Menjerat Lee Koh Liar Sungai

Share

 

(Oleh: KD Negri)

 

Kalau sesiapa yang biasa memancing ikan lee koh di kolam berbayar, pasti faham bagaimana susahnya untuk memujuk ikan ini memakan umpan.

Walaupun susah, tetapi di situlah letaknya keseronokan. Memancing ni, semakin susah untuk memujuk ikan maka semakin tinggi cabaran yang perlu dihadapi dan semakin tinggilah kepuasan apabila berjaya melakukannya.

 

Jika memancing lee koh kolam pun dah susah dan kumpau, lupakan saja niat nak memancing lee koh liar.

Apatah lagi jika lee koh liar itu adalah ikan liar di sungai, bukannya ikan liar lombong atau tasik-tasik kecil.

Untuk mencabar diri sendiri, saya dan beberapa rakan sekepala sanggup menebing (memancing di tebing) di sebatang sungai dalam gelap-gelita.

 

Kami sudah mengetahui sejak sekian lama kewujudan ikan-ikan lee koh di kebanyakan sungai di Negeri Sembilan dan juga Selangor.

Salah satu sungai yang tidak jauh dari kawasan kediaman kami ialah cabang Sungai Langat, iaitu Sungai Kembong yang terletak di Beranang.

Namun, untuk mengesan lubuk yang didiami oleh ikan lee koh bukanlah mudah.

 

Ikan lee koh dipercayai menyukai badan sungai yang berteluk dan berarus perlahan. Untuk mencari lubuk seperti ini bukanlah mudah di sebatang sungai yang besar dan panjang.

Dan lubuk seperti itu belum pasti juga terdapatnya ikan leekoh. Kami secara kebetulan menemui lubuk ini.

Sebelum ia disedari oleh pemancing atau nelayan sungai lain, kami segera mengadakan operasi memburunya.

 

Kebiasaannya lee koh aktif keluar mencari makanan pada awal pagi (sebelum matahari naik) dan waktu senja (ketika matahari mula tenggelam).

Jika kita berada di lubuknya pada waktu sebegini maka kita akan mendengar bunyi letupan atau kocakan air yang kuat dihasilkan oleh lee koh ini.

Sementara waktu yang sesuai untuk memancingnya bermula sekitar waktu senja sehinggalah lewat tengah malam.

 

Oleh yang demikian, kami lakukan operasi menjerat lee koh ini pada waktu.

Mengetahui ikan lee koh amat culas untuk memakan umpan sekiranya terdapat kehadiran cahaya dan bunyi bising di tebing sungai maka kami memancing di dalam gelap gelita.

 

Bagi menarik perhatian lee koh menghampiri umpan, kami taburkan dedak dalam jumlah yang agak banyak juga.

Dedak yang sama kami akan bancuh untuk dijadikan umpan dengan menggunakan mata kail rambai. Cacing turut kami gunakan sebagai umpan.

 

Berkat dari kesabaran dan cabaran yang dilalui ternyata tidak sia-sia. Selain lee koh dan lee koh emas, ikan lampam jawa bersaiz kasar turut sama tersenarai dalam hasil tangkapan.

Tentu saja lubuk ini akan kami serang lagi pada akan datang selagi masih dihuni oleh ikan-ikan ini.

 

GALERI

 

Published by
Amang