Mengocak Lubang Belut Malam Hari

Share

 

Memancing belut air tawar atau belut sawah mungkin kurang popular dan diminati. Tetapi sebagai seorang fishing journalist, saya perlu mempelajari kesemua teknik pancingan dan

spesies ikan yang boleh dipancing. Dan pancingan belut sebenarnya turut tidak terkecuali dan tersenarai dalam jadual pancingan saya.

 

Hanya kekerapan membezakannya dengan pancingan lain. Jika pancingan ikan layaran atau mencandat sotong yang dilakukan setahun sekali, memancing belut kekerapannya lebih kurang daripada itu.

 

Setelah lebih lima tahun mencubanya buat kali pertama, kerinduan mengocak umpan di lubang belut dan bertarung menarik ia keluar dari lubangnya yang melingkar kembali menjengah.

Bezanya, jika pada kali pertama dahulu saya mengocak lubang belut di bawah terik matahari, kali ini akan mengocak lubang belut pada waktu malam pula.

 

Usai solat Maghrib, bersama seorang rakan, Anhar, kami bertolak dari Sungai Buloh ke Sungai Besar.

Sungai Besar sememangnya padang pancingan belut utama berikutan kawasan sawah padinya yang luas.

 

Setibanya di rumah Iwan di Parit 1, kelihatan hampir sepuluh orang pemancing belut yang sudah bersedia untuk meredah kegelapan sawah padi yang sudah dituai hasil sepenuhnya.

Sebelum turut serta, kami dipelawa untuk mengalas perut dengan menjamah ikan gerepoh dan cencaru bakar yang disediakan oleh oleh Iwan.

 

Setelah berpecah secara berkumpulan, saya dan Anhar ditemani oleh Iwan sendiri sebagai guide. Parit kecil atau parit bendang tidak jauh di belakang rumah Iwan menjadi lokasi pertama kami.

 

 

Kesilapan saya menggunakan joran sependek empat kaki kerana menjangkakan parit bendang itu cetek dan sempit separas lutut sebagaimana parit bendang yang pernah saya pancing lima tahun dahulu membawa padah.

 

Rupanya parit bendang itu agak lebar dan bertebing tinggi. Joran tanpa kekili itu tidak mampu dihulurkan ke lubang belut.

Akibatnya saya sekadar dapat menyaksikan Anhar yang baru pertama kali memancing belut bersorak riang setelah berjaya mengeluarkan dua ekor belut dari lubangnya.

 

Setelah menukar set joran, kami berkereta pula mencari parit bendang yang berpotensi. Tidak semua parit bendang sesuai untuk mencari lubang belut.

Ada parit bendang yang sudah kering airnya, ada yang masih tinggi airnya dan ada pula sukar untuk dilalui kerana semak tinggi.

 

 

Setelah beberapa petak sawah diredah, kami beralih ke parit bendang di tepi palong pula. Untuk memancing belut di sini kami perlu memanjat dan meniti palong.

Ia tidaklah terlalu berisiko tetapi tersilap langkah boleh mendatangkan kecederaan juga.

 

Sebolehnya saya cuba untuk tidak menggunakan katak yang dipotong kecil sebagai umpan. Justeru saya cuba menggunakan umpan tiruan berupa soft plastic yang dipotong kecil dan dilumuri minyak penarik bau.

Namun setelah plastik lembut umpan tiruan itu ditelan si belut dan memikirkan kesudahan nasibnya, barulah saya menggunakan umpan katak.

 

Setelah beberapa jam memancing dan hampir jam tiga pagi barulah kami kembali ke rumah Iwan untuk berehat.

Walaupun hasil keseluruhan yang dikumpul tidaklah sebanyak mana, namun kepuasan bertarung menarik belut keluar dari lubangnya sememangnya satu pengalaman yang

menyeronokkan dan bakal mendatangkan rasa rindu untuk mengulanginya lagi pada masa mendatang.

 

 

Published by
Amang