Aktiviti berkhemah sambil memancing di tebing sungai pergunungan sememangnya menyeronokkan. Lebih seronok lagi bila dapat mendaratkan ikan-ikan sungai dan segera dijadikan juadah. Tiada yang lebih mewah selain hidangan ikan-ikan segar terus dari sungai. Malah hidangan hotel 5 bintang pun tak boleh lawan.
Baung campur udang galah masak tempoyak
Bahan keperluan:
Ikan dan udang
2 senduk tempoyak
1 tangkai daun kesum
1 batang bunga kantan
Cili api
Serbuk kunyit (kunyit hidup lagi bagus tapi lesung batu tak bawa)
Garam
Cara penyediaan:
Siang dan cuci bersih ikan dan udang
Bunga kantan dihiris dan cili api diketuk
Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk dan tambah air sebanyak mana yang ingin dijadikan kuah.
Rebus saja sehingga menggelegak… dah pun boleh dihidangkan.
Ikan sungai goreng garing
Bahan-bahan:
Ikan lais, lampam, parang (apa saja ikan yang dapat)
Serbuk kunyit
Garam
Minyak
Cara penyediaan:
Bersihkan dan kelar badan ikan
Gaul ikan dengan garam dan serbuk kunyit
Goreng dengan api sederhana sehingga garing.
Patin lawang salai
Bahan keperluan:
2 ekor patin lawang kecil
garam
Kunyit
Cara penyediaan:
Bersihkan ikan patin lawang dan kelar memanjang pada badannya.
Lumurkan garam dan kunyit.
Cucuk ikan pada ranting kayu dan pacak berdekatan dengan bara api sehingga masak.