai… fuh berminyak bibir!
Mohd Hisyam Rejab:
Ikan kerapu hantu… buat tomyam ja… isi lembut dengan manis ikan baru boleh buat nasi tambah habis… kulit dibuang dulu… banyak khasiat dia orang Cina bagitau.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sepanjang saya memancing, banyak juga kejadian misteri yang saya alami terutama apabila memancing di kawasan lombong tinggal. Ini yang ingin saya kongsi bersama anda semua. Pengalaman ini saya peroleh belasan tahun yang lepas sewaktu memancing di sebuah lombong tinggal di kawasan Sri Iskandar, Perak.
Malam itu, saya bersama sahabat baik Rahimi keluar memancing di lombong itu selepas waktu Maghrib. Kami sengaja memilih waktu itu kerana mahukan ketenangan memancing. Sebelum bergerak, cuaca agak gelap seakan-akan mahu hujan. Angin bertiup agak kencang dengan awan hitam menutup langit. Kalau tak kerana desakan Rahimi, saya memang tidak mahu pergi memancing pada malam itu.
Sebaik sahaja mata kail dilabuhkan di dasar lombong, hujan sudah turun rintik-rintik. Angin juga semakin kencang. Air lombong sedikit beralun-alun namun kegembiraan kerana umpan yang galak dimakan ikan membuatkan saya dan Rahimi masih lagi bertahan walaupun beberapa orang pemancing yang ada di situ sudah angkat kaki pulang ke rumah.
Saya masih teringat kata-kata seorang pemancing yang lalu berdekatan tempat saya dan Rahimi duduk. Katanya…
“Jangan memancing lama-lama dik. Tempat ni agak keras”. Namun kelekaan kerana mendapat ikan yang banyak membuatkan saya mengendahkan kata-katanya itu.
Dalam keadaan riang gembira itulah saya dan Rahimi tidak perasan air di tengah lombong kelihatan berpusar. Pada mulanya perlahan namun lama-kelamaan ia menjadi kuat dan air lombong menjadi ombak besar seperti ombak laut.
Saya dan Rahimi hampir terhumban ke dalam lombong sekiranya lambat sesaat memanjat tebing lombong yang sedikit curam itu. Dari atas tebing, kami dapat melihat dengan jelas satu lembaga besar muncul dari permukaan air dengan badannya yang hitam berkilat. Mukanya seperti begitu hodoh, bertanduk dan mempunyai satu biji mata yang sangat merah.
Setiap kali lembaga itu meranduk air lombong yang separas pinggangnya, setiap kali itulah air lombong akan membuak membentuk seperti ombak besar yang menghempas tebing lombong itu. Kami berdua seperti terpaku melihat kejadian itu. Hujan pula semakin lebat, menyukarkan pandangan kami ke arah lembaga itu.
Tiba-tiba saya lihat lembaga aneh bermuka ikan toman itu seperti menyedari kehadiran kami di atas tebing lombong itu. Wajahnya tiba-tiba membengis. Matanya menyinga memandang kami. Dan akibat ketakutan yang teramat sangat, saya terkencing di dalam seluar!!!
“Lari Ayen. Lari…!!!” ajak Rahimi.
Namun, kaki saya bagaikan terpaku ke tanah. Tiada apa yang dapat saya lakukan. Saya hanya berdiri tegak sambil mata tepat memandang ke arah lembaga bermuka ikan toman itu yang kini berjalan ke arah saya!
Saya tidak tahu apakah yang terjadi seterusnya. Pandangan saya beransur gelap apabila melihat tangan lembaga itu yang penuh lumut dan licin bagaikan toman seolah-olah mahu mencapai saya untuk masuk ke dasar lombong.
Saya hanya sedar apabila nama saya dipanggil. Celik mata, saya sudah berada di rumah dengan dikelilingi sanak saudara dan jiran tetangga.
Saya diberitahu bahawa saya mengalami histeria di tebing lombong itu dengan mulut berbuih, hanyir berbau ikan. Tangan saya pula mengapa-apai ke atas seolah-olah mahu menyelamatkan diri dari lemas di dalam air. Menurut pawang yang dipanggil untuk memulihkan saya, saya terkena lintasan hantu air.
Nasib saya baik kerana sebaik sahaja Rahimi melihat saya mula menjerit ketakutan, dia azan sebanyak tujuh kali di tepi lombong itu. Selepas itu, keadaan menjadi semakin reda dan air lombong tidak berpusar lagi.
Kejadian itu hanya menakutkan saya buat sementara waktu sahaja. Selepas tiga bulan, saya mula memancing kembali. Saya percaya di dalam dunia ini, kita berkongsi alam dengan semua makhluk ALLAH yang ada.
Walaupun berhasrat mengunjungi pada musim monsun nanti, ia terpaksa dilakukan lebih awal, kerana rata-rata daripada mereka bakal dibekukan cuti apabila tibanya musim hujan/banjir hujung tahun nanti. Meskipun begitu, mereka tetap teruja berkunjung ke sini.
Malah bila sahaja boathouse milik Tekong Karim (TKP 51) mula meninggalkan Jeti Jenagor, masing-masing segera menyiapkan kelengkapan set memancing masing-masing. Walaupun ada yang mengantuk dek kerana jauh memandu, ia langsung tidak dihiraukan sebaliknya leka menikmati panorama persekitaran tasik.
Lokasi boathouse untuk dipakir adalah di Berua, berhampiran Air Terjun Lata Berua. Deruan air terjun serta angin sejuk yang terhasil bagaikan aircond semula jadi yang tidak boleh dikontrol, nyaman selesa dan amat sejuk bila menjelang pada malam hari.
Menurut salah seorang peserta, Firdaus Mamat, lawatan ke Tasik Kenyir ini dirancang sejak pertengahan tahun ini, di mana selepas mereka berjaya mengumpulkan rakan-rakan yang kaki pancing dari PKD Jerantut ke sini.
“Selain tujuan memancing, kunjungan kami ke sini juga untuk melihat sendiri persekitaran Tasik Kenyir. Selain itu juga boleh juga menenangkan seketika fikiran dek kesibukan kerja,” katanya.
Mensasarkan teknik pancingan bottom dan casting, pelbagai jenis umpan telah dibawa seperti kelapa sawit, cacing dan juga akan keli. Manakala umpan anak ikan dicari oleh Tekong Karim.
Sepanjang 3 hari 2 malam berada di sini, pelbagai jenis ikan berjaya dinaikkan. Spesies baung paling mendominasi hasil tangkapan selain ikan lain seperti belida, toman, temperas, lampam dan tilan. Acara membottom lebih rancak pada sebelah malamnya berbanding siang.
Pada malam pertama dan kedua, strike yang diterima cukup kasar, lima kali set pancing diuji dengan ikan misteri yang melarikan umpan ikan hidup dan mati tanpa dapat dikontrol walaupun drag telah dikunci rapat. Ada yang terputus, sangkut dan juga klip/swivel standard terkopak (mata kail diikat terus pada swivel).
Agak terkedu juga geng PKD Jerantut apabila gagal menaikkan spesies yang dipercayai siakap mega ataupun toman besar yang berada di persekitaran Air Terjun Berua sebagai lubuk mencari anak-anak ikan.
Rata-rata peserta amat teruja dengan kunjungan kali pertama ke sini dan berhasrat untuk berkunjung lagi pada tahun hadapan untuk trip trekking pula. Berikut gambar-gambar menarik trip geng PKD Jerantut sepanjang 3H 2M berada di sini.
Setiap kali melalui tol Kota Kemuning di lebuh raya Kesas, saya pasti akan menghentikan motosikal di bahagian belakang pejabat pentadbiran tol itu. Ada sesuatu yang amat menarik perhatian saya iaitu dua tiga buah motosikal yang diletakkan di bawah sepohon pokok yang teduh. Bukannya motosikal itu yang menjadi tarikan tetapi aktiviti yang dilakukan di situ.
Satu hari, saya menghentikan motosikal. Tujuan saya adalah untuk melihat aktiviti yang berlaku di situ. Tepat tekaan saya, di tengah-tengah semak setinggi pinggang itu, terdapat sebatang anak sungai yang agak dalam tetapi jernih airnya. Terdapat empat orang lelaki berusia pertengahan 30-an sedang asyik memancing tanpa mempedulikan kehadiran saya.
“Banyak dapat ikan bang?” tegur saya ramah. Pemuda yang berbaju merah belang-belang putih itu mengangguk sambil tersenyum. Di hadapannya terpacak dua batang joran yang talinya terlunjur masuk ke dalam air sungai yang mengalir dengan tenang itu.
“Ikan apa bang?” sekali lagi mulut gatal saya bertanya.
‘’Kat sini banyak ikan haruan, puyu dan keli,” jawab pemuda itu sambil mengambil satu bekas putih yang berisi ikan yang ditangkapnya. Saya menjenguk. Terlihat dua ekor haruan sebesar tangan budak dan tiga ekor puyu yang memang enak dimasak lemak!
Malam itu juga saya menelefon Haziq dan Syed untuk keluar minum di kedai Warung Rindu. Selepas pekena dua bungkus nasi lemak panas dan segelas teh tarik, saya mula menceritakan pengalaman saya tadi. Apa lagi, mereka berdua sungguh teruja mendengarnya dan kami bertiga mula merancang untuk pergi menjaring di kawasan itu pada malam Sabtu, yakni pada hari Jumaat pada sebelah siangnya.
Saya, Haziq dan Syed sebenarnya agak malas memancing ikan. Kami lebih suka memasang jaring terutama pada masa hujan lebat dan air sungai menjadi keruh. Pada waktu yang telah dijanjikan, kami bertiga pergi ke kawasan tersebut dengan menunggang motosikal. Tiba di kawasan belakang pejabat tol, kami meletakkan motosikal di bawah sebatang pokok yang agak rendang.
Malam itu cuaca agak baik cuma berangin. Kawasan itu lengang dan permukaan air sungai berkilau kerana dipanah cahaya bulan penuh. Setelah menghabiskan sebatang rokok, saya dan Syed mula mengambil jaring manakala Haziq pula sedang bersedia untuk turun ke dalam sungai bagi membantu memasang jaring.
Kami melakukan pekerjaan itu dengan senyap. Mood untuk berborak seakan-akan hilang. Sesekali saya memandang ke dada langit. Awan hitam yang pekat dan tebal ditambah dengan keadaan angin yang semakin kuat bertiup menyebabkan saya boleh membuat satu anggapan yang mudah iaitu hujan lebat akan turun pada bila-bila masa sahaja.
Sebaik sahaja jaring siap dipasang, rintik-rintik hujan mulai turun. Haziq mengajak kami berdua berteduh di bawah pondok sesikat yang ada di situ. Timbul pertanyaan di hati saya, bila pula pondok sesikat ini ada di kawasan ini tetapi soalan itu hanya bermain di fikiran sahaja.
Hujan makin kasar berserta guruh yang berdentum. Tiba-tiba saya dapat melihat sesusuk tubuh berlari anak menuju ke pondok tempat kami menumpang berteduh itu.
“Lebat hujan malam ni” katanya sambil tersenyum. Saya mengangguk kepala. Lelaki tadi bertopi keledar dan memakai baju hujan berwarna hitam. Mukanya tidak kelihatan sangat kerana dilindungi oleh cermin penutup pada topi keledar yang dipakai.
“Pakcik dari mana?” Tanya Syed.
“Saya dari Jalan Kebun. Ingat nak ke rumah anak di Seksyen 24 Shah Alam. Sampai sini tiba-tiba hujan lebat” jawabnya sambil kepala ditundukkan seolah-olah orang sedang bertakafur.
Entah kenapa mulut saya hanya membisu. Tidak ada niat langsung untuk menyampuk perbualan antara kawan saya dan pakcik itu. Pada masa yang sama hidung saya bagaikan terhidu bau darah yang amat meloyakan tekak. Semakin lama bau hamis itu semakin kuat menusuk ke hidung hingga menjadikan saya agak gelisah.
Tiba-tiba petir memancar. Cahayanya yang terang itu tepat menyuluh ke kawasan pondok kami sedang berteduh. Hampir menjerit saya kerana terkejut dan pada masa yang sama takut apabila melihat pakcik yang berdiri di hadapan saya itu ‘berubah’ menjadi manusia yang berlumuran darah.
Darah yang mengalir dari atas kepalanya terlalu banyak hinggakan membentuk satu aliran yang bercampur dengan air hujan yang mula berlopak di hadapan pondok kami. Pakcik itu hanya memandang kami dengan sayu dan bertukar bentuk menjadi seolah-olah kabus putih yang kemudiannya hilang begitu saja.
Saya lihat muka Haziq dan Syed pucat. Sempat juga saya melihat jam tangan. Tepat jam 1 pagi. Kami bertiga kemudiannya berlari anak menuju ke surau kecil yang ada di dalam kawasan tol itu untuk berteduh dan berbaring. Keesokan harinya barulah kami berani untuk melihat jaring yang dipasang.
Saya sempat berbual dengan seorang pekerja yang sedang bertugas menyapu di situ. Saya menceritakan pengalaman seram yang dialami. Kata pekerja itu, sudah ramai pemancing yang terkena. Kononnya pakcik itu merupakan seorang mangsa kemalangan ngeri yang pernah berlaku di situ. Dia menunggang motosikal tanpa mengikut di jalan motor yang dikhaskan. Akibatnya, motosikalnya bergesel dengan sebuah treler 16 tayar. Dia meninggal dunia di situ juga.
Walaupun seram kerana diusik, saya dan kawan-kawan berasa gembira kerana habuan yang kami dapat pada malam itu agak berbaloi juga. Lepaslah juga hajat saya untuk menyuruh orang rumah memasak gulai lemak puyu kesukaan saya!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...